Sunday, April 12, 2009

Titi akur


WALAUPUN beberapa kali cuba menangkis soalan berkaitan hal peribadi, terutama kisah perkahwinan ‘rahsianya’, Titi Kamal, 28, akhirnya rela berbicara mengenainya sekalipun dilihat agak keberatan.

Bukan niatnya mahu menyombong, tetapi Titi atau nama sebenarnya Kurniati Kamalia seboleh-bolehnya mahu peminat mempunyai lebih banyak maklumat mengenai kariernya sebagai penghibur dan bukan kisah peribadi.

“Saya mahu dikenali sebagai penghibur dan bukan penghibur yang sarat dengan kisah peribadi,” kata Titi ketika ditemui di Jakarta, baru-baru ini, bersempena promosi album sulungnya berjudul Lebih Baik Sendiri yang dilancarkan pada 20 Februari lalu.

Album berkonsepkan pop dance itu diterbitkan oleh Piyu daripada kumpulan Padi.

Ya. Bagi peminat Titi yang sebelum ini mengenalinya sebagai pelakon menerusi filem seperti Tipu Kanan Tipu Kiri, Ada Apa Dengan Cinta dan Eifel I’m In Love, bermula tahun ini, Titi mahu serius menyanyi.

Berbicara mengenai kisah perkahwinannya dengan kekasihnya, Christian Sugiono, 28, yang juga pelakon, Titi mengakui mereka bertukar tarikh dan lokasi untuk diijabkabulkan, gara-gara sibuk dengan karier masing-masing.

Katanya, pada awalnya mereka merancang untuk disatukan pada November tahun lalu, tetapi terpaksa menundanya hingga Februari lalu.

“Pada awalnya kami memilih Mesir, tetapi kerana kesuntukan masa, kami memilih Australia (untuk bernikah). Kami hanya mendapat cuti tiga hari,” katanya.

Menurut Titi yang terang-terangan memberitahu lebih selesa berbicara mengenai soal album, mereka akan mengadakan majlis resepsi perkahwinan selepas tiga bulan bernikah.

“Kami sudah bernikah dan tunggu saja majlis resepsi kami pada Mei (31 Mei) ini,” katanya.



Dalam pada keberatan berbicara soal peribadi, tanpa berselindung Titi mengakui lagu duet bersama Anji (Drive) berjudul Resah Tanpamu yang dipertaruhkan sebagai ‘single’ kedua dalam albumnya selepas ‘single’ pertama, Lebih Baik Sendiri, ada kaitan secara langsung dengan kisah cintanya bersama Christian.

“Lagu itu (Resah Tanpamu) mengisahkan mengenai saya dan teman lelaki yang bercinta tetapi jarang bertemu. Enam tahun kami bercinta dalam keadaan jarak yang jauh.

“Akhirnya... Ya, teman lelaki itu menjadi suami saya,” katanya.

Menyentuh mengenai album sulungnya, Titi lega apabila percubaannya bergelar penyanyi menerima reaksi positif daripada peminat.

Bagaimanapun, Titi sedar masih banyak perlu dipelajarinya untuk bergelar penyanyi yang memiliki vokal baik dan berkualiti.

“Setiap hari saya berlatih vokal supaya hasilnya sentiasa terbaik. Ketika ini saya mendapat latihan vokal daripada Tompi,” katanya yang bertekad menceburi bidang nyanyian selepas lagu dangdut berjudul Jablay (Jarang Dibelai) daripada filem Mendadak Dangdut pada 2006 yang dinyanyikannya mendapat sambutan.

Ketika ini, di Indonesia Titi masih sibuk dengan penggambaran sinetron berjudul Muslimah yang ditayangkan sejak Ramadan lalu.

“Asalnya, sinetron itu hanya untuk 30 episod bersempena Ramadan, tetapi kerana mendapat sambutan dan permintaan supaya diteruskan, ia terus ditayangkan sehingga hari ini.

“Ia bersambung sehingga beratus-ratus episod dan akan dihentikan jika penonton sudah jemu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: