Thursday, April 2, 2009

Dua kali diberi kekebalan


TUJUH peserta yang masih berjuang dalam pertandingan nyanyian OIAM3, dari kiri; Ridzuan, Amylea, Simon, Tomok, Esther, Nine dan Aweera.

Nasib malang terus menimpa peserta perempuan dalam OIAM

BUAT kali kedua, Tomok menerima kekebalan atau imuniti daripada juri pertandingan One In A Million (OIAM) musim ketiga, Paul Moss dan Syafinaz Selamat.

Kali ini, dia mendapat lesen pengecualian daripada undian peminat hasil persembahannya menyanyikan kembali lagu Ingin Bersamamu, dendangan asal juri wanita terbabit. Tomok atau nama sebenarnya Shah Indrawan Ismail, 24, memperoleh kekebalan pertama selepas menunjukkan kemampuan mengolah dan menyanyikan lagu Meet Uncle Hussain, La La La Kerjalah mengikut gayanya sendiri.

Pada Jumaat lalu, dia sekali lagi menongkah arus apabila memilih untuk menyanyikan lagu dendangan penyanyi wanita, dengan mengubah bentuk muziknya menjadi lebih rancak dan segar. Begitupun, dia mampu mengekalkan melodi asal lagu yang dipopularkan Syafinaz, 10 tahun lalu itu sehingga membuatkan juri sekali lagi memilih dirinya untuk memegang imuniti.

Sehingga kini, Tomok dilihat sebagai antara peserta paling kreatif dek keberaniannya mencuba sesuatu yang berbeza. Cuma persembahannya pada minggu sebelum ini kurang mendapat tempat di hati juri. Selebihnya, dia tampil segar dengan susunan muzik lagu yang meyakinkan.

"Sudah tentulah banyak risikonya apabila kita mengubah semula susunan muzik sesebuah lagu. Jika kita melakukannya dengan baik, ia mungkin membantu kita untuk menyerlah dan begitulah sebaliknya. Paling penting, kita membuat pemilihan lagu yang sesuai untuk dipersembahkan. Saya memilih Ingin Bersamamu kerana ia memberikan cabaran baru.

IMUNITI menjadi milik Tomok buat kali kedua.

"Saya bukanlah mengharapkan Syafinaz memberikan perhatian yang lebih dengan menyanyikan lagu dendangannya. Saya tidak pernah memandang pemilihan lagu ini dari sudut itu. Saya berasakan, kita masih mampu memikat hati juri walaupun dengan menyanyikan lagu orang lain," katanya pada sidang akhbar selepas tamatnya persembahan minggu kelima OIAM3 di Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Ditanya apakah dia tidak risau dituduh sebagai peserta yang hanya bergantung kepada lagu rancak semata-mata, penyanyi ini berkata, dia sememangnya turut terfikir perkara itu.

"Atas kesedaran itu, saya pernah menyanyikan lagu berentak perlahan dan saya akui, saya masih ada kelemahan ketika menyampaikan lagu seperti itu. Begitupun, demi menarik perhatian juri, saya perlu bijak bermain dengan susunan muzik. Saya berhutang budi dengan Aubrey (Suwito) yang banyak membantu saya dalam hal ini.

"Saya sendiri, jika boleh, tidak hanya mahu menyanyikan lagu berentak rancak. Tetapi, sehingga sekarang, mungkin saya belum berjumpa lagu perlahan yang benar-benar sesuai," katanya.

Imuniti untuk peserta ‘celik muzik’

Syafinaz dan Paul menegaskan, pemberian imuniti selalunya berpihak kepada peserta yang ‘celik muzik’ dan pada minggu terbabit, Tomok membuktikan dia layak menerimanya atas keberanian peserta itu menukar lagu berkenaan menjadi miliknya.

Selain Tomok, Esther turut memberikan persembahan yang meyakinkan.

"Cuma, kami berasakan lagu I Don’t Love You (nyanyian asal My Chemical Romance) oleh Esther tidak cukup dikenali dan penonton sendiri susah untuk menerimanya. Apatah lagi, melodi lagu itu sendiri tidak begitu kuat," kata Paul pula.

Namun begitu, kesemua juri termasuk juri undangan, Francesca Peter (Fran), memuji nyanyian Esther yang disifatkan mampu mencantikkan sesebuah lagu dengan vokalnya yang baik. Nasihat Fran padanya, dia perlu tampil lebih hidup di pentas persembahan.

Syafinaz dan Paul memuji keupayaan Tomok untuk keluar daripada zon selesanya dengan mencuba sesuatu yang baru, walaupun menyedari ada risiko yang menanti.

Kata Syafinaz, sebahagian peserta memang berani menunjukkan persembahan berbeza. Katanya, peserta perlu ingat, sekiranya cubaan berani itu berkesan, mereka akan diberikan habuan yang bukan kepalang - imuniti!

Pada persembahan Jumaat lalu, Aweera (Enter Sandman / Metallica) dan Nine (Nakal / Gigi) bagai memberikan harapan tatkala muncul di pentas. Peserta lain yang turut bersaing ialah Amylea dengan lagu Satu Dalam Sejuta yang diciptanya sendiri, Simon (Eternity / Robbie Williams) dan Rizu (Naluri Lelaki / Samsons).

Hanya tinggal dua peserta perempuan

SEJAK lima minggu lalu, OIAM3 belum pun pernah menyaksikan peserta lelaki tersingkir. Peminat nampaknya lebih suka menyimpan peserta lelaki. Fify Ahmad Murshaidi (Fify) menjadi peserta kelima terkeluar daripada saingan OIAM3 selepas Ayu Han, Pija dan Anith. Perjuangan peserta wanita kini hanya diteruskan Amylea Azizan dan Esther Lim.

Apabila penonton atau peminat asyik menyingkirkan peserta perempuan, apakah ia dengan sendiri memungkinkan kemunculan juara lelaki pertama bagi siri pertandingan ini? Musim pertama dimenangi Suki, manakala Ayu pula mengungguli pertandingan itu pada musim kedua. Mungkin terlalu awal untuk jawapannya diberi, walaupun kemungkinannya kini semakin melebarkan diri.

Sementara itu, Fify, 19, memberitahu dia akan kembali menyambung pengajiannya di UiTM yang ditunda selama satu semester, sebelum meneruskan langkah mencari peluang terbaik bergelar penyanyi.

"Walaupun tersingkir, pertandingan ini banyak sekali mengajar saya mengenali kelemahan diri. Daripada pelbagai pertandingan nyanyian yang saya sertai, belum ada pengalaman sebaik ini yang pernah saya kutip. Sudah tentu, OIAM menjadi pengalaman paling manis," katanya.

Bagi Syafinaz, penyingkiran Fify berkemungkinan besar kerana kegagalannya untuk menampilkan persembahan yang lebih baik berbanding tujuh peserta lain.

"Berdasarkan kepada persembahannya pada minggu lalu, sememangnya Fify ialah peserta yang paling goyah nyanyiannya. Dalam nyanyian, perlu ada kebolehan artistik yang membantu menampakkan sesuatu persembahan nampak cantik. Mungkin faktor itulah yang kurang dimiliki Fify," kata Syafinaz.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: