Tuesday, April 7, 2009

Soseh Soseh: Puji iklan ajak bersolat di radio


KALA leka memandu balik ke rumah, rakan SS dikejutkan dengan satu iklan yang mesejnya mengajak muslimin dan muslimat mengerjakan solat. Mesej iklan itu cukup jelas.

Antara intipati iklan itu, si isteri ternampak masjid dan terdengar azan. Maka dia terus mengajak suami yang sedang memandu berhenti dulu. Tetapi si suami enggan kerana bimbang terlambat sampai ke destinasi dituju.

Malang tidak berbau mereka kemalangan. Pasangan suami isteri itu maut di tempat kejadian ketika mereka masih 'berhutang' dengan Allah. Rakan SS yang mendengar iklan itu tersentak dibuatnya. Apatah lagi ketika itu dia sendiri belum bersolat Maghrib.

Beritahunya lagi kepada SS, dia belum pernah mendengar iklan yang begitu jelas dan terang mengajak umat Islam mengerjakan solat disiarkan radio. Dia biasa menonton iklan seumpama itu di televisyen terutama di saluran Astro Oasis.

Yang membuatkan rakan SS semakin terharu apabila radio yang menyiarkan iklan itu bukanlah radio kerajaan atau beberapa radio swasta lain yang popular masa kini. Rasanya tak perlulah SS sebut radio mana. Yang penting, mesej seperti itu perlu diperbanyakkan untuk mengingati sesama kita.

Masyarakat negara ini semakin sibuk dan kerap melakukan perjalanan jauh serta selalu terkejar-kejar sehingga meninggalkan kewajipan sebagai orang Islam. Ada baiknya juga iklan itu selalu diputarkan terutama apabila hampir hendak masuk waktu solat supaya bila tiba masanya kita menghadap Ilahi, kita tidak berhutang apa-apa dengan-Nya. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: