BAGI yang telah menonton filem Thailand berjudul Queens of Langkasuka, tentunya ramai yang terhibur dengan filem tersebut. Ini kerana, filem arahan Nonzee Nimibutr itu mudah untuk dihayati, apatah lagi jalan ceritanya pula berkisar tentang Kerajaan Langkasuka yang pernah popular dan bertapak di Kedah pada kurun kedua masihi lalu.
Langkasuka dipercayai kerajaan Melayu tertua di Semenanjung Tanah Melayu dan ia diasaskan di Kedah sebelum berpindah ke Pattani, di selatan Thailand.
Filem edaran Sahamongkol Film International itu bukan setakat meninggalkan kesan penghayatan yang mendalam terhadap para penonton.
Ramai juga yang kagum dengan idea dan inisiatif para karyawan Queens of Langkasuka dalam usaha menerbitkan filem genre mitos dan sejarah seperti itu.
Ternyata gabungan dua unsur itu menjadikan filem hasil tulisan Win Lyovarin yang pernah dua kali memenangi Anugerah S.E.A. Write sebagai sebuah naskhah yang menarik untuk ditonton segenap lapisan masyarakat.
Ia membuktikan filem berteraskan sejarah, budaya dan kesenian sesebuah bangsa amat popular dan mempunyai prospek luas di luar negara.
Ini kerana, bangsa-bangsa lain tentunya ingin menonton filem-filem yang berlainan jalan cerita, budaya, bangsa, bahasa dan kesenian setempat yang dirakamkan dalam filem genre tersebut.
Namun, pada masa sama, kemunculan Queens of Langkasuka secara tidak langsung sedikit sebanyak mampu memberi tamparan yang hebat kepada para karyawan filem di negara ini.
Sepatutnya, karyawan filem kita ataupun pihak kerajaan lebih awal mengambil inisiatif dalam menerbitkan filem-filem bertemakan sejarah bangsa Melayu bukan setakat untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.
Malah, filem-filem genre sejarah dan budaya boleh dijadikan sebagai suatu aset bahan peninggalan untuk dikaji serta diwarisi oleh generasi akan datang.
Sayangnya, para pembikin filem di Thailand pula yang lebih peka dan tidak menunggu lama untuk menerbitkan filem seperti Queens of Langkasuka yang bukan setakat untuk pasaran di negara itu, tetapi juga hingga ke peringkat antarabangsa.
Buktinya, filem dengan durasi 133 minit itu mendapat sambutan hangat sewaktu ia dipasarkan di luar negara termasuklah di Pasaran Filem Cannes, Perancis, baru-baru ini.
Biarpun filem itu berintipatikan sejarah dan tamadun bangsa Melayu, tetapi para pembikin filem seperti Nonzee Nimibutr tidak keberatan untuk mengangkat kisah Langkasuka ke layar perak.
Apatah lagi, terdapatnya sedikit unsur pengaruh kerajaan Siam pada era kegemilangan Langkasuka itu. Ia menambahkan lagi semangat dan komitmen bagi menerbitkan filem dalam genre tersebut.
Pendekatan itu jelas membuktikan rasa kepekaan mereka terhadap unsur-unsur sejarah Melayu Langkasuka dan mitos yang mampu untuk diketengahkan menerusi medium perfileman dalam gaya pengolahan yang menarik.
Queens of Langkasuka tidak setakat bergantung kepada fakta-fakta sejarah tetapi unsur tokok tambah berinspirasikan kepada fantasi menambahkan lagi keceriaan filem itu.
Senario itu juga membuktikan bahawa alam Melayu mempunyai banyak elemen-elemen sebegitu yang masih belum diketengahkan menerusi medium perfileman.
Sepatutnya, kisah-kisah seperti Si Tanggang, Pak Pandir dan Hikayat Merong Mahawangsa mempunyai banyak elemen itu juga yang boleh diadaptasi ke layar perak.
Dalam hal ini, ia tentunya menagih pengamatan dan kreativiti yang tinggi di kalangan pembikin filem kita terutamanya penulis skrip, lakon layar dan pengarah bagi merealisasikan naskhah-naskhah sebegitu.
Paling membanggakan apabila banyak elemen kemelayuan dalam Queens of Langkasuka turut ditonjolkan seperti pakaian tradisional, keris serta nama-nama Melayu yang masih dikekalkan pada watak-watak dalam filem itu.
Cuma yang membezakannya dengan filem Melayu ialah apabila filem lakonan Jarunee Suksawat, Ananda Everingham dan Jesdaporn Pholdee itu menggunakan bahasa Siam sebagai dialog pertuturannya.
Justeru, kemunculan Queens of Langkasuka wajar dijadikan inspirasi buat para pembikin filem kita supaya bijak mengeksploitasi segala khazanah sejarah warisan bangsa Melayu untuk dikembangkan melalui medium perfileman.
Jika tidak, segala elemen dan peninggalan datuk nenek moyang kita itu akan diambil serta diekploitasi oleh bangsa lain yang lebih tahu menghargai peri pentingnya segala khazanah yang amat berharga itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: