Monday, April 20, 2009

Proses pilih lagu rumit


KOMENTAR dan kritikan menjadi asam garam kepada pengetua serta tenaga pengajar program realiti Akademi Fantasia (AF) termasuk AF7. Daripada vokal, persembahan pelajar, pakaian digayakan pada konsert mingguan yang disiarkan secara langsung di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil dan pemilihan lagu.

Ramai menyangka semua tanggungjawab itu terpikul di bahu pengetua AF. Justeru, untuk menjelaskan setiap persoalan yang berlegar di fikiran penonton, pengetua AF7, Datin Sri Tiara Jacqueline memberikan kenyataannya. Saban minggu, pasti ada yang tidak puas hati dengan lagu nyanyian pelajar dan menyalahkan tenaga pengajar memilih lagu yang 'salah' untuk pelajar.

Di sebalik semua kritikan itu, hakikatnya setiap pilihan lagu yang dinyanyikan pelajar pada konsert mingguan AF bukan hanya mengambil VCD mana-mana penyanyi dan terus pilih lagu diminati.

Proses memilih lagu rumit membabitkan banyak pihak dan pilihan lagu terletak pada produksi program itu. Tanggungjawab pengetua dan tenaga pengajar hanya membimbing pelajar dalam kelas bagi memastikan mereka dapat menyampaikan lagu itu dengan baik.

Menurut Tiara, ramai mencadangkan pelbagai lagu untuk dinyanyikan pelajar tetapi bukan haknya untuk memilih sesuatu lagu.

"Kami diberi lagu siap dipilih produksi Astro. Proses mencari lagu untuk pelajar rumit kerana setiap lagu perlu melalui banyak proses sebelum senarai lagu diserahkan kepada akademi untuk diberikan kepada pelajar sebagai cabaran kepada mereka menyanyikannya pada konsert mingguan.

"Proses itu membabitkan kebenaran daripada pemilik hak lagu, yang ada kala mengambil masa. Jika mereka tidak izinkan, kena cari lagu lain. Bekerja dengan produksi besar seperti Astro, banyak peringkat perlu dilalui sebelum senarai lagu itu dipersetujui.

"Jika tidak bersetuju dengan lagu dipilih, ia tidak sempat ditukar kerana membabitkan proses panjang sekali lagi. Paling sibuk setiap kali terima senarai lagu adalah Acis yang perlu menggubah semula semua lagu itu. Acis perlu ada di akademi untuk persembahan pelajar setiap Khamis, kemudian dia berkejar ke Dewan Sri Putra untuk konsert. Dia juga akan berada di sana Jumaat dan Sabtu bagi memastikan segalanya berjalan lancar.

"Dek kerana kesuntukan masa, produksi Astro sukar untuk memenuhi kehendak dan permintaan semua pihak terutama daripada media, bloggers serta komen dalam forum yang terlalu banyak dan meluahkan pendapat berbeza," kata Tiara yang ditemui selepas sidang media konsert minggu keenam AF7, Sabtu lalu.

Jelasnya lagi, apa yang disaksikan penonton menerusi Diari AF7 adalah aktiviti dan tugasan pelajar dari jam 9 pagi hingga 6 petang. Hakikatnya mereka bekerja lebih lama daripada itu, ada kala sehingga tengah malam.



"Pelajar diberikan lagu pada Isnin dan Selasa baru siap minus one. Pelajar bersengkang mata menghafal lirik. Celik mata, hafal lirik.



"Ada kala saya kasihan melihat mereka belajar tanpa henti, namun saya tidak boleh menunjukkan simpati pada mereka kerana akademi mahu mereka menjadi yang terbaik.

"Biar mereka belajar susah kerana perkara sama perlu dilalui selepas keluar akademi. Sukarnya tenaga pengajar hendak minta Yazid (Mohd Yazid Ibrahim) meluahkan emosi kerana dia sangat pemalu tetapi pada persembahan malam ini, dia berjaya melakukannya.

"Sementara Claudia (Claudia Fay Geres) pun pada konsert minggu ini lebih bersemangat dan Aril (Khairil Azam Pilus) juga berusaha melontarkan vokalnya.

"Secara profesional, mereka yang ingin menjadi penghibur yang baik perlu belajar tiga tahun. Di akademi, mereka ada masa beberapa minggu saja. Dalam masa dua tiga hari, mereka perlu kuasai lagu, mantapkan vokal dan persembahan," katanya.

Tiara yang begitu sinonim dengan watak Puteri Jawa, Puteri Retno Raden Jumilah menerusi teater muzikal Puteri Gunung Ledang terbitan produksinya, Enfiniti, tidak menyangka akan berhadapan cabaran besar apabila bersetuju memegang jawatan Pengetua AF7.

Pun begitu, segalanya diterima dengan hati terbuka kerana dia perlukan sesuatu yang lebih besar selepas berakhirnya PGL musim ketiga.

"Bersama AF7, ia pengalaman baru bagi saya. Dalam produksi sendiri, saya ambil tahu semua perkara. Oleh kerana sudah terbiasa, pernah juga terlepas cakap mengenai pilihan pakaian pelajar.

"Kadangkala mereka layan rungutan saya, kadangkala buat tak tahu saja. Saya faham ada kala perunding gaya Astro sukar mendapatkan baju bersesuaian pelajar dan tema yang diketengahkan dalam konsert.

"Ada juga pelajar tidak berkenan dengan baju yang disediakan tetapi apa pilihan yang ada. Terpaksalah mereka pakai juga. Saya harap selepas keluar nanti, pelajar dapat membina imej mereka sendiri," katanya.

Pada konsert kali ini, pelajar menyanyikan lagu kumpulan muzik terkenal tanah air dan Indonesia, Lefthanded, Estranged, Kristal dan Cokelat. Cabaran buat pelajar apabila nyanyian mereka diiringi kumpulan itu sendiri.

Ada yang berpeluang berduet dengan vokalis utama kumpulan itu, namun kelemahannya, pelajar seakan-akan tenggelam dek kehebatan vokalis itu. Apa pun, ia cabaran untuk mereka bagi membiasakan diri sekiranya perlu berhadapan dengan situasi yang tidak diduga. Ada pelajar yang seakan-akan hilang arah namun ada juga yang dapat menonjolkan dirinya dengan baik tanpa dibayangi penyanyi asal kumpulan itu.

Menjelaskan kenapa perlunya pelajar menyanyi bersama penyanyi asal kumpulan itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizal Shagul, berkata ia untuk memberi galakan kepada pelajar memberikan persembahan terbaik.

Bagaimanapun, Nash (Lefthanded) dan Rich (Estranged) tidak hadir pada malam itu. Keadaan itu agak tidak adil bagi pelajar yang terpaksa berkongsi pentas dengan vokalis utama kumpulan itu.

Malang bagi Qhaudh (Mohd Qhaudh Abdul Rashid) yang dipuji cemerlang dalam persembahan kali ini, akhirnya kecundang di tengah jalan apabila perjuangannya di AF7 terhenti setakat itu saja apabila dia mendapat undian SMS paling rendah.

Berpuas hati dengan persembahannya pada malam itu, Qhaudh tetap bersyukur kerana berkat sokongan keluarga terutama ibunya dia berjaya menjejakkan kaki ke AF. Meminati lagu berunsur ketuhanan dan irama asli, Qhaudh akan meneruskan perjuangannya sebagai anak seni.

"Julung kali saya menyertai pertandingan nyanyian dan ia pengalaman paling manis. Saya tidak menduga akan terkeluar pada malam ini, namun saya bersedia kerana juara milik seorang. Saya dapat lagu hari Isnin dan berdoa dapat menyanyikannya dengan baik. Saya berusaha keras dan akhirnya dapat buat dengan cemerlang.

"Dapat pula membuat persembahan dengan legenda rock, Lefthanded. Walaupun kecundang, saya gembira malam ini," katanya.

Mengulas isu Aishah (Siti Aishah Bujang) mengetip kukunya dalam akademi, dia menjelaskan mereka semua bagaikan keluarga dan setiap pelajar pernah mengetip kukunya yang sering kali dikritik tidak kemas.

Tambah Tiara yang sedih dengan penyingkiran Qhaudh, pelajar lelaki itu amat baik dan rajin memberi motivasi kepada pelajar lain.

"Setiap Sabtu sebelum konsert, kami semua berkumpul mendoakan semua dapat buat yang terbaik dan Qhaudh akan mengetuai doa itu.

"Saya sedih kerana Qhaudh budak baik dan kami di akademi sayangkannya. Dia pelajar cemerlang malam ini tetapi tiada rezeki untuk terus berada di akademi. Kami tiada upaya untuk 'menyelamatkannya' kerana kuasa undian di tangan penonton," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: