Saturday, April 18, 2009

Tawar RM20,000 Pertandingan memancing


SEREMBAN: Pertandingan memancing yang menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai RM20,000 dengan juara bakal membawa pulang RM10,000 antara tarikan baru Pesta Air Negeri Sembilan 2009 di Pulau Cahaya dan Pantai Batu 4 dan 5, Port Dickson, dari 24 hingga 26 April ini.

Ia antara 17 aktiviti disenaraikan sepanjang tiga hari program anjuran kerajaan negeri bersama Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Sembilan (MTPNS) berlangsung dengan kerjasama syarikat swasta yang menawarkan hadiah wang tunai dan barangan keseluruhan RM60,000.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohamad Razil Kail, berkata kerajaan negeri mensasarkan mampu menarik kira-kira 120,000 pengunjung menyaksikan pesta air berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya yakin sasaran itu dapat dicapai selepas pesta terbabit diadakan setiap tahun sejak 2002 sentiasa mendapat sambutan memberangsangkan dengan kehadiran tidak kurang 100,000 pengunjung.


“Antara aktiviti lain termasuk acara sukan iaitu bola sepak pantai, bola tampar pantai dan bola jaring pantai, tarik tali, sukaneka keluarga, pertandingan karaoke, persembahan artis tempatan dan pakaian beragam kanak-kanak serta pameran jabatan kerajaan.


“Pengunjung berpeluang membawa pulang motosikal Modenas Kriss jika memenangi cabutan bertuah,” katanya pada sidang media dan penyampaian tajaan di pejabat MTPNS, di sini, semalam yang turut dihadiri Pengurus Besar MTPNS, Badrul Hisham Abdul Rahman.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Juasseh, berkata pihaknya cuba menyerapkan elemen perpaduan dengan memberi galakan kepada penyertaan pelbagai kaum dan semua peringkat usia dalam aktiviti yang diadakan itu.

Menurutnya, orang ramai tidak dikenakan sebarang bayaran ketika berkunjung pesta air berkenaan kecuali menyertai pertandingan memancing dan tarik tali.

“Kita yakin sambutan pada pesta air berkenaan pada kali ini lebih meriah kerana mendapat kerjasama baik daripada pihak swasta dan pengurusan hotel di Port Dickson.

“Saya berharap pesta ini akan dapat mempopularkan lagi Port Dickson sebagai lokasi pelancongan menarik di negara ini sekali gus mampu memberi manfaat kepada penduduk setempat,”

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: