Monday, April 27, 2009

Trend pelaburan kaum Bumiputera, India meningkat

Terdapat peningkatan terhadap trend pelaburan kaum Bumiputera dan kaum India dalam unit amanah Permodalan Nasional Bhd (PNB) semasa krisis ekonomi kini berbanding krisis kewangan Asia 1998.

Presiden/Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, corak pelaburan kedua kaum itu mula berubah sebagai persediaan masa hadapan.

Menurutnya, berdasarkan statistik, di zaman krisis 1998 dulu, boleh dikatakan ada pengeluaran besar-besaran dan dengan sendirinya ada defisit yang besar.

“Tetapi kalau kita lihat krisis kali ini, penyertaan semakin meningkat. Bahkan dalam masa beberapa bulan antara Januari hingga April tahun ini, kita sudah melihat sebanyak RM6 bilion jumlah unit amanah dilanggan pelabur,” katanya.

Hamad Kama Piah berkata, PNB berharap untuk mencapai kuota bagi Amanah Saham Malaysia (ASM) untuk kaum bumiputera dan India hingga tamat tempoh tawaran pada 27 Julai ini.

Sebanyak 3.33 bilion unit baru ASM dilancarkan pada 20 April lalu dengan 999 juta unit diperuntukkan kepada kaum Cina habis dilanggan sepenuhnya.

Bagaimanapun, daripada 1.665 bilion unit ditawarkan kepada Bumiputera, hanya 7.65 juta berjaya dijual, manakala 53.5 juta daripada 499.5 juta peruntukan kepada kaum India dilanggan.

Pelaksanaan had pelaburan maksimum bagi ASM berkuatkuasa sepanjang tempoh tawaran bermula 21 April hingga 27 Julai 2009 dan selepas itu akan dihapuskan, namun ia bergantung kepada unit yang masih ada untuk dilanggan.

Beliau berkata, PNB akan mengembangkan kemudahan menambah pelaburan di dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) secara dalam talian.

“Kaum Bumiputera tidak harus tertumpu kepada satu unit amanah seperti ASB, mereka perlu melihat unit amanah lain seperti Amanah Saham Didik dan Amanah Saham Wawasan 2020,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: