RANCANGAN realiti popular, Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) sememangnya mendapat perhatian yang cukup meluas.
Minggu demi minggu, ada sahaja kritikan dan maklum balas yang diterima oleh Papa dan rakan-rakan lain berhubung rancangan realiti popular itu.
Daripada kisah pesertanya yang dikatakan mempunyai mutu vokal ala kadar sahaja sehinggalah pelbagai gimik serta kejutan klise yang hebat diperdebatkan.
Ada yang mengatakan sudah sampai masanya AF diberhentikan terus kerana ia dilihat tidak lagi relevan untuk membangunkan industri hiburan tanah air.
Ini kerana bakat yang dilahirkan menerusi AF bukan semuanya mampu dibawa jauh dan apabila AF7 mahu melahirkan seorang penyanyi bertaraf superstar, mereka mengatakan ia merupakan satu yang cukup mustahil.
Mana mungkin dalam tempoh 10 minggu, transformasi itu dapat dihasilkan serta-merta kerana untuk menjadi seorang penghibur, ia tidak memakan masa yang singkat.
Lihatlah sahaja bagaimana Anita Sarawak membina namanya sehingga menjadi seorang penghibur yang cukup disegani dan masa yang diambil oleh Anita bukanlah sekejap.
Dalam banyak e-mel yang Papa terima, e-mel daripada seorang pembaca bernama Kak Rose dari Seremban cukup menarik perhatian Papa yang mahu menegur pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina.
Bukan mahu menghentam kata Kak Rose, tetapi hanya mahu menegur cara Tiara berpakaian sewaktu di dalam diari dan ketika menghadiri konsert mingguan.
“Memang tidak salah untuk berpakaian cantik dan glamor tetapi ini adalah AF. Bukannya majlis koktel atau acara anugerah yang memerlukan kita memakai pakaian cantik dan mewah.
“Tahulah busana Tiara ditaja oleh Shanghai Tang tetapi ada kalanya saya melihat penampilan Tiara tidak sesuai. Contohnya, pada konsert keempat, Tiara memakai gaun paras lutut serta mendedahkan bahunya sedikit. Malah, ada ketika, Tiara juga memakai gaun yang menampakkan lengan.
“Rasanya memadai kalau memakai seluar jeans dan blaus atau pakaian yang ringkas tetapi tetap nampak menarik. Tiara perlu faham AF majoritinya merupakan penonton Melayu yang masih lagi mengekalkan ciri-ciri ketimuran meskipun berdepan dengan modenisasi,” luah Kak Rose panjang lebar.
Apa yang Papa harapkan agar Tiara melihat komen dan teguran ini sebagai satu yang positif. Hakikatnya, penonton lebih peka dengan keadaan sekeliling.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: