|
RAMAI sudah tahu berita tiga selebriti remaja, pelakon dan model Diana Danielle; penyanyi dan pengacara, Alif serta juara One In A Million musim pertama, Suki mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Princess Haliza di Sepang. |
Pastinya ramai ingin tahu apa yang berlaku sepanjang mereka menjalani latihan PLKN. Untuk memberi peluang kepada masyarakat melihat lebih dekat aktiviti mereka, 8TV memeterai perjanjian dengan PLKN untuk menerbitkan program khas, Project N.S.
Satu majlis menandatangani MoU di antara 8TV dan PLKN diadakan di kem itu pada 2 April lalu untuk bekerjasama menghasilkan dokumentari paparkan tiga selebriti ini di Kem Princess Haliza yang menempatkan 440 pelatih berbilang bangsa dan agama dari seluruh negara.
Kem ini dipilih untuk rakaman kerana Diana Danielle dipilih menyertai PLKN di sini dan untuk memudahkan sesi rakaman dilakukan, Aliff dan Suki juga ditempatkan di kem sama.
Selepas menjalani rakaman sejak 19 Mac lalu, program sembilan episod itu bakal disiarkan kepada umum mulai 8 Mei ini, jam 9.30 malam.
Diana yang pernah mencetuskan kontroversi kerana menangguhkan mengikuti PLKN kerana sibuk dengan kegiatan seni, kelihatan begitu bersemangat dan ceria sejak menyertai PLKN di kem itu sejak 19 Mac lalu.
"Pada awalnya, saya sedih tinggalkan mama kerana tidak pernah berenggang dengannya. Perasaan takut juga sering bermain di fikiran. Namun segalanya berubah setelah beberapa hari menjalani program ini.
"Saya cukup teruja dengan setiap latihan dijalankan dan gembira kerana dapat berkenalan dengan ramai kawan baru yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama," katanya.
Lebih membanggakan, Diana dilantik sebagai Timbalan Penghulu Wirawati selepas seminggu menyertai PLKN. Pemilihan pelakon Airmata Maria itu dibuat berdasarkan prestasi cemerlangnya selama berada di PLKN dari segi sikap sentiasa bersungguh-sungguh, penuh dedikasi dan disenangi pelatih lain.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara, Kementerian Pertahanan, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan 8TV untuk menerbitkan dokumentari mengenai perjalanan latihan PLKN bagi memberi gambaran sebenar sesi latihan dan kehidupan mereka di sini.
"Selama ini, ramai mendapat gambaran salah mengenai PLKN hingga kebanyakan pelatih kurang berminat menyertai program ini. Begitu juga ibu bapa kurang memberi galakan kerana banyak berita negatif tersebar sebelum ini.
"Namun dengan adanya Project N.S di 8TV ini, saya berharap ia dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap PLKN. Melalui program ini, penonton dapat mengikuti perjalanan dan pengalaman ketiga-tiga selebriti ini sewaktu menjalani PLKN seperti remaja lain.
"Tiada sebarang keistimewaan diberikan kepada mereka kerana layanan sama rata diberikan kepada semua pelatih," katanya.
Abdul Hadi berkata, PLKN adalah program yang perlu dijalani pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi membina karakter pelatih supaya menjadi insan lebih baik dan berguna kepada masyarakat.
"Program ini turut menerapkan modul kenegaraan mengenai pembentukan negara untuk menerapkan sifat patriotisme dalam diri pelatih. Semua pelatih diwajibkan menjalani sesi latihan di PLKN selama 85 hari.
"PLKN juga mengajar pelatih lebih berdikari di samping meningkatkan semangat berpasukan. Mereka juga boleh bertukar-tukar fikiran dan mengenali budaya dan agama dalam sebuah subjek khusus yang disediakan. Pelatih juga banyak didedahkan dengan khidmat komuniti kerana mereka adalah sebahagian masyarakat," katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar 8TV, Lam Swee Kim, berkata program N.S ini diharap dapat membuka mata semua remaja mengenai kebaikan menyertai PLKN.
"Program ini juga sedikit sebanyak dapat memberikan tip berguna dan mengelakkan rasa takut remaja yang bakal mengikuti PLKN pada masa hadapan.
"Pembabitan Diana, Alif dan Suki dalam program ini ternyata tepat kerana mereka adalah ikon remaja yang cukup popular masa kini. Selain memaparkan aktiviti harian mereka di PLKN, program sebegini juga cukup bagus kerana memberikan gambaran sebenar PLKN kepada masyarakat. Jangan lupa saksikan Project N.S pada 8 Mei, jam 9.30 malam di 8TV," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: