Faizal Tahir |
Walaupun berasa kelakar tersenarai Pengacara TV Lelaki Popular ABPBH 2008, Faizal Tahir tetap hargai sokongan peminat
BETAPA sukar sebenarnya dia menerima hakikat bahawa namanya tidak berada dalam senarai pencalonan kategori Penyanyi Lelaki Popular untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH 2008).
Sebagai penyanyi, pastinya menjadi harapan Faizal Tahir untuk melihat dirinya tersenarai dalam kategori itu, namun kerana tidak mempunyai sebarang produk baru sepanjang tahun lalu seperti yang disyaratkan membuatkan dia hanya mampu berpuas hati apabila namanya tersenarai sebagai finalis kategori Pengacara TV Lelaki Popular.
Satu penghargaan yang tidak pernah terfikir dalam benak penyanyi yang cukup popular dengan lagu Cuba dan Sampai Syurga ini. Bukannya menidakkan pengorbanan yang dilakukan peminatnya itu cuma Faizal merasakan kategori pengacara itu tidak begitu dekat dengan hatinya.
“Sejujurnya, saya rasa kelakar dan sangat kekok. Apabila mendapat tahu yang nama saya tidak tercalon untuk kategori Penyanyi Lelaki Popular dan sebaliknya tersangkut dalam kategori Pengacara TV Lelaki Popular, saya memang terkejut sangat sebab bidang pengacaraan bukanlah sesuatu yang amat saya minati.
“Lagipun kalau diimbas kembali, kebanyakannya pencapaian saya dalam bidang seni semuanya membabitkan muzik seperti kemenangan untuk Anugerah Industri Muzik dan Anugerah Juara Lagu.
“Memang terkejut sangat sebab bidang nyanyian adalah kerjaya utama manakala pengacara adalah sambilan tapi yang tersangkut adalah kerjaya sambilan,” luah Faizal dalam satu temubual bersama Hip ketika mengadakan sesi fotografi di koc Di Raja, Stesen KL Sentral, baru-baru ini.
Begitupun, apabila dia meluahkan perasaan terkilannya kerana tidak tersenarai kategori penyanyi popular, bukanlah bermakna Faizal begitu mengharapkan kemenangan dalam kategori itu.
“Seperti yang selalu saya tegaskan sebelum ini, apabila saya melakukan sesuatu, anugerah bukanlah yang saya fikirkan. Popular ke, terbaik ke semuanya saya letak ke tepi kerana apa yang lebih penting adalah, kepuasan yang saya dapat dalam bekerja.
“Cuma dalam hal ini, terfikir juga saya bahawa apa yang saya tak pernah terfikir sebelum ini (menjadi pengacara) rupa-rupanya ramai yang memberi perhatian. Pun begitu, saya belum terfikir untuk menjadi pengacara kerana saya bukanlah seorang yang percaya kepada kepelbagaian kerjaya,” jelas bapa kepada tiga orang cahaya mata ini.
Dan saat ditanyakan apakah peluangnya cerah untuk mengungguli kategori yang turut menyenaraikan “gergasi” dalam bidang pengacaraan, Faizal menyambut soalan itu dengan tawa yang panjang.
“Tak mungkin, rasa tak layak. Lihat saja siapa yang tercalon, Aznil, AC Mizal, Faizal Ismail dan Ally Iskandar, semuanya hebat dan berpengalaman dalam bidang ini sedangkan saya hanyalah sempat mengendalikannya untuk 13 episod saja.
“Apapun, saya terima kasih kepada semua peminat yang sanggup mengundi hingga saya tersenarai sebagai finalis ABPBH 2008. Ia satu penghormatan buat saya. Walau apapun keputusannya, saya terima dengan hati yang terbuka.
“Dan yang lebih penting, keutamaan saya masih lagi dalam bidang nyanyian dan saya akan terus aktif mencipta lagu,” tuturnya.
Selesa rekaan Hazwani Osman
KERJASAMA mereka bermula sewaktu Anugerah Juara Lagu ke-23 lalu. Ketika itu Faizal kesuntukan masa untuk mencari pereka yang dapat menghasilkan pakaian yang bersesuaian untuk persembahannya malam itu. Puas dicari akhirnya tugas itu diberikan kepada pereka muda yang berbakat besar ini.
“Saya mula bekerja dengan Hazwani sejak AJL lalu dan saya berpuas hati dengan hasil kerjanya. Rekaannya menepati cita rasa saya serta setiap pakaiannya itu bersesuaian dengan perwatakan saya.
“Walaupun saya seorang rocker, tapi dia tahu apa yang perlu saya gayakan supaya imej saya tetap kelihatan menarik,” cerita Faizal mengenai siapakah pereka yang akan menyiapkan pakaiannya sewaktu ABPBH 2008 nanti.
Sambil mengakui tidak cerewet dalam memilih pakaian, Faizal berkata untuk rekaan ini, dia menyerahkan perkara itu sepenuhnya kepada cita rasa Hazwani.
“Saya percaya kepadanya dan saya tahu dia bijak untuk memilih persalinan yang bagaimana yang sesuai dengan perwatakan saya. Walau apapun rekaannya, sentuhan rock itu tetap ada asalkan tidak keterlaluan.
“Dan saya puji tema tenun yang diketengahkan ABPBH tahun ini kerana bangga mengangkat khazanah Melayu itu untuk acara anugerah paling berprestij seperti ini,” kata Faizal yang mengakui akan setia dengan seorang pereka saja andai dirinya selesa dengan hasil kerjanya itu.
Rindu rambut panjang
KEPUTUSANNYA untuk memotong rambut panjang bukanlah kerana desakan sesiapa. Sebaliknya, menurut Faizal, keputusan drastik itu dilakukan dengan kehendak sendiri.
“Kali terakhir saya berambut pendek sekitar tahun 1995 iaitu ketika masih di alam persekolahan. Selepas itu, saya ada potong rambut iaitu ketika saya membuat persembahan di malam AJl tetapi tidaklah pendek seperti ini. Dan sejak itu saya tak pernah potong rambut. Pun begitu, sejam sebelum saya menghadiri sidang media ketiga ABPBH 2008, masa itulah saya nekad untuk memotong rambut.
“Apabila rambut sudah pendek, masa itu rasa gembira sangat. Cuma saya tak nafikan kekok sikit sebab sudah biasa dengan rambut panjang. Apapun saya kena kuatkan semangat dan sabar menunggu sehingga rambut panjang,” sambung Faizal mengenai imej terbarunya.
Ditanya apakah reaksi peminat sebaik saja melihat imej barunya itu, dengan pantas Faizal menjawab, kebanyakan mereka tidak menggemarinya.
“Mereka sebenarnya lebih suka melihat saya berambut panjang kerana kalau rambut pendek, mereka kata hilang imej rock. Namun kalau kita lihat sekarang ini, ramai artis rock terutama kumpulan muzik bebas rambut mereka tak adalah panjang sangat.
“Bagaimanapun, saya tak nafikan yang saya rindu juga dengan rambut panjang saya terutama apabila melihat gambar lama. Tak apalah, selepas ini mesti tumbuh balik. Inilah kali terakhir saya berambut pendek, malas nak potong lagi,” ujar Faizal sambil tersenyum.
Penyanyi ini juga baru saja muncul dengan single terbaru berjudul Bencinta. Lagu yang dicipta oleh Audi Mok dan lirik ditulis olehnya sendiri.
“Lagu ini memang istimewa buat saya kerana selain melodinya yang agak berbeza, ia juga adalah hasil bersama antara saya dan Audi. Sebelum ini, saya hanya tumpukan menulis lirik dan Audi mencipta lagu, tetapi kali ini, lagu Bencinta yang diambil dari dua perkataan berbeza iaitu benci dan cinta itu adalah dihasilkan dari idea kami bersama,”ujar Faizal yang baru saja menimang cahaya mata lelaki yang bernama Ahmad Rifa'ie Zidane.
Info
Nama : Ahmad Faizal Mohd Tahir
Nama komersial : Faizal Tahir
Tarikh lahir : 26th Oktober 1978
Nama Isteri : Siti Raihanim Noran
Anak: 3
Tinggi : 170cm
Berat : 65 kg
Hobi : Bermain alat muzik , menyanyi
Personaliti : Aktif, suka berkawan
Album : Aku.Muzik.Kamu
Pencapaian: Artis Baru Terbaik AIM ke-15, Persembahan Vokal Lelaki Terbaik AIM ke-15, Album Rock Terbaik AIM ke-15, Vokal Terbaik dan Juara kategori Balada Anugerah Juara Lagu ke-23
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: