|
| SELEPAS lima minggu berada dalam Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), Sabtu lalu peserta berasal dari Ipoh, Perak, Mohd Rashidi Mohamad Isa atau Sidi tersingkir apabila menerima undian paling rendah daripada penonton setia. |
Sebaik ditemui pada majlis sidang akhbar khas diatur Astro, Sidi berkata dia tidak menjangkakan akan tersingkir pada peringkat awal.
"Saya tidak tahu tanggapan penonton terhadap saya sehingga mereka tidak mengundi. Namun saya percaya ia ada kaitan dengan peribadi saya yang agak pendiam dan tidak menonjol sepanjang rancangan diari disiarkan.
"Mengenai bakat pula saya tidak kata yang saya ini bagus kerana setiap minggu saya menerima kritikan. Tetapi setiap teguran diterima saya cuba perbaiki setiap minggu.
"Sekiranya penonton sendiri tidak percaya boleh bertanya sendiri kepada tenaga pengajar yang banyak membantu saya dalam memperbaiki kelemahan diri," katanya.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai kedudukannya yang tidak menjadi pilihan sehingga diundi keluar, kata Sidi yang baru saja mendirikan rumah tangga awal tahun lalu, emosi diri yang tidak stabil dikatakan turut menjadi punca penyingkirannya.
"Banyak perkara bermain di kepala membuatkan ada ketika tumpuan saya terganggu. Tidak dinafikan berpisah dengan isteri turut menjadi punca. Sebenarnya memang bukan mudah apabila kita berada dalam Akademi.
"Pelajar lain boleh melaluinya kerana mereka tidak mempunyai tanggungjawab lain, tidak seperti saya yang dalam waktu sama banyak perkara yang perlu diberi perhatian.
"Terlalu rindukan isteri dan keluarga membuatkan setiap minggu saya berasakan diri semakin hari semakin lemah. Tetapi kalau ada yang kata saya tidak memberikan tumpuan pada kelas yang diadakan tenaga pengajar itu tidak benar.
"Sejak uji bakat diadakan lagi saya memang berusaha keras untuk menyertai AF7 kerana bagi saya itu saja peluang yang ada bagi membolehkan saya mempelajari selok-belok mengenai nyanyian dan dunia muzik.
"Selain itu saya yakin yang saya mempunyai bakat cuma ia perlu diasah dan diasuh. Apabila dapat masuk AF7 saya gunakan sebaik mungkin untuk memperbaiki diri," katanya lagi.
Menjelaskan mengenai perancangannya selepas keluar dari AF7, kata Sidi buat sementara waktu dia akan mengikuti segala perancangan yang sudah diatur pihak Astro Entertainment Sdn Bhd.
"Saya mempunyai teman-teman di laman sesawang yang turut meminati muzik. Menerusinya kami ada perancangan. Perkara ini akan saya usahakan selepas ini. Sekiranya segalanya berjalan lancar pasti penonton AF7 akan mengetahuinya.
"Bagaimanapun selagi ia belum lagi berjalan saya tidak mahu hebohkan kerana takut nanti bila tidak jadi orang akan mengatakan saya hangat-hangat tahi ayam," katanya.
Sementara itu dalam majlis sama Datin Seri Tiara Jaquelina selaku pengetua menjelaskan minggu lalu 'tranformasi' cuba dilakukan menerusi persembahan duet dilakukan pelajar bersama bekas pelajar Akademi Fantasia.
"Kami cuba membentuk pelajar ini agar tahu bagaimana hendak berkomunikasi antara penyanyi lain apabila mereka dikehendaki mengadakan persembahan secara duet.
"Menerusinya kita dapat lihat bagaimana mereka berdialog menerusi lirik lagu didendangkan dan meluahkan emosi antara satu sama lain. Ini adalah satu pembelajaran penting bagi membina keyakinan untuk berada di atas pentas bersama penyanyi lain," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: