Wednesday, April 8, 2009

Soseh Soseh: Artis luar dalam RMA


ENTAH di mana silapnya, bakat karyawan muzik tanah air seperti dipinggirkan. Bukan saja kesempatan menjayakan konsert jarang diberikan malah kontrak tajaan daripada syarikat besar untuk memenuhi impian menjayakan konsert juga agak sukar diperoleh walaupun membabitkan artis popular tanah air.

Lebih memeranjatkan apabila ada syarikat terbabit yang sanggup membelanjakan jutaan ringgit semata-mata untuk membawa artis luar menjayakan konsert mereka.

Itu baru perihal kontrak tajaan, belum lagi soal karya anak seni tempatan yang dipandang remeh sesetengah stesen radio dan televisyen tempatan. Ada yang langsung tidak menyiarkan karya muzik tempatan disebabkan terikat dengan konsep atau format program masing-masing.

Malah SS dapati ada yang secara terang-terang memaklumkan karya anak seni tempatan dikatakan tidak mempunyai nilai komersial. Fenomena ini ternyata membunuh minat atau kreativiti karyawan seni tempatan.

Apa salahnya beri sedikit ruang untuk golongan ini bersaing secara sihat seterusnya sama-sama memeriahkan dunia hiburan tanah air.

Dalam hal ini, SS puji usaha dilakukan RTM yang mewujudkan saluran Muzik Aktif (RMA) yang disiarkan menerusi saluran 108 Astro. Menerusi saluran itu, karya muzik dan klip video tempatan pelbagai genre dapat disiarkan. Secara tidak langsung memberi ruang kepada artis tradisional dan nasyid mengetengahkan karya mereka.

Tidak dinafikan program berkonsep muzikal sering menarik perhatian ramai sama ada ia siaran di televisyen mahupun radio. Sejak disiarkan Mac lalu, RMA ternyata menarik minat ramai dengan pelbagai variasi muzik video.

Ketika majlis pelancaran Mac lalu, RTM menegaskan saluran berkenaan hanya ditujukan kepada karyawan seni tempatan. Begitupun, teman SS yang juga penyanyi kumpulan rock terkenal tanah air memaklumkan mengenai kemunculan artis daripada negara jiran dalam program itu.

Teman SS yang meminati saluran itu cukup hampa dengan apa yang disaksikan apatah lagi sejak dilancarkan, program berkenaan menjadi antara saluran kesukaannya. Tidak dinafikan saluran itu bukan hanya dapat menyaksikan klip video baru dan lama malah program berkenaan turut mengimbau beberapa sejarah artis yang terbabit menerusi program RTM seperti Hiburan Minggu Ini (HMI) dan Bintang RTM.

Menurut teman SS lagi, dia berasa tertipu apabila melihat penampilan artis luar menerusi program itu sedangkan sejak pelancaran RMA, pihak pengurusan memaklumkan program berkenaan sebagai platform kepada artis tempatan mengetengahkan karya mereka.



RTM seharusnya memantau dan lebih telus dalam melaksanakan program mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: