Monday, April 13, 2009

Tak pernah putus asa




Kehidupan perlu diteruskan seperti biasa walaupun menghadapi macam-macam gosip liar

PERBUALAN pada petang ketika sesi bergambar dengan Nurul Huda Abdul Wahab atau Nurul berselang seli dengan gelak tawa. Biarpun agak singkat bicaranya kerana sejurus selesai sesi ini, penyanyi yang juga pengacara dan pelakon ini ada urusan lain yang perlu dibereskan.

Namun begitu, sebelum meminta diri, Nurul sempat berkongsi cerita mengenai kelahiran ‘anak’nya iaitu yakni album barunya memuatkan tujuh lagu termasuk lagu Tangis Syukur dan Bukan Cermin Di Hati.

Ternyata daripada riak wajahnya, walaupun berstatus janda, semangat Nurul meneruskan perjuangan kerjaya seninya yang tak pernah terhenti. Malahan, dengan semangat yang dimilikinya, penyanyi itu kini gigih untuk tampil dengan penjenamaan baru dirinya.

“Album ini sudah siap dan akhirnya terhasil kembali album solo yang menjadi buah tangan saya kepada peminat di luar sana. Ia dijangka berada di pasaran tahun ini juga.

“Nurul berpuas hati dengan apa yang diusahakan syarikat penerbitan ini dan apa yang diingini dipenuhi mereka. Lagipun ada di kalangan mereka yang bekerja di situ sudah lama dikenali Nurul dan kepercayaan itu ada tanpa perlu diragui,” katanya yang mula menandatangani kontrak bersama Metadome sejak tahun ini dan berpanjangan dalam tempoh yang lama.



Kata Nurul, hadirnya album berkonsep pop itu kelak sebagai tanda terima kasih buat peminat yang tak jemu menyokong dan memberi semangat membara.

Seakan-akan, mengerti dengan soalan seterusnya yang ingin diaju kepadanya mengenai kisah peribadi, Nurul bijak mengalih perhatian dengan memberitahu kekasihnya kini adalah peminatnya.

“Nurul bermula ketika industri hiburan berkembang pesat dan ketika itu tidak ramai persaingan.

“Malah rezeki Nurul kini tak pernah putus dan harapnya ia akan menjadi pengubat rindu kepada peminat,” katanya memberitahu lagu Tika Cinta sebagai single pertama yang berkonsepkan pop Jepun (J Pop). Lagu lain yang dimuatkan di dalam albumnya ialah Sepenuh Jiwa, Kala Hati, Jadikan Aku Bintang dan Tertutup Hati.

Nurul tidak sabar menantikan kehadiran album barunya.

Sekuat dan setabah orangnya mengharungi liku-liku kehidupan, sesi fotografi bersama penyanyi Nurul dilakukan dalam cara yang agak berlainan. Sekali pandang, ‘hot mama’ kelahiran Pulau Pinang ini persis bintang Bollywood tatkala juraian kain sayap diletakkan di atas kepalanya dan sesekali gayanya seperti wanita Mexico yang mempesonakan.

Begitu anggun menyarung persalinan tajaan pereka Hatta Dolmat berwarna ungu, wanita bergelar ibu tunggal kepada Ayu Nazirah ini sanggup berhujan demi memastikan kelancaran fotografi lewat petang Khamis, minggu lalu. Hidungnya sedikit berair dan terbit juga kebimbangan barang kali diserang demam atau selesema nanti.

Maklumlah sehari selepas itu, dia diundang syarikat naungannya kini Metadome Sdn Bhd menyerikan persembahan penyanyi Anggun Cipta Sasmi di sebuah hotel di ibu negara. Pintas penyanyi yang mula dikenali dengan lagu Kerana Terluka ini, alang-alang sudah hampir basah, biar diteruskan saja fotografi itu hingga menarik pandangan orang ramai yang lalu lalang.

“Menarik juga idea ini. Tak salah mencuba pelbagai gaya dan ini semuanya pengalaman indah yang boleh dikutip menjadi azimat berharga,” katanya yang menawan disolek jurusolek kegemarannya, Deq Sha.

Menambah seri bekas isteri kepada komposer Ajai ini ialah aksesori Rafflesia The Pearl Centre yang cukup melekat di tubuh penyanyi berkulit hitam manis itu. Tidak susah untuk menjayakan fotografi ini kerana seiring dengan pengalaman 15 tahun dalam arus seni, Nurul antara selebriti yang cukup ‘makan gambar’.

Tiada masalah untuk bersendiri

Tidak mahu menghampakan soalan Hip, Nurul menjelaskan yang dia bahagia dengan kehidupan sekarang biarpun ada kalanya berendam air mata kerana terlalu makan hati.

Selepas berpisah dengan Ajai, singgah juga cerita mengenai cinta barunya yang kecundang di tengah jalan.

“Nurul gembira dengan kehidupan sekarang, cuma yang menjadi kebimbangan yang mencalar hati ialah apabila sesetengah masyarakat mula membuat kesimpulan tanpa mengetahui keadaan sebenar.

“Sedangkan orang tak tahu, Nurul harus bekerja keras untuk jaminan masa depan. Mengenai soalan apakah Nurul sudah bertemu pengganti, biarlah suatu hari nanti bila ada masa yang sesuai, Nurul tidak akan teragak-agak memberitahu perkara sebenar,” jelas Nurul berlapik sambil menimbulkan tanda tanya apakah yang dia kini sudah ada pengganti.

INFO: Perspektif Nurul

  • Lelaki: Perlu berani dan bertanggung jawab.

  • Kuda: Masih meneruskan hobi menunggang kuda jika ada kelapangan di Selangor Turf Club. Kuda pilihannya seperti Jimmy, Hulk, Lucky Dragon dan ‘cinta’ pertamanya, Sorento.

  • Ayu Nazirah: Semakin membesar, sudah jadi anak dara dan jika ada masa terluang, Nurul pasti bertemu dan menghabiskan masa bersamanya. Soal penjagaan, Nurul mahupun Ajai tidak berkira dan dia boleh mengambil Ayu pada bila-bila masa yang sesuai.

  • Album duet bersama Ajai: Sangat memberi impak kerana ketika itu jarang ada pasangan suami isteri yang membikin album duet selepas Allahyarhamah Saloma dan Tan Sri P Ramlee

    PROFIL: Nurul

    Nama: Noorul Huda Abdul Wahab
    Tarikh Lahir: 27 Julai 1977
    Umur: 31 tahun.
    Asal: Tasek Gelugor, Seberang Prai, Pulau Pinang.
    Hobi: Membaca, melancong dan menunggang kuda.
    Album

    Solo:
    Nurul (1995), Ikhlasnya Cinta Ku (1996), Kini Dan Selamanya (1998), Cita Dan Cinta (2000).
    Filem: Sate.
    Pencapaian: Artis Baru Terbaik AIM 1997; Lagu Paling Popular Pujaan 10 Nescafe 1995 (Kerana Terluka) dan Lagu Terbaik AIM 2004 (Selagi Ada Cinta).
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: