Sunday, April 26, 2009

Sambutan dingin, konsert tetap hebat

PENGANJURAN konsert Malam Seribu Karya di Stadium Malawati, Shah Alam Sabtu lalu memberi satu penanda aras hiburan yang dibenarkan dalam agama.

Suntikan lagu-lagu yang berunsurkan kerohanian menjadi halwa telinga penonton sememangnya berguna untuk mengisi jiwa dan memberi pemahaman tentang kebesaran Yang Esa.

Menggunakan konsep rock sememangnya satu tarikan yang mampu mengajak orang ramai menonton konsert yang mengenakan bayaran RM200, RM150 dan RM60 itu.

Bagaimanapun, langkah itu tersasar walaupun pendekatan yang digunakan termasuk menampilkan empat nama besar dalam industri seni tanah air iaitu Ramli Sarip, Amy Search, Jamal Abdillah dan Mawi.

Ini kerana sambutan yang diberikan agak dingin dan dianggarkan sekitar 1,000 penonton sahaja sedangkan stadium itu mampu memuatkan lebih daripada 6,000 penonton.

Mungkin disebabkan oleh faktor masa yang dipilih kerana terdapat satu lagi peristiwa besar di stadium bersebelahan yang menyaksikan perlawanan bola antara Selangor dan Perlis.

Keadaan lengang itu kian dirasai sewaktu memulakan persembahan apabila pemegang tiket berharga RM150 diminta penganjur untuk memenuhi ruang kosong pada tempat duduk berharga RM200.

Bagaimanapun, ada perkara yang boleh dibanggakan dalam konsert yang sarat dengan mesej berunsur dakwah, cinta dan kemasyarakatan itu.

Secara keseluruhan, tidak dinafikan ia mempamerkan kehebatan serta kecemerlangan dari segi produksinya. Ini dapat dilihat menerusi permainan cahaya laser dan grafik yang melatari pentas dan tirai latar yang memberikan kesan visual yang membanggakan.

Setiap kali penyanyi berada di tengah pentas, penonton tidak kira duduk di penjuru mana dalam stadium berkenaan dapat merasai kesan. Selain itu, kualiti muzik dan sistem bunyi sepanjang tiga jam konsert ini berjalan memang dipuji dan berbaloi dengan belanja hampir RM300,000.

Artis-artis yang membuat persembahan juga menunjukkan kredibiliti masing-masing terutama Yantzen dan Azam semasa pembukaan dengan menyanyikan lagu Zat Ilahi secara duet.

Ini diikuti dengan Nazrey menghiburkan dengan lagu Wahai Kaum Muslimin dan Antara Dua Cinta.

Rahmat dengan lagu Laksamana dan Warkah Buat Isteri, Razak (Renung, Pesanan Untuk Ibu) manakala Azam (Semangat Aku, Janji).

Begitu pun, tidak kurang hebatnya empat ikon rock iaitu Ramli Sarip menerusi lagu Pernyataan dan Bukan Kerana Nama, Amy Search (Tiada Lagi, Isi dan Kulit), Jamal Abdillah (Berkorban Apa Sahaja, Ghazal Untuk Rabiah) dan Mawi (Kian, Allah Habeebi).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: