Thursday, April 2, 2009

Michelle puas lakon lasak


WATAK Letty menerusi filem aksi, The Fast And The Furious pada 2001 antara lakonan yang berjaya melonjak nama aktres jelita Michelle Rodriguez sebagai pelakon berbakat besar.

Menerusi filem itu, dia mencabar diri membawa karakter wanita lasak yang sanggup membahayakan nyawa demi membantu kekasihnya, Dominic Toretto lakonan Vin Diesel.

Namun, di sebalik keberanian Michelle melakonkan aksi itu dia mengakui keserasian yang wujud dengan Diesel sebagai pasangan kekasih menjadi faktor untuk dia memberikan lakonan berkesan.

Kini selepas lapan tahun filem itu berlalu, dia kembali ke layar perak membintangi filem sama di samping kekasih lama. Sekuel terbaru Fast & Furious 4 yang ditayangkan di pawagam tempatan mulai esok (Khamis) bukan hanya menyaksikan Michelle dan Diesel kembali bersama, tetapi dia dianggap kembali bersama pelakon utamanya, Paul Walker sebagai Brian O'Conner dan Jordana Brewster (Mia Toretto).

Filem ini diarahkan Justin Lin dan dijangka menarik perhatian ramai terutama penggemar setia filem aksi lumba kereta jalanan.

Kata Michelle, Diesel menyatakan hasrat mahu berlakon bersamanya untuk sekuel baru kali ini. Sebelum terbabit dengan filem ini, Diesel melihat lakonan Michelle menerusi filem Girlfight dan menyatakan selesa berlakon bersama Michelle.

"Kesinambungan pelakon dulu untuk sekuel memang penting bagi menghubungkan plot cerita yang ingin ditampilkan menarik perhatian penonton. Malah, kemunculan semula pelakon asal seperti Diesel dan Walker mempunyai interaksi kuat pada watak yang dibawa.

"Walaupun peranan pelakon wanita dalam filem lebih pada aspek membantu merapatkan hubungan antara pelakon utama, ia juga diperlukan untuk melengkapkan keseluruhan filem sebagai satu keluarga. Untuk filem ini, saya berusaha memberikan pelbagai idea untuk menghidupkan watak saya dengan lebih baik.

"Biarpun saya ingin menampilkan watak saya sama hebat dengan watak lelaki, tetapi legasi Hollywood tetap menggunakan watak wanita untuk aspek cinta yang membuatkan seseorang untuk membalas dendam.

"Bagaimanapun, pengalaman ketika membintangi filem ini cukup menyeronokkan apatah lagi aksi kereta terbalik dan kereta yang mempunyai aksesori canggih dijangka menarik perhatian ramai berbanding aksi pelakon wanita semata-mata.



"Berlakon bersama Diesel, saya berasa selesa untuk kami bekerjasama semula. Ada ketika saya mendapatkan nasihat daripada dia dan sejak beberapa tahun kami berkawan, kami mempunyai hubungan rapat. Boleh dikatakan dia mencintai saya dan begitu juga saya," katanya.



Melakonkan karakter wanita lasak, dia tidak mempunyai masalah kerana berani mencuba dan menimba pengalaman baru. Katanya, pengalaman ketika mula berkecimpung sebagai pelakon pada usia 20 tahun suatu yang berbeza dengan apa yang diraihnya hingga kini.

Selepas 10 tahun aktif dalam bidang lakon, dia makin matang dalam membuat keputusan dan menjiwai watak dengan lebih baik. Biarpun sibuk dengan kerjaya sebagai pelakon, dia menyimpan hasrat untuk bekerja di belakang tabir.

Kata Michelle, dia berminat menulis skrip dan menerbitkan filem suatu hari nanti. Dia kini menyiapkan projek filem Tropic Of Cancer mengisahkan kehidupan wanita bersama tiga beradik hidup dalam pemerintahan diktator yang diketuai Trujillo.

"Wanita itu mahu berjuang untuk mendapatkan kehidupan lebih tenteram. Watak utama wanita ini dijayakan Salma Hayek dan penggambaran dilakukan di Republik Dominican. Penggambaran yang dilakukan di sana sebelum ini berlangsung dengan baik.

"Walaupun bekerjasama dengan pengarah baru yang tiada pengalaman, saya bertanggungjawab dalam meninjau lokasi penggambaran. Kini, saya terbabit dengan proses suntingan filem ini," katanya.

Michelle, 30, atau nama sebenar, Mayte Michelle Rodriguez berasal dari Bexar County, Texas, Amerika Syarikat. Dia mula menunjukkan minat pada bidang lakon pada 1999 dan mengambil peluang menjadi pelakon pembantu menerusi beberapa filem seperti Summer Of Sam dan Cradle With Rock.

Filem Girlfight (2000) berjaya melonjak namanya apabila dipilih sesuai untuk melakonkan watak Diana Guzman. Menariknya, untuk watak itu dia bersaing dengan 350 wanita lain. Biarpun tanpa pengalaman bertinju, dia akhirnya layak berlakon filem itu selepas mendapat latihan di Brooklyn Gleason's Gim.

Selain Fast & Furious 4, dia juga terbabit dengan drama bersiri popular Lost dan dua filem baru, Tropic Of Cancer dan Avatar tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: