|
|
IRAMA nasyid sudah merentas zaman sejak dahulu lagi. Apa yang membezakan antara kumpulan nasyid dahulu dan sekarang adalah dari segi komposisi muzik dan imej yang mereka bawa.
Nasyid juga semakin berubah mengikut peredaran zaman. Maka timbullah pula kumpulan nasyid yang lebih kontemporari dan moden seperti Raihan, Rabbani, Brothers dan banyak lagi.
Inteam turut tidak terkecuali menerima tempias angin perubahan tersebut. Walaupun kumpulan nasyid silih berganti, nama Inteam tetap terpahat sebagai antara yang popular terutamanya di kalangan pelajar.
Satu dekad adalah jangka masa panjang. Dalam jangka masa itu kumpulan Inteam mampu bertahan meneruskan perjuangan nasyid yang tiada penghujung.
Berbekalkan pengalaman yang dikutip, mereka yakin usaha untuk memartabatkan lagu nasyid tidak pernah berakhir. Walaupun saban tahun ada kumpulan nasyid lain yang muncul tetapi Inteam yakin menyampaikan dakwah dengan cara ini tidak pernah bernoktah.
Jika disingkap kembali sejarah kumpulan ini, mereka pada asalnya dianggotai oleh lima orang anggota termasuklah Rahim, Syahril, Amin, Suhaimi dan Hisyam.
Namun kini yang tinggal hanyalah Rahim, Syahril dan Amin bersama Inteam. Suhaimi telah keluar daripada kumpulan ini dan bergerak solo manakala Hisyam pula tidak dapat meneruskan kerjaya kerana komitmen kerja.
Walaupun hanya tinggal bertiga, mereka tetap yakin bahawa Inteam masih lagi boleh bertahan dan terus kekal di persada seni tempatan.
Kemunculan album terbaru mereka berjudul Allahu Rabbi sebenarnya mempunyai hikmah yang tersendiri. Masakan tidak, mereka kembali bersatu dalam album kali ini.
Bersatu kembali. Itulah ungkapan yang paling sesuai menggambarkan kumpulan ini. Walaupun mereka hanya bersatu hanya untuk album ini, tetapi ia sedikit sebanyak mengubati kerinduan peminat terhadap mereka.
Menurut Syahril, Inteam sentiasa mahu melakukan pembaharuan dalam setiap album. Untuk itu lagu Allahu Rabbi sememangnya istimewa kerana ia merupakan gabungan bahasa Inggeris, bahasa Urdu, bahasa Arab dan Melayu yang menggunakan rentak Hindustan.
“Bahasa Urdu adalah bahasa yang meluas. Mungkin selepas ini ada yang membandingkan kami dengan kumpulan Raihan yang juga pernah menyanyikan lagu dalam bahasa Urdu.
“Itu semua tak penting kerana yang lebih penting adalah mesej dan dakwah yang cuba kami sampaikan kepada peminat,” ujar Syahril.
Ketika ditanya sama ada mereka mahu menerobos ke pasaran luar, Rahim tidak menolak kemungkinan mahu memasarkan album terbaru mereka ke luar negeri.
“Semuanya masih dalam perancangan. Kalau boleh semua orang nak membawa produk ke luar negara. Inteam sendiri pernah membuat persembahan di Mesir dan serata Asia Tenggara.
“Kami terima maklum balas yang positif daripada peminat luar. Itu menguatkan keazaman kami untuk terus mencuba nasib di sana,” jelas Rahim lagi.
Tidak semua orang menerima cara dakwah yang kritikal. Jadi, peluang yang dimiliki oleh Inteam digunakan sebaik-baiknya. Mereka yakin irama pop balada dan world nasyid muzik mampu diterima ramai di serata dunia.
Suatu masa dahulu irama nasyid pernah popular dan menjadi kesukaan ramai. Kini nasyid masih mendapat tempat tetapi sudah tidak seperti dahulu.
Amin menegaskan, perlunya perubahan dalam industri nasyid sendiri bagi memastikan ia terus sesuai dengan zaman. Inteam juga tidak kisah jika mereka terpaksa menongkah arus untuk mengembalikan kegemilangan yang pernah mereka kecapi.
“Setiap kumpulan ada strategi untuk terus bertahan. Begitu juga dengan kami. Di samping memperjuangkan lagu-lagu dakwah kami juga tidak terdesak untuk popular seperti artis yang lain.
“Kami bersyukur kerana Inteam Records pun dah lama beroperasi. Selain bergiat aktif membuat persembahan, kami juga sibuk menerbitkan album-album yang berkaitan dengan agama.
“Kemungkinan besar kami juga mahu mencari artis baru untuk diletakkan di bawah label Inteam Records,” jelas Amin lagi.
Suhaimi yang sudah empat tahun bergerak secara solo pula bersyukur kerana dia dapat kembali ke pangkuan Inteam dan bergabung bersama kumpulan yang pernah menaikkan namanya satu ketika dahulu.
“Selain dapat menyanyi bersama-sama, saya juga turut menyumbangkan beberapa buah lagu dalam album Allahu Rabbi ini. Mungkin sumbangan saya ini tidak sebesar mana tapi inilah yang dinamakan persahabatan.
“Walau sudah tidak bersama, tidak bermakna saya terus melupakan rakan-rakan Inteam yang lain yang satu ketika dahulu bersama-sama saya mengharungi dunia seni,” jelas suami kepada Ina Naim ini mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: