Wednesday, April 8, 2009

Soseh Soseh: Chef Wan tidak sabar timang cucu


TAHNIAH kepada Chef Wan yang akan dapat menantu tidak lama lagi. Dalam kiriman SMS tukang masak terkenal itu kepada rakan SS, dia juga dah tak sabar hendak jadi datuk (tok wan).

Begitulah fitrah hidup manusia, walaupun Chef Wan sibuk menjelajah ke seluruh dunia mempromosikan makanan tempatan di luar negara, tetapi dia tetap insan biasa yang tidak sabar hendak menyambut menantu dan menimang cucu.

Bahkan dia juga sudah merancang hendak mengadakan majlis cukur jambul untuk meraikan kelahiran cucunya nanti. Wah! Besar betul hajat tok wan ini. Harap-harap selepas menikah, Serina bunting pelamin supaya cepatlah Chef Wan dapat cucu.

Lepas ini kalau Chef Wan pergi ke mana-mana, SS yakin dia akan membawa balik pelbagai buah tangan untuk cucu kesayangannya itu. Anak Chef Wan pun tak ramai, dua orang saja. Jadi tentu dia merindui tangisan bayi apatah lagi cucu itu daripada anak perempuan tunggal kesayangannya, Serina, yang bertemu jodoh dengan lelaki mat saleh.

SS difahamkan, nama asal bakal menantu Chef Wan itu Gavin, tetapi selepas memeluk Islam setahun lalu iaitu sebelum mengenali Serina, dia menukar namanya kepada Salahuddin.

Jejaka berusia 32 tahun itu khabarnya ahli perniagaan berjaya dan sudah lapan tahun menetap di negara ini. Keluarga Salahuddin juga keturunan baik-baik apabila latar keluarganya kebanyakan menceburi bidang undang-undang dan kakitangan kerajaan berpangkat tinggi.

Baguslah begitu kerana sebelum ini kalau tak salah SS, sudah dua kali Serina putus cinta. Dengarnya Serina berkawan dengan Salahuddin pun tak lama dan mereka terus sepakat mendirikan rumah tangga.

Pasangan itu akan dinikahkan di Masjid Wilayah Persekutuan pada 1 Jun ini, jam 10 pagi, sempena ulang tahun Serina ke-25 tahun. Jemputan tak ramai sekitar 100 orang termasuk wartawan dan sanak saudara.

Walaupun kehandalan Chef Wan sudah dikenali satu dunia dan dia sendiri layak dikenali sebagai selebriti antarabangsa, dalam hal nikah kahwin ini, katanya, dia lebih suka bersederhana.

Ini kerana baginya perkahwinan terlalu personal. Malah dia sanggup mengeluarkan semua perbelanjaan untuk persiapan pernikahan anaknya itu termasuk baju pengantin yang ditempah dari Radzuan Radziwill.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: