PENGARAH Urusan Box-Office Malaysia optimis konsert Black Dog Bone (BDB) yang akan dijayakannya di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur pada 8, 9 dan 10 Mei ini mampu mencatat jualan tiket pecah panggung.
Keyakinan penganjur persembahan pentas itu berdasarkan kejayaannya menganjurkan konsert M. Nasir juga di Panggung Sari pada bulan lalu di mana hampir keseluruhan tiket konsert tersebut habis dijual.
Menurut Ali Bakar, beliau bertambah yakin sambutan para peminat terhadap BDB lebih memberangsangkan memandangkan ini merupakan konsert terbesar kumpulan itu di ibu negara selepas 32 tahun.
"Saya yakin ramai peminat yang ternanti-nantikan konsert itu kerana sudah terlalu lama BDB tidak mengadakan konsert di negara ini. Saya difahamkan kali terakhir konsert mereka ialah di Stadium Negara, Kuala Lumpur, pada tahun 1977.
"Sebab itu, saya yakin konsert ini mampu untuk mencatat jualan tiket pecah panggung," katanya ketika ditemui selepas sidang media konsert itu di IB, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menerusi konsert anjuran IB dengan kerjasama Kumpulan Utusan dan radio Sinar FM itu, tiket yang dikenakan berharga RM65, RM85, RM155 dan RM205.
Selain lebih tiga dekad tidak mengadakan konsert besar-besaran, BDB juga katanya, masih mempunyai ramai peminat selain lagu-lagu mereka juga terus diminati sehinggalah ke hari ini.
"Bagi saya, konsert BDB kali ini amat istimewa kerana ia bukan sahaja akan mengimbau nostalgia para peminat mereka. Para peminat generasi baru juga berpeluang menikmati lagu-lagu mereka yang pernah popular suatu ketika dulu.
"Lagu-lagu BDB juga bolehlah dianggap klasik dan relevan untuk didengar sampai bila-bila. Apatah lagi, BDB juga menampilkan anggota-anggotanya yang boleh menyanyi seperti Hamid, Masron dan Izhar selain Jatt sebagai penyanyi utama," ujarnya.
Jelas Ali, biarpun BDB sudah hampir 29 tahun dibubarkan, tetapi itu tidak mematahkan semangatnya untuk mengumpulkan kesemua anggota kumpulan tersebut di atas pentas persembahan.
Apatah lagi katanya, ramai anggota kumpulan berasal dari Singapura itu yang sudah berusia 50 tahun ke atas dan membuat haluan masing-masing selepas BDB berpecah sekitar tahun 1980.
"Saya yang mula mencetuskan idea ini dan ia disambut baik oleh Ketua Pengarah IB iaitu Encik Joe (Mohamed Juhari Shaarani) yang juga yakin bahawa BDB masih mempunyai ramai peminatnya yang tersendiri di negara ini," jelasnya.
Justeru, Ali tidak menafikan terpaksa bekerja keras selama hampir tiga bulan bagi merealisasikan hasrat itu yang mendapat sokongan penuh daripada pihak IB.
Ali antaranya terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang agak besar bagi melaksanakan projek terbaru itu, apatah lagi setakat ini beliau belum menerima sebarang tajaan daripada mana-mana penaja.
"Kos untuk menganjurkan konsert ini agak mahal di mana ia menelan belanja sekitar RM600,000. Selain persembahan BDB, kami juga akan menampilkan persembahan Jay Jay dan Rahim Othman pada konsert itu nanti.
"Kumpulan Orkestra Simfoni Kebangsaan juga akan mengiringi persembahan mereka pada tiga malam itu kelak. Dengan adanya sokongan daripada Kumpulan Utusan dan Radio Sinar FM saya yakin konsert ini akan mendapat sambutan ramai," ujarnya dengan penuh harapan.
Demi memuaskan hati para penonton, tambah Ali, BDB dijangka akan menyanyikan sehingga 26 buah lagu pada satu-satu konsert di mana ia mengambil masa dua jam 30 minit.
Banyak lagu popular BDB seperti Khayalan, Si Gadis Ayu, Dulu Dan Sekarang, Di Ganggu Kenangan, Bahagia Dan Derita, Kembali Lagi dan Sindir-Sindir Sayang akan dipersembahkan pada konsert itu kelak.
Pada masa sama, Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani, turut optimis Panggung Sari akan dipenuhi oleh para peminat BDB yang sudah lama tidak melihat persembahan mereka secara langsung di atas pentas.
Malah, katanya lagi, IB menetapkan konsep bertemakan Hari Ibu pada konsert itu bersesuaian dengan ketibaan sambutan hari tersebut pada bulan depan.
"Selain para peminat BDB, saya juga berharap agar anak-anak dapat membawa ibu bapa mereka menyaksikan konsert itu yang bertemakan sambutan Hari Ibu.
"Antara lagu yang akan dipersembahkan oleh BDB berjudul Untukmu Ibu yang pernah mereka popularkan pada suatu ketika dulu. Saya yakin konsert BDB akan mengulangi kejayaan konsert-konsert yang pernah kami anjurkan sebelum ini," katanya.
Sementara itu, ketua kumpulan dan penyanyi utama BDB, Jatt pula tidak sabar untuk beraksi di pentas berprestij seperti Panggung Sari yang tentunya mampu mengimbau nostalgia para peminat mereka.
Ini kerana, katanya, peluang dan jemputan IB dan Box-Office kepada BDB untuk mengadakan persembahan di negara ini sesuatu yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja.
"Saya sendiri terkejut dengan undangan daripada Ali Bakar kerana BDB sudah lama berpecah. Saya ingatkan dia (Ali) main-main. Tetapi apabila Ali bersungguh-sungguh mahu menganjurkan konsert ini, maka saya terpaksa mengumpulkan semula anggota-anggota BDB.
"Dalam tempoh sebulan lebih sebelum konsert ini mahu dijayakan, barulah kami mula berlatih lagu-lagu lama yang sudah tidak dimainkan," ujarnya.
Selain Jatt atau nama sebenarnya Tahir Ali, 53, turut serta pada sidang media konsert itu ialah lima lagi anggota BDB iaitu Masron, Hamid, Izhar, Michael dan James serta Pengarang Hiburan Utusan Malaysia, Saharudin Musthafa, wakil Radio Sinar FM, Rostam Said, komposer, S. Atan dan Rahim Othman.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: