ASSALAMUALAIKUM! Nampaknya berduyun-duyunlah artis yang naik ke Genting Highlands hari ini sempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008. Seronoknya, peminat juga berduyun-duyun ke puncak sejuk itu untuk sama-sama memeriahkan acara. |
Ini antara acara anugerah yang dinantikan insan seni dan peminat hiburan tanah air. Menariknya acara seperti ini bukan saja keputusan pertandingan, tetapi ia turut menjadi medan memperaga pakaian.
Bagaikan tradisi bagi penganjur menggalakkan tetamu yang hadir untuk berpakaian istimewa, lebih-lebih lagi bila ada acara permaidani merah.
Sebenarnya, itulah ketikanya peminat berpeluang menyaksikan artis kesayangan di depan mata. Ketika itu jugalah artis dapat berjabat tangan dengan peminat.
Sudah menjadi kemestian pula bagi acara seperti ini untuk turut menyelitkan acara permaidani merah, termasuk di acara perkahwinan artis seperti Datuk Siti Nurhaliza, Ning Baizura dan Mawi.
Mungkin penganjur merasakan rugi jika tidak mengambil kesempatan di atas busana artis yang hadir kerana mereka pastinya melaram sakan.
Seperti tahun-tahun lalu, pihak Berita Harian akan terlebih awal memaklumkan calon dan tetamu jemputan akan tema pakaian bagi acara mereka.
Pernah tema seperti batik, formal dan glamor digunakan untuk acara ABPBH ini. Pada tahun ini ia bertemakan tenun songket pula.
Tema pakaian ini juga sebenarnya cara terbaik untuk memeriahkan lagi acara kerana setiap artis yang datang pasti cuba bergaya dengan pakaian yang memukau.
Daripada pengalaman Paknil, sebenarnya kaedah menggunakan tema berpakaian ini adalah cara paling selamat buat penganjur untuk mengangkat majlis mereka supaya nampak berprestij.
|
Bila sudah ditetapkan, semestinya mereka yang hadir akan menyesuaikan pakaian dengan majlis itu.
|
Paknil setuju sangat dengan formula ini kerana pernah terjadi tidak lama dulu apabila penganjur pada sebuah majlis besar yang Paknil hadiri membenarkan artis bebas berpakaian untuk majlisnya.
Akhirnya, majlisnya nampak murahan kerana artis dan tetamu yang hadir tidak mengambil inisiatif langsung untuk bersiap!
Ada yang teramat selekeh hadir dengan hanya berseluar jeans kotor, kasut lusuh berkeladak dan baju T yang pudar warnanya. Mungkin kerana artis ini mahu buktikan yang dia mempunyai prinsipnya berpakaian sehinggakan datang ke majlis orang pun tidak bersiap.
Bukanlah Paknil mahu artis itu menjadi hipokrit, tetapi dia kena ada rasa tanggungjawab serta hormat kepada tuan rumah. Sekurang-kurangnya biarlah berpakaian lebih baik daripada hari biasanya.
Namun setelah diberikan tema yang bersesuaian seperti ABPBH, ada juga yang degil, melanggar permintaan penganjur. Mereka hadir dengan tanpa rasa bersalah memakai pakaian yang tidak sesuai dengan majlis berprestij ini.
Agaknya mereka yang berpakaian begini tidak merasa pelik ketika ada di dalam kelompok tetamu yang berpakaian mengikut tema dan akibatnya, cacatlah sedikit majlis gilang gemilang ini.
Bukankah sudah menjadi budaya dan ajaran datuk moyang kita untuk menghormati tuan rumah? Jadi, rasanya kita kenalah bertimbang rasa sedikit.
Paknil bukanlah jenis artis yang berbelanja sakan untuk berpakaian tetapi bila tiba majlis sebegini, Paknil rasa tak salah untuk membuat sedikit peruntukan kerana Paknil tidak mahu menjadi kera sumbang di majlis orang.
Lagipun, kemeriahan majlis dianjurkan akan turut terasa jika Paknil sama-sama memberi sumbangan daripada segi berpakaian.
Bila tiba acara seperti ini, Paknil akan pening kepala juga untuk mencari pakaian kerana pakaian lelaki pusing-pusing lebih kurang sama saja.
Lainlah bagi artis wanita. Mereka mempunyai pilihan yang banyak. Ada yang datang berkemban, yang bahu sebelah terdedah, kain labuh menyapu lantai, ketat sendat, yang tengkuk berbulu, berlapis-lapis, jarang dan bermacam lagi.
Di sinilah nanti kerlipan lampu jurukamera berpusu-pusu mengabadikan peragaan mereka dan ketika inilah artis wanita akan memberi pelbagai pose menarik untuk tidak menghampakan permintaan jurugambar.
Syabas kepada artis yang berusaha bersiap untuk majlis yang gah seperti ini. Paknil tidak mahu membuat ulasan mengenai pakaian artis wanita ini yang mana sering dijadikan bahan kontroversi kerana Paknil bukan arif untuk itu.
Lagipun, pakaian yang Paknil pakai pun belum tentu lagi cantik dan sesuai di mata orang. Dulu memang Paknil berani berpakaian pelik kerana gerak hati Paknil ketika itu agak berani. Darah muda!
Kini, gerak hati Paknil berubah mungkin mengikut usia. Paknil kalau nak berpakaian pelik walaupun sedikit, sudah mula ada perasaan berbelah bagi.
Paknil sangka pihak media saja yang memberi tumpuan kepada busana artis ketika majlis seperti ini, tetapi rupa-rupanya peminat juga tidak ketinggalan.
Di laman forum Internet umpamanya, mereka turut memberi komen pakaian artis. Tidak cukup dengan itu, mereka mentertawakan artis yang berpakaian pelik dan melucukan.
Nampak gayanya, artis kini tidak boleh mengambil mudah akan hal berpakaian kerana itu turut membabitkan nama dan kerjaya mereka.
Tidak menjadi kesalahan bagi artis mendengar komen dan kritikan mereka di Internet kerana ada antara komen mereka bernas juga.
Lebih lucu bila ada antara ‘pemerhati pakaian artis’ ini begitu rajin mengumpul gambar artis yang berpakaian sama! Bergelak sakan mereka di laman forum itu.
Paknil yang membaca pun turut tersenyum kerana jika bukan hasil kerja mereka, Paknil mungkin juga tidak tahu akan kejadian pakaian berulang pakai ini.
Kelakar juga bila ada antara gambar itu memaparkan pakaian yang sama digayakan oleh beberapa artis berlainan. Ini mungkin kes tajaan sehingga beberapa artis berlainan dilihat memakai baju sama.
Paknil sarankan artis yang mendapat tajaan pakaian itu mengingatkan pereka fesyen mereka supaya berhati-hati kerana takut hal yang dijadikan bahan ketawa di Internet tidak berlaku pada mereka pula.
Paknil seperti biasa akan bersendirian mencari pakaian untuk acara sebegitu kerana memang Paknil jarang menjadi pilihan penaja. Paknil pun tidak tahu kenapa mungkin kerana Paknil dilihat tidak segak dengan pakaian penaja.
Ada ketikanya, Paknil sendiri yang menolak untuk ditaja kerana Paknil ingin berpakaian mengikut selera Paknil. Yalah, daripada kita pakai pakaian yang kita sendiri tidak selesa semata-mata untuk memenuhi kehendak penaja, susah juga jadinya.
Untuk malam ini, entahlah pakaian yang mana satu yang Paknil nak kenakan kerana Paknil selalu mencari pakaian pada saat-saat akhir. Jadi, tunggu sajalah.
Nanti minggu depan Paknil coretkan perkara kecil yang berlaku di sekitar majlis itu eh? Yalah, bila dah beramai-ramai seperti itu bermacam perangai yang timbul. Wassalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: