|
| SUATU ketika dulu, penyanyi Abot pernah mewarnai persada muzik tempatan. Menerusi album pertama Alternatif Buat Orang Timur yang dihasilkan pada 1996, Abot membawa tarikan tersendiri kepada peminat kerana dia memperjuangkan muzik alternatif. Namun, selepas kemunculan dua album iaitu Abot Tak Tahu pada 1997 dan Sayang Pok Pei (2002), Abot menyepi dari bidang muzik. |
Dua tahun lalu, Abot kembali, tetapi bukan sebagai penyanyi. Dia mencuba nasib dalam bidang penulisan apabila menghasilkan novel sulung, Tinggal Jangan Lepaskan. Nyata, dia makin menyukai bidang itu hingga melupakan seketika bidang nyanyian. Perkembangan terbaru, Abot menghasilkan dua novel yang bertajuk sama, Cinta Dua Langit Senja.
Kata Abot atau nama sebenar Narimah Mohamad, dia berminat untuk meneruskan bidang penulisan dan menyatakan gembira apabila novel pertama berjaya menarik perhatian satu produser filem untuk membawanya ke layar perak. Enggan bercerita lanjut mengenai latar belakang filem itu, katanya, ia dalam proses storyboard dan kerjasama antara produksi tempatan dan Indonesia.
"Saya anggap ini rezeki anak. Selepas berusaha menghasilkan novel sendiri, akhirnya saya gembira kerana ada produser berminat mengambil karya saya sebagai filem baru. Sebelum ini, saya pernah menulis skrip untuk beberapa drama, tetapi pernah ditipu apabila nama saya tidak dipaparkan sebagai penulis skrip.
"Kini, selepas melahirkan anak kedua Ogos tahun lalu, saya bersemangat aktif semula. Selain menulis, saya juga mendapat ajakan rakan yang mahu saya nyanyi semula. Untuk projek terbaru, saya akan bekerjasama dengan Royce Saayan untuk muncul dengan album baru dan akan muncul sebagai duo band.
"Kali ini saya akan berusaha sendiri untuk penerbitan album dan promosi. Saya yakin album penyanyi tempatan pada masa kini masih mempunyai sambutan daripada peminat dan berharap projek ini berjaya," katanya.
Berbeza imej lalu dengan rambut panjang, Abot sebaliknya lebih selesa tampil dengan imej baru berambut pendek, berkaca mata dan mengenakan pakaian kasual.
Katanya, penampilan baru ini sesuai dengan kemunculan semulanya dalam bidang nyanyian.
Selain projek bersama Royce, Abot juga menyatakan dia akan muncul dengan lagu duet terbaru bersama Idham. Mengenai kelainan dalam lagu ini, dia bertanggungjawab sebagai penulis lirik manakala Idham menjadi komposer. Bagi Idham pula, peluang duet bersama Abot suatu yang dinantikan selepas dia muncul dengan album Tujuh Seru tahun lalu.
"Kami berkenalan dalam satu acara perniagaan dan sejak itu kami rapat hingga berkongsi pengalaman mengenai muzik. Mungkin ramai yang tidak tahu, kami pernah mencuba nasib ketika uji bakat program realiti One In A Million musim ketiga yang lalu.
"Bagaimanapun, tiada rezeki untuk kami berdua, tetapi tidak putus asa untuk berjuang dalam nyanyian. Selepas itu, timbul idea untuk hasilkan lagu duet memandangkan Abot juga mahu membuat kemunculan semula. Lagu duet ini belum mempunyai tajuk yang sesuai, tetapi ia akan dimuatkan dalam album baru saya nanti.
"Mengenai perancangan album baru, saya tidak terfikir untuk merakam 10 lagu baru. Mungkin enam lagu baru sudah memadai dan ia muncul sebagai album mini. Walaupun album tempatan masih sukar dijual, kami positif untuk hasilkan album baru.
"Daripada aspek menjana pendapatan, saya tidak hanya bergantung pada jualan album semata-mata sebaliknya memenuhi jemputan mengadakan persembahan pentas dan pada masa sama, saya juga berlakon teater. Pada 24 April nanti bertempat di Taman Budaya, Kuala Lumpur, saya akan muncul dengan pementasan teater Rona arahan Hamdan Yasin. Ini adalah teater kelapan saya sejak aktif berlakon lima tahun lalu.
"Sebenarnya sebelum ini saya terlebih dulu dikenali sebagai pelakon teater sebelum menceburi bidang nyanyian. Pada saya, karier berlakon teater dan nyanyian akan terus bergerak seiring," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: