Monday, April 27, 2009

'Bodoh-bodoh alang' buat Eira popular

Dengan kaca mata besar, warna baju terang dan berfesyen gaya lama memang menjadi sekali wataknya dalam drama Ku Milikmu yang disiarkan TV3 sedikit waktu dulu. Dia begitu bersahaja dengan watak blur ataupun bodoh-bodoh alang itu.

Siapa sangka, watak-watak yang begitulah membuat nama Eira kini sudah mula mendapat tempat. Biarpun sebelum ini, memang dia mendapat perhatian pengarah drama tetapi kini nama Eira mula bermain di bibir peminat-peminat drama Melayu.

Tidak dinafikan, Eira antara pelakon muda yang sering muncul di kaca TV kini. Bukan sahaja kerana bakat tetapi juga kerana Eira antara pelakon yang senang dibawa berunding dan berdisiplin.

Bila ditanya bagaimana dia menghayati watak yang jauh berbeza dengan dirinya, Eira akui memang payah. Tetapi bila dia sudah mendapat skrip, Eira membuat banyak research berkaitan perwatakan orang.

“Orang gelak tengok watak saya tu tapi sebenarnya memang payah untuk menghayatinya. Bila ada yang puji kononnya watak itu ‘menjadi’ saya rasa gembira. Sekurang-kurangnya, inilah imbalan yang kita dapat kalau berusaha,” ujarnya.

Eira juga tidak menafikan jika dulu orang memanggilnya Eira tetapi kini dia lebih mesra dengan panggilan 'Kakak Kaca Mata Besar' ataupun Cik Kirana.

Teman lelaki, tunggu dulu

Sebagai gadis jelita, sudah pasti Eira menjadi rebutan lelaki tambahan pula usianya masih muda. Tetapi bagi Eira, dia masih belum boleh memberikan tumpuan sepenuhnya untuk jatuh cinta.

“Mungkin bila dah jumpa yang sesuai nanti, saya akan bercinta juga. Sekarang ni saya mahu tumpukan sepenuh perhatian kepada karier sebagai pelakon dulu,” ujarnya.

Bagaimanapun menurut Eira, dia tertarik dengan lelaki yang bijak dan 'ada isi' bila bercakap selain kelakar. Rupa paras dan pangkat tidak begitu penting baginya kerana yang lebih utama ialah keikhlasan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: