PERASAAN terkejut dan teruja memang tak dapat dibendung. Bila mereka mengumumkan saya sebagai pemenang macam tak percaya. Rasa macam bermimpi pun ada," kata pemenang bagi kategori lelaki Mangga Star Search, Muhammad Syamsul Idzham Mohd. Yunus.
Dia atau lebih dikenali sebagai Arm juga memberitahu, tidak ada perkara lain yang menggembirakan dirinya selain dinobatkan sebagai Ikon Mangga 2009.
Arm yang mempersembahkan lagu Jujur yang dipopularkan oleh kumpulan Radja tidak menolak kemungkinan tuah menyebelahi dirinya sewaktu pertandingan.
"Pada mulanya saya mahu membawakan lagu Ruang Rindu, nyanyian Letto. Tapi ada nasihat daripada beberapa orang yang mengesyorkan saya menukar lagu kerana lagu tersebut tidak mempamerkan kekuatan vokal.
"Memang tak cukup masa. Tapi saya ambil semua itu sebagai cabaran untuk terus melakukan yang terbaik bagi memastikan saya menang pada hari ini," katanya yang meminati penyanyi Taufik Batisah ini.
Akui Arm lagi, keluarganya tidak pernah menghalang dirinya untuk bergiat aktif dalam dunia seni dan mereka sentiasa memberikan galakan kepada dirinya.
Walaupun meminati bidang seni, Arm tetap mendambakan lebih banyak pendedahan dan tunjuk ajar dari mereka yang berpengalaman.
Pertandingan yang diadakan di Saloma Bistro & Restaurant Theatere itu turut disertai seramai 12 orang finalis yang beradu nasib untuk menjadi Ikon Mangga 2009.
Serentak dengan itu turut diadakan pelancaran wajah terbaru majalah Mangga, terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. yang memasuki tahun ke 14.
Bagi Shima, terpilih menjadi pemenang Ikon Mangga 2009 merupakan mimpi indah yang tidak mungkin dilupakan seumur hidupnya.
Dia yang mendendangkan lagu Matahariku yang dipopularkan oleh Agnes Monica berkata persaingan yang diterimanya pada hari tersebut sangat sengit dan setiap peserta mempamerkan kehebatan masing-masing.
"Memang seronok sehingga saya mahu menitiskan air mata. Pelbagai dugaan yang saya tempuhi sebelum bergelar Ikon Mangga 2009.
"Orang selalu melihat yang indah sahaja. Bila diangkat sebagai juara sudah pasti sesiapa juga akan gembira. Tapi hakikatnya saya menghadapi pelbagai ranjau untuk sampai ke tahap ini," jelas anak kelahiran Johor Bahru ini.
Walaupun industri hiburan 'dibebankan' dengan kebanjiran artis realiti, Shima tetap yakin masih ada lagi ruang untuknya menempatkan diri kelak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: