|
| KECANTIKAN hak milik setiap insan, namun andai kurniaan Tuhan itu tidak dijagai ia akan pudar terutama bagi wanita yang usianya semakin meningkat, tegas penerbit dan pelakon Sheila Rusly, 38. |
Sheila berkata sewaktu berkongsi pengalaman bersama 150 orang peserta bengkel kecantikan Good Skin Labs yang mengedarkan barangan kecantikan Tri-Aktiline dan Smooth 365, baru-baru ini.
Melihat aksinya yang bersahaja berkongsi tip kecantikan membuatkan peserta bengkel berasa dia sesuai bertukar kerjaya dengan menjadi jurucakap produk.
Lebih menarik Sheila tidak hanya menjurus mengenai produk terbabit semata-mata, sebaliknya dia lebih senang bercerita mengenai bertapa pentingnya seorang wanita menjaga kebersihan diri.
Sempat berkongsi petua mengenai kebersihan asas seperti kuku yang panjang berupa musuh utama kulit muka dan solekan yang tidak dicuci dengan sempurna boleh menyebabkan kulit wajah menjadi kusam.
Ketika ditemui selepas majlis tamat, kata Sheila menjadi jurucakap produk bukan asing baginya kerana sebelum ini dia pernah melakukan perkara sama tetapi untuk jenis barangan berbeza.
“Lagipun saya bercakap perkara yang saya tahu. Sebelum tampil menjayakan bengkel kecantikan ini saya terlebih dulu mencubanya selama dua tahun. Pada saya untuk menjadi jurucakap produk kita harus jujur dan pastikan apa yang diberitahu itu benar.
“Memang pada majlis ini saya tidak terlalu banyak bercerita mengenai barangan terbabit kerana rata-rata peserta yang hadir sudah tahu dan memang menggunakan Tri-Aktiline dan Smooth 365.
“Bagaimanapun apabila dapat menyertai bengkel seperti ini saya berasa seronok kerana dapat berkongsi pengalaman di samping mendekati peminat secara terus,” katanya.
Bercerita lanjut jelas Sheila, kebanyakan wanita terlalu berkira terutama apabila bercakap mengenai umur, namun perkara itu tidak seharusnya berlaku, sebaliknya mengharapkan kebanyakan daripada mereka membiarkan hari-hari yang dilalui dengan penuh keyakinan dan kegembiraan.
“Perkara itu cuba saya ketengahkan kepada peserta bengkal dan rasanya pihak pengedar barangan penjagaan kecantikan ini memilih saya mewakili mereka kerana selain telah mencuba sendiri, dalam waktu sama saya berada dalam lingkungan usia pengguna sasaran.
“Timbul pula keraguan sekiranya mereka mengambil artis muda untuk menerangkan mengenai Tri-Aktiline dan Smooth 365 yang bertindak sebagai anti kedutan. Kerana kulit wajah mereka masih anjal dan mungkin mereka tidak tahu makna kedutan kulit wajah,” katanya.
Beralih kepada soal kerjaya, jelas Sheila buku masakan keenam dihasilkan iaitu 20 Resepi Mi dan Mi Hon baru saja diedarkan.
“Good Skin Labs akan mengadakan satu lagi bengkel pada bulan Mei depan dan mereka yang menyertainya akan menerima senaskah buku masakan yang resepi daripada saya,” katanya.
Waktu sama produksi milik Sheila, JS Pictures kini sedang menyiapkan drama bersiri terbaru, sambungan Anak Betong yang memperoleh rating tinggi hampir mencecah tiga juta penonton.
“Saya bersyukur kerana selepas kejayaan Anak Betong pihak TV3 meminta JS Pictures untuk menyambung drama itu, dan mereka mengharapkan ia dapat ditayangkan pada akhir tahun ini.
“Sekarang ini skripnya sedang dirangka dan diberi judul Cucu Betong. Ada beberapa pelakon asalnya akan dikekalkan. Namun saya mengharapkan beberapa perubahan terutama dari sudut watak kerana bimbang sekiranya masih sama penonton akan membandingkan ia dengan Anak Betong,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: