Amalan tidak sihat di stesen TV dan kawalan terlalu ketat membantutkan industri kreatif
PENDEDAHAN meluas terhadap produk kreatif antarabangsa menerusi televisyen satelit, pawagam dan internet selain kekangan domestik adalah antara masalah yang membelenggu negara membangun seperti Malaysia untuk memanfaatkan pembangunan industri kreatif.
Ketika ini, industri kreatif tempatan seperti penerbitan filem, televisyen dan media baru berdepan masalah percanggahan personaliti disebabkan kekangan bajet serta kesukaran mendapatkan dana walaupun peruntukan untuk membangunkannya sudah tersedia.
Penerbit dan pengarah terkenal, Datin Paduka Shuhaimi Baba ketika membentangkan kertas kerja bertajuk, Industri Kreatif: Apakah Kita Bersedia pada Persidangan Industri Kreatif ‘09 di Hotel Nikko, Kuala Lumpur, baru-baru ini berkata, keadaan itu berlaku berkemungkinan daripada peruntukan yang diletakkan di bawah badan atau kementerian berbeza.
“Sebahagian dana ini dikawal begitu ketat hingga membantutkan perkembangan industri kreatif lantaran kesukaran mendapatkan bantuan yang disediakan.
“Badan yang berkaitan pula diletakkan di bawah kementerian berbeza malangnya tiada kerjasama rapat antara mereka,,” katanya.
Shuhaimi berkata, polisi dan inisiatif daripada kementerian berkaitan diperlukan untuk menghidupkan industri yang mempunyai potensi besar tetapi aspek itu diabaikan dan tidak dimanfaatkan sebaik mungkin.
Sehubungan itu, inisiatif seperti menyuburkan bakat kreatif supaya mampu bersaing di peringkat global dan tidak hanya tertumpu kepada memberi penghargaan pada acara penganugerahan atau sekadar peluang produksi.
“Usaha ini merangkumi mencari, mengenal pasti serta melatih penulis, penerbit dan pengarah serta pemain utama industri kreatif.
“Pengarah dan penerbit baru perlu diberi tunjuk ajar profesional supaya mereka dapat memberikan karya yang dimahukan industri. Geran untuk skrip dan pembangunan projek juga perlu disediakan, bagaimanapun harus dipisahkan daripada geran produksi,” katanya.
Usaha itu harus merangkumkan ruang promosi yang besar, selain penghargaan serta mewujudkan permintaan untuk produksi tempatan.
“Pembangunan pengisian dan profil produk tempatan perlu diperbaiki, selain menghadirkan suasana kerja yang kondusif untuk membangunkan industri kreatif.
“Semua peluang ini harus didokong oleh badan kerajaan berkaitan sekiranya kita serius untuk memajukan ekonomi kreatif,” katanya.
Shuhaimi turut menyentuh pembangunan perlahan dalam penerbitan televisyen yang seterusnya memberi impak kepada industri perfileman.
Ketika industri penyiaran digital dunia sedang memanfaatkan teknologi High Definition, Malaysia yang terlebih dulu memperkenalkan teknologi itu dalam industri perfileman agak ketinggalan berbanding negara jiran.
Ia berlaku disebabkan ketiadaan tenaga kerja profesional dalam melaksanakan pembangunan tahap produksi, di samping ketiadaan strategi untuk mencipta produk utama.
“Sikap pilih kasih, peruntukan kecil serta perancangan kurang teliti dan ketiadaan hak cipta intelektual turut menyumbang kepada perkara ini.
“Kesemua faktor itu menyebabkan pengisian televisyen tempatan mendatar, sedangkan pembangunan positif secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada penggiat industri perfileman,” katanya.
Situasi penerbitan televisyen
DALAM kertas kerjanya yang dibentangkan pada hari pertama persidangan, Shuhaimi turut membangkitkan beberapa isu kritikal yang sedang melanda penerbitan televisyen.
Bajet yang semakin mengecil katanya, memaksa penerbit terpaksa memendekkan waktu penggambaran dan ia memberi kesan terutama membabitkan pembayaran kepada pengkarya di samping mengecilkan tenaga kerja.
Ketika ini, katanya, lebih 400 rumah produksi berdaftar saling bersaing dalam industri yang kecil dan kebanyakannya bergantung kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang memperuntukkan kontrak produksi mencecah RM100 juta setahun.
“Syarikat produksi memerlukan sekurang-kurangnya 30 hingga 40 jam waktu siaran setahun untuk beroperasi dengan bajet minimum. Ini juga akan membantu untuk mempertahankan perkhidmatan sokongan.
“Realitinya ketika ini, sebahagian syarikat produksi hanya beroperasi dengan 15 jam waktu siaran malah ada yang tidak mendapat apa-apa peruntukan langsung.
“Sebahagian produksi yang disukai pula boleh mendapat 100, 200, 500 malah 1000 jam waktu siaran setahun, sedangkan adalah mustahil untuk sesebuah produksi mengawal kualiti jika menerbitkan lebih daripada 50 jam waktu siaran setahun,” katanya.
Ketika kos penerbitan sedang meningkat tetapi bajet yang diberikan tiada beza dengan 10 tahun lalu, penerbit terpaksa membangunkan sendiri perkhidmatan sokongan untuk mengurangkan perbelanjaan mereka.
“Situasi itu menyebabkan Malaysia kehilangan peluang kerana menawarkan pakej tidak menarik kepada produksi antarabangsa,” katanya.
Langkah mengatasi
UNTUK jangka panjang, Shuhaimi menegaskan polisi kerajaan dan kontrak perlu disesuaikan dengan tuntutan perubahan dan permintaan dalam industri.
Selain itu katanya, RTM juga harus menyediakan bajet yang mencukupi selain memperuntukkan sekurang-kurangnya sembilan jam waktu siaran produk utama yang disasarkan kepada penonton tempatan dan antarabangsa.
“Kejayaan mengimbangi pengisian akan memberi faedah kepada industri perfileman. Ruang itu seharusnya diberikan kepada mereka yang memiliki skrip menarik serta syarikat produksi mempunyai trek rekod yang baik,” katanya.
Stesen televisyen juga katanya, harus menghormati hak intelektual setiap penggiat seni dan cuma memegangnya untuk jangka waktu terhad serta bukan selama-lamanya.
“Perlindungan ini memberi insentif kepada penggiat seni untuk memberikan karya terbaik mereka. Pendapatan daripada cabang penyiaran lain juga seharusnya dikongsi untuk menambah pendapatan penerbit.
“Pemberian lesen untuk penayangan filem di televisyen juga harus dirombak semula mengikut pasaran semasa. Tanpa badan dan persatuan tertentu, penerbit tidak mempunyai kuasa untuk berbincang mengenai perkara ini,” katanya.
Shuhaimi juga menyeru Filem Negara supaya memainkan peranan agresif dalam pembangunan skrip dan bakat baru. Kerjasama antara badan itu dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) membantu membentuk pusat produksi dan pasca produksi.
”Kita bersedia menempuhinya jika disertai usaha jitu serta mengubah polisi sedia ada untuk disesuaikan dengan situasi semasa.
“Kebanyakan penggiat melihat industri semakin melemah apabila tiada peluang pekerjaan selain maklum balas yang perlahan daripada stesen televisyen.
“Malah, kebanyakan mereka kini bergelut dengan bayaran yang kecil. Semua ini bukan berpunca daripada kegawatan ekonomi global sebaliknya perancangan lemah daripada industri yang memerlukan perhatian segera,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: