APABILA Papa mendengar berita yang disampaikan oleh seseorang kepada Papa, tiada apa yang Papa mampu lafazkan melainkan bersyukur dan tumpang gembira sahaja.
Masakan tidak, teater muzikal Islamik, Sirah Junjungan yang diterbitkan dan diarahkan oleh Erma Fatima khabarnya akan dipentaskan sekali lagi.
Tetapi, bukan di Malaysia sebaliknya Sirah Junjungan akan dipentaskan di Esplanade Theatre, Singapura!
Ha, tengok tu. Siapa kata teater sebegini tidak mampu untuk dipentaskan di luar negara. Walaupun ke Singapura tetapi ia adalah satu perkembangan yang cukup sihat.
Maklumlah, nak pentaskan naskhah kita di pentas bertaraf dunia itu bukanlah mudah. Cuma Puteri Gunung Ledang the Musical dan P. Ramlee the Musical sahaja yang berjaya dipentaskan di sana.
Impak Maksima the Musical yang dikatakan akan dipentaskan di sana juga belum nampak lagi bayangnya bila akan direalisasikan.
Khabarnya, pihak Esplanade sempat menyaksikan pementasan Sirah Junjungan musim kedua di Istana Budaya, baru-baru ini dan mereka cukup berminat dengan kisah serta riwayat hidup Rasulullah S.A.W. itu diangkat menjadi sebuah teater muzikal.
Dan, perbincangan masih lagi berjalan dan tidak pasti pula Papa bilakah Sirah Junjungan akan mula menemui penonton kota Singa.
Papa percaya Erma kini mampu tersenyum apabila Sirah Junjungan mendapat perhatian pihak luar. Yelah, sedangkan di negara sendiri pun susah sangat nak mendapat sokongan.
Jika perkara ini menjadi kenyataan, Papa mahu menjadi orang pertama mengucapkan tahniah kepada Erma.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: