Monday, April 20, 2009

Tambah pelaburan ASB melalui dalam talian

JOHOR BAHRU 20 April — Permodalan Nasional Bhd (PNB) bekerjasama dengan Malayan Banking Bhd (Maybank) untuk melancarkan kemudahan dalam talian bagi membantu pelabur menambah pelaburan mereka dalam unit Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, melancarkan perkhidmatan tersebut selepas merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia di sini, hari ini.

Kemudahan itu akan membolehkan pelabur ASB menambah pelaburan akaun ASB mereka secara dalam talian menerusi Maybank2u.com tanpa perlu mengunjungi cawangan Maybank atau pejabat Amanah Saham Nasional Bhd.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata perkhidmatan itu yang disediakan sejak Mac lepas berjaya menarik jumlah urus niaga bernilai RM500,000 untuk menambah unit ASB.

“Kami berharap bilangannya akan meningkat selepas pelancaran ini.

Perkhidmatan baharu itu merupakan satu pencapaian penting kerana ia menawarkan kepada pelabur ASB kemudahan untuk membuat pelaburan tambahan menerusi Maybank2u.com di mana-mana sahaja di dunia,” katanya.

Wahid berkata perkhidmatan itu juga menerima pelaburan tambahan untuk akaun ASB pihak ketiga, yang membolehkan aggota keluarga atau penjaga melabur dalam akaun orang di bawah jagaan mereka.

Mengenai pelaburan untuk menyediakan perkhidmatan baharu itu, Wahid berkata:

“Tidak banyak kerana ia dibangunkan di atas platform sedia ada. Tetapi banyak kerja yang perlu dibuat.” Perkhidmatan baharu itu ketika ini hanya membolehkan pelaburan tambahan dan dalam fasa pertama ia tersedia hanya dari pukul 12.01 pagi hingga 5 petang.

Bagi mereka yang mahu memeriksa status pelaburan mereka atau membuat pengeluaran masih perlu pergi ke mana-mana cawangan Maybank atau pejabat ASNB.

Sementara itu dalam satu kenyataan, Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji berkata perkhidmatan itu menyokong komitmen PNB ke arah menjadikan pelaburan amanah saham mudah kepada semua orang.

“Generasi digital selesa menggunakan Internet bagi semua jenis urus niaga, jadi langkah ini tepat pada masa untuk memenuhi keperluan generasi baharu Malaysia,” katanya sambil menambah PNB gembira Maybank bersedia untuk bekerjasama dengannya bagi mencapai matlamat tersebut.

Pengerusi Maybank, Tan Sri Mohamed Basir Ahmad berkata perkhidmatan itu akan menarik minat golongan yang cenderung menggunakan teknologi serta menggalakkan pelabur lebih celik dengan memanfaatkan teknologi bagi keperluan pelaburan mereka.

“Memandangkan minat berterusan dalam amanah saham ASB di kalangan orang ramai, perkhidmatan baharu ini sudah pastinya mengukuhkan lagi penerajuan Maybank dalam perbankan dalam talian yang menguasai lebih 54.8 peratus bahagian pasaran hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: