Sunday, April 12, 2009

Buku baru Scha


AKUI Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir atau Scha, dia penat dikaitkan dengan Fahrin Ahmad. Pintanya, sebagai orang baru dalam dunia seni, beri dia ruang untuk membina nama atas kekuatan diri sendiri.

“Serik rasanya apabila media sering memaparkan cerita kononnya saya bercinta bersama Fahrin. Buat masa ini kami masih berkawan. Lagipun, saya tidak mahu nanti orang kata saya menumpang atas populariti aktor itu.

“Apabila nama saya selalu dikaitkan dengan Fahrin, sedikit sebanyak ia boleh mempengaruhi impak yang saya terima. Takut nanti, orang kenal saya berdasarkan Fahrin dan bukan kerana bakat sendiri. Saya harap selepas ini tiada lagi cerita mengaitkan kami,” katanya.

Hampir tiga tahun dalam dunia seni, Scha mengakui baru kini dia dikenali ramai. Namun, gadis ini tidak menolak kontroversinya turut mempengaruhi popularitinya.

“Sejak dikaitkan dengan Fahrin, saya sedar saya semakin dikenali ramai. Itu yang saya takutkan. Saya tidak mahu dikatakan menumpang populariti orang lain.

“Namun apa yang saya mampu lakukan, lebih-lebih lagi cerita begini sememangnya menjadi buruan media. Cuma selepas ini, saya mohon tumpuan lebih diberi kepada kerjaya. Saya harap, buku lama ditutup dan kita buka pula yang baru,” katanya.

Menyedari kerjaya seninya baru bermula, pelakon dan pengacara berusia 26 tahun ini sedar masih banyak yang perlu dipelajari. Selain dunia lakonan, karier yang dibina menerusi pengacaraan harus dititikberatkan.

“Sejak dulu saya menyimpan angan-angan untuk bergelar pengacara. Alhamdulillah, hajat itu akhirnya tercapai apabila saya berpeluang mengacarakan program Sehati Sejiwa dan Chop!.

“Menariknya, sebagai orang baru, saya berpeluang mengacarakan dua program ini yang disiarkan secara langsung. Walaupun sukar, saya yakin saya boleh melakukannya.

“Begitupun, masih banyak perlu saya pelajari mengenai bidang ini. Dunia pengacaraan terlalu luas, malah banyak perkara boleh saya pelajari daripada kerjaya ini,” katanya yang mengimpikan program sendiri satu hari nanti.



Scha turut mengakui kaget apabila berdepan kamera sebagai pengacara. Tanpa pengalaman, dia perlu petah berbicara dan pantas membuat keputusan. Bagaimanapun, mengenali pelakon ini, secara peribadi orangnya tidak banyak berbicara.

“Jika bersama rakan, saya tidak banyak bercakap. Kalau mahu disamakan karektor di depan kamera dan di luar, saya orang berbeza.

“Sebenarnya persiapan untuk mengendalikan rancangan Sehati Sejiwa ini dibuat pada saat akhir. Mulanya, saya kurang yakin dengan kebolehan sendiri. Namun kerana mahu mencuba, saya tekadkan niat dan fokus kepada apa yang saya lakukan.

“Lagipun, dua program ini diadakan secara langsung. Pada saya, hanya mereka yang mempunyai pengalaman bertahun-tahun mampu melaksanakan tugasan seperti itu,” katanya.

Tambah bekas pramugari ini, dia selesa mengacarakan dua program berkenaan, lebih-lebih lagi pihak penerbit mahukan program berkenaan berkonsepkan ‘gila-gila’.

“Secara peribadi, saya memang ‘gila-gila’. Jadi, mengacarakan program ini tidak memberi masalah kepada saya. Sekurang-kurangnya, saya tidak perlu menjadi orang lain.

“Namun, saya tidak mahu kedua-dua program ini disamakan. Selaku pengacara, saya mahu membina identiti sendiri supaya penonton dapat melihat perbezaannya dengan jelas,” katanya.

Menyentuh soal lakonan pula, Scha bakal menjayakan Awan Dania musim kedua tidak lama lagi. Selain itu, dia kini sibuk dengan pembikinan filem KL Drift 2.

“Watak saya dalam Awan Dania kekal seperti musim pertama dulu iaitu Dania. Begitupun, jalan ceritanya diubah sedikit untuk menambah tarikan dan perbezaan daripada musim terdahulu.

“Bercerita mengenai KL Drift 2 pula, saya sebagai pemandu wanita. Memandu kereta yang diubah suai dengan laju menjadi cabaran besar buat saya. Lagipun kereta yang dipandu itu bukan seperti kereta biasa, tetapi bahagian itu yang paling menyeronokkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: