KUANTAN: Penduduk Kampung Hijrah, dekat Pekan, yang sering dihujani ‘peluru sesat’ kini semakin bimbang selepas kejadian terbaru apabila empat peluru milik pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) jatuh tersesat ke tempat awam dengan satu menembusi warung seorang peniaga di kampung berkenaan.
Kejadian peluru sesat seperti itu sering berlaku di kawasan itu sebelum ini, apabila beberapa nelayan menemui kelongsong peluru dalam pukat mereka.
Difahamkan, keadaan itu berlaku berikutan kewujudan lapang sasar milik TUDM di kampung itu sejak 30 tahun lalu dan kelongsong peluru pesawat yang tersasar itu sering terkena ternakan penduduk selain jatuh berhampiran kediaman penduduk.
Dalam kejadian terbaru kelmarin, seorang peniaga, Abdul Satar Abdul Latif nyaris maut apabila sebutir kelongsong peluru berukuran 30 milimeter yang digugurkan pesawat pejuang, Hawk 208 tersasar hingga menembusi atap zink warung mangsa.
|
Kejadian kira-kira 4.30 petang itu berlaku apabila kelongsong peluru diperbuat daripada tembaga itu turut menembusi kerusi plastik dalam warung berkenaan.
|
Menceritakan semula kejadian itu, Abdul Satar berkata, selepas kira-kira sepuluh minit, dia dan isteri meninggalkan warung untuk makan bersama keluarga di rumah, tiba-tiba sebuah pesawat melalui ruang udara di kawasan itu diikuti satu letupan kuat kedengaran.
“Tidak lama selepas letupan, terdengar bunyi seperti objek keras menembusi atap zink warung dan apabila diteliti mendapati sebutir kelongsong peluru terjatuh di lantai.
“Kelongsong peluru itu turut menembusi kerusi plastik di warung ini,” katanya yang bersyukur kerana ketika kejadian dia dan isteri tiada di premis berkenaan.
Menurutnya, pada masa sama, dua kelongsong peluru jenis sama hampir terkena kereta seorang pemandu yang berhenti di perumahan Taman Hijrah Perdana.
Bagaimanapun, mangsa tidak membuat sebarang laporan kerana sudah biasa dengan kejadian seperti itu.
Katanya, anaknya turut menemui sebutir kelongsong peluru di depan warungnya dilepaskan pesawat sama mengikuti siri latihan berakhir semalam.
“Kejadian berlaku kerana warung saya terlalu hampir dengan lapang sasar berkenaan dan berharap Kementerian Pertahanan dapat menutup lapang sasar itu bagi menjamin keselamatan penduduk,” katanya.
Ketua Kampung Hijrah, Kamarulzaman Zainal, berkata pihaknya sudah menulis surat kepada kerajaan negeri meminta lapang sasar itu dipindahkan.
“Sebelum sebarang kejadian tidak diingini berlaku, lebih baik lapang sasar itu dipindahkan ke kawasan jauh daripada penempatan penduduk.
“Tidak mustahil kejadian lebih buruk berlaku pada masa depan jika usaha menutup lapang sasar berkenaan tidak dilakukan,” katanya.
Sementara itu, Bahagian Perhubungan Awam TUDM ketika dihubungi mengeluarkan satu kenyataan yang mengesahkan kelongsong peluru yang terjatuh di sekitar kawasan Kampung Hijrah, Penor, kelmarin milik pesawat pasukan keselamatan itu.
Kenyataan empat perenggan itu memaklumkan kelongsong peluru itu terjatuh ketika pesawat berkenaan sedang menjalani latihan di kawasan Lapang Sasar Penor iaitu kawasan latihan tembakan dari udara ke bumi bagi pesawat pejuang TUDM.
Menurut kenyataan itu, TUDM kini melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian itu boleh berlaku.
“Siasatan segenap aspek akan dilakukan bagi mengenal pasti punca kejadian itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: