APABILA membicarakan tentang Alan Ball, tidak siapa yang mampu menafikan kehebatan daya imaginasinya menghasilkan karya yang dikenang sehingga kini.
Sebagai seorang penulis lakon layar, dia sentiasa menghidangkan sesuatu yang di luar lingkaran minda kita yang ada kalanya tidak pernah langsung terlintas di fikiran kita.
Filem American Beauty yang dihasilkan pada tahun 1999 merupakan contoh terbaik karya Alan Ball sehingga berjaya melayakkan dirinya menerima Oscar untuk Lakon Layar Asal Terbaik.
Kisah yang menceritakan tentang kehidupan keluarga dan masyarakat tipikal yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) itu menjadi sebutan ramai sehingga ia tersenarai sebagai salah sebuah filem terbaik yang pernah dihasilkan di Hollywood.
Malah, American Beauty berjaya merangkul lima Oscar termasuk Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik untuk Sam Mendes menerusi lapan pencalonan yang diterimanya.
Kreativitinya tidak berhenti setakat itu apabila Alan mengambil langkah untuk memberikan satu lagi pendekatan baru dalam penghasilan siri drama untuk televisyen pula.
Maka dengan itu, tercetuslah idea untuk mengetengahkan kisah sebuah keluarga yang menjalankan perniagaan rumah mayat menerusi siri televisyen Six Feet Under untuk HBO berjaya direalisasikan.
Mula ditayangkan pada tahun 2001, Six Feet Under mendapat respons yang cukup baik serta mencatatkan rating tinggi untuk setiap penayangan di saluran itu.
Bukan itu sahaja, Six Feet Under juga dinobatkan serta menerima pengiktirafan tertinggi dalam beberapa acara anugerah di Hollywood seperti Emmy, Golden Globe dan Screen Actors Guild.
Six Feet Under berjaya menjadi salah sebuah siri drama televisyen yang lari daripada tema klise seperti mana yang sering dimomokkan penerbit di Hollywood.
Meskipun hanya mampu bertahan selama lima musim yang berakhir pada 21 Ogos 2005, Six Feet Under berjaya 'mengundurkan diri' dengan penuh bermaruah.
Mengenali Alan, dia merupakan seorang karyawan seni yang tidak tahu duduk diam dan tidak pernah kekeringan idea yang mampu menghasilkan impak luar biasa.
Karya terbarunya, True Blood yang diterbitkan untuk HBO kini mula meniti di bibir peminat sebaik sahaja episod pertamanya ditayangkan pada 7 September 2008 di AS.
Untuk penonton Malaysia pula, True Blood memulakan tayangannya pada 9 April lalu secara eksklusif menerusi saluran MAX (saluran 412, Astro).
Menyingkap sejarah, True Blood dihasilkan sebaik sahaja Six Feet Under melabuhkan tirainya dan kebetulan ketika itu, Alan telah mengikat kontrak bersama HBO untuk menghasilkan siri televisyen.
Tertarik dengan novel pertama karya Charlaine Harris berjudul Dead Until Dark dalam siri Sookie Stackhouse membuatkan Alan begitu teruja merealisasikan kisah komuniti manusia dan puntianak dengan memperlihatkan dirinya sebagai seorang produser, penulis skrip serta pengarah.
Pesimis
Bukan lagi kisah puntianak yang klise seperti mana yang sering dimomokkan, True Blood berlatar belakangkan kisah puntianak dan manusia yang hidup dalam dunia serba moden hari ini di sebuah perkampungan di Bon Temps yang terletak di Louisiana, AS.
Terima kasih kepada hasil penyelidikan yang dilakukan oleh saintis, puntianak tidak lagi perlu menjadikan manusia sebagai mangsa untuk terus hidup beratus tahun. Sebaliknya penghasilan darah sintetik, V-juice mampu membuatkan mereka hidup seperti manusia lain.
Membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Anna Paquin, Stephen Moyer, Sam Trammell, Ryan Kwanten dan ramai lagi, tidak dinafikan, jalan ceritanya yang unik menjadikan True Blood kini semakin mendapat perhatian.
Bagi Anna yang memegang peranan utama sebagai Sookie Stackhouse dalam siri ini, dia sememangnya sudah lama mengidam untuk bekerja dengan Alan serta mengagumi hasil kerjayanya.
Meskipun pada mulanya dia agak pesimis mengenai peluangnya untuk beraksi dalam siri ini, namun dia bersyukur apabila peluang hadir juga dalam hidupnya dan cuba untuk memberikan hasil yang terbaik.
"Bukan saya sahaja tetapi orang disekeliling saya agak kurang yakin dengan kemampuan saya untuk membintangi True Blood. Saya tidak mempedulikan kata mereka sebaliknya, saya teruskan dan hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa bertuahnya saya.
"Ini merupakan langkah terbesar dalam karier seni saya dan untuk melibatkan diri dalam karya Alan adalah pengalaman yang cukup manis. Saya menyifatkannya sebagai seorang karyawan yang mempunyai imaginasi cukup luar biasa," jelasnya yang dilahirkan di Winnipeg, Manitoba, Kanada pada 24 Julai 1982 itu.
Hasil daripada kerja kerasnya, Anna berjaya menerima anugerah Golden Globe bagi kategori Pelakon Wanita Siri Televisyen Drama Terbaik pada bulan Januari lalu.
Jika ada yang terlupa, dia juga merupakan seorang pemenang Oscar apabila memenangi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada tahun 1994 menerusi filem The Piano lantas menjadikannya pemenang kedua paling muda yang pernah memenangi Oscar selepas Tatum O'Neal.
Bercerita tentang wataknya dalam True Blood, Anna memberitahu Sookie merupakan watak idamannya yang mempunyai pelbagai sifat di dalam dirinya.
Sebagai seorang pelayan di sebuah restoran, Sookie dikurniakan dengan kuasa telepati yang memerlukan dirinya begitu berhati-hati dengan apa sahaja tindakannya.
"Selain itu juga, dia mempunyai sifat-sifat optimis dan pesimis dalam masa yang sama. Biarpun perjalanan hidupnya tidak seindah orang lain, tetapi dia tidak menjadikan itu sebagai halangan untuk dirinya hidup bahagia serta menikmati kehidupan ini.
"Itu membuatkan watak Sookie ini begitu dekat dengan diri saya dan hakikatnya, ini merupakan watak terbaik yang pernah saya bawakan sepanjang menjadi anak seni," ujarnya yang kini menetap di Venice, Los Angeles, California, AS.
True Blood juga menyelitkan elemen romantis apabila Sookie akhirnya jatuh cinta kepada seorang puntianak lelaki berusia 173 tahun, Bill Compton lakonan Stephen Moyer.
Apatah lagi dalam dunia realiti, Anna dan Stephen merupakan pasangan kekasih dan mula berpacaran sebaik sahaja tamat penggambaran episod pertama True Blood.
Stephen memberitahu membawakan watak puntianak memberikan cabaran baru kepadanya dan ternyata aktor ini begitu menyukai watak Bill yang disifatkan memberi dimensi baru kepada watak puntianak itu sendiri.
Kegagalan tidak pernah wujud
"Jika diselami, watak Bill sememangnya cukup menarik dan dia mempunyai kisahnya yang tersendiri. Dia juga perlu berdepan dengan situasi yang ada kalanya menjadikan dirinya tersepit antara kehidupannya sebagai seorang puntianak dan cintanya terhadap Sookie.
"Pengalaman berlakon dalam True Blood sememangnya cukup menarik dan Alan memang bijak mendalami serta mewarnai setiap watak dalam siri ini lantas menjadikan ia sebagai sebuah siri yang berdiri di landasannya yang tersendiri," katanya yang mempunyai tiga set gigi palsu bertaring dalam menghidupkan watak Bill.
Untuk membawakan watak romantis bersama Anna, tidak memberikan sebarang masalah kepada aktor kelahiran Brentwood, Essex, England, United Kingdom ini.
Ini kerana keserasiannya bersama Anna terjalin dengan begitu pantas dan dia bukan sembarangan aktres yang pernah dikenalinya sebelum ini.
"Saya pernah mengajar kelas drama untuk kanak-kanak satu ketika dulu dan saya sering mengatakan kepada mereka kegagalan tidak pernah wujud sebaliknya jika apa yang dilakukan tidak memberi hasil yang baik, ia mampu memberikan sesuatu yang berguna.
"Itu yang saya lihat dalam diri Anna kerana dia berusaha keras untuk menghidupkan wataknya dalam siri ini.
"Malahan, dia tidak pernah lelah untuk mencuba serta meminta pandangan daripada sesiapa pun semata-mata mahu memberikan hasil terbaik. Saya kagum dengan aspirasinya sebagai seorang aktres," jelas aktor berusia 40 tahun ini memberikan pandangannya.
Untuk peminat genre aksi, seram dan thriller, pastikan anda tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan True Blood yang ditayangkan di saluran MAX (saluran 412, Astro) pada setiap hari Khamis bermula pukul 10 malam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: