Sunday, April 26, 2009

Shafie mahu terus berlakon

TAHNIAH dan syabas atas lakonan mantap kamu yang menjadikan Cikgu antara salah seorang peminat kamu. Gaya kamu yang bersahaja berjaya mencuit dan menyentuh hati serta mata Cikgu ini. Syabas. Cikgu cuma ada dua soalan buat kamu

1. Apakah matlamat akhir serta perancangan jangka panjang kamu selepas ini?

2. Sekiranya diberi pilihan, filem genre apakah yang kamu mahu lakonkan?

Cikgu Muaz,

Puchong, Selangor.

SHAFIE

1. Saya sebenarnya tak tahu apa yang akan terjadi kepada diri saya nanti. Kalau keputusan SPM saya baik saya akan teruskan belajar. Kalau tidak saya akan bekerja. Tapi dalam bidang lakonan saya sangat berharap agar ada ruang untuk saya terus mencurah bakat.

2. Saya suka cerita seram. Teringin sangat nak berlakon dalam drama atau filem hantu. Tapi itu masih belum dapat saya dapat sehingga hari ini.

Bantu keluarga selagi termampu

Hai Shafie,

Saya merupakan antara peminat Shafie sejak mula-mula terlibat dalam bidang seni. Saya ada beberapa soalan untuk Shafie.

1. Bagaimana penerimaan keluarga Shafie apabila mula menceburi bidang ini?

2. Sejak berlakon, apa sumbangan Shafie kepada keluarga?

3. Dulu belikan motor kepada keluarga, ada lagi ke motor tu? Lepas ni Shafie nak beli apa pula untuk keluarga?

Ahsan, Kuala Lumpur.

SHAFIE

1. Pada mulanya keluarga memang agak berat untuk menerima lakonan saya. Tapi lama kelamaan mereka dapat menerima dan akhirnya menyokong saya. Janji saya tidak pernah mengabaikan mereka.

2. Biarlah saya simpan untuk diri sendiri tentang sumbangan saya kepada keluarga. Yang penting saya dapat membantu keluarga terutamanya dalam aspek wang simpanan masa depan.

3. Motor tu masih ada lagi. Nak pinjam ke? He...he... Saya sendiri masih belum berfikir apa yang saya nak beri pada ahli keluarga.

Mukhsin filem pertama

Assalamualaikum Syafie. Saya amat meminati adik kerana adik pandai membawa watak apa pun yang diberikan.

1. Macam mana adik bahagikan masa dengan belajar dan lakonan? Tak rasa sukar dan memenatkan?

2. Adik dah habis sekolah nak sambung belajar lagi ataupun nak perluaskan lagi penglibatan adik dalam bidang lakonan ini?

3. Bagaimana adik boleh terlibat dalam industri ini?

4. Apa pesanan adik kepada rakan-rakan yang meminati adik?

Nurul Husna Mohammad

Simpang, Perak.

SHAFIE

1. Memang penat. Saya terpaksa membahagikan masa antara berlakon dan belajar. Sebab itu saya tidak akan mengambil tawaran berlakon waktu sekolah dan penggambaran hanya dibuat pada waktu cuti. Pening juga nak belajar balik apa yang tertinggal.

2. Dua-dua saya nak buat. Nak sambung belajar kalau ada rezeki dan nak terus berlakon.

3. Bila Yasmin Ahmad buka uji bakat, saya pun pergi. Tak sangka pula berjaya. Mukhsin adalah filem pertama saya dan itulah titik permulaan saya terlibat dalam industri ini.

4. Saya tak kisah kalau orang dah mula minat terhadap saya. Cuma pada awal-awal dahulu sahaja saya agak malu dan segan. Sekarang dah okey kot.

Nak lulus SPM

Assalamualaikum.

Saya meminati lakonan adik Shafie sejak menonton filem dan drama lakonan adik Shafie. Tahniah kerana dalam usia yang muda adik mampu melonjak naik dalam industri ini. Saya ada beberapa soalan yang ingin ditanyakan.

1. Adik bakal mengambil SPM kan? Apa sasaran adik untuk SPM akan datang?

2. Ada perancangan nak jadi penyanyi atau ceburi bidang lain?

Itu saja soalan saya. Saya harap adik terus cemerlang dalam dunia lakonan dan jangan abaikan pelajaran dalam masa yang sama.

Faiz0204, Melaka.

SHAFIE

1. Saya tak sasar macam orang lain. Saya juga tak sasar untuk dapat semua A dalam SPM tapi saya harap semua mata pelajaran yang saya ambil akan lulus. Nanti bila saya dapat teruk orang akan kata saya juga. Saya janji akan buat yang terbaik.

2. Kadang kala saya ada juga terfikir untuk menyanyi. Tak tau pula suara sedap ke tidak. Tapi saya lebih berminat nak buat kerja di belakang tabir.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: