|
| SETENGAH jam sebelum rancangan disiarkan, penerbit rancangan bual bicara Sehati Sejiwa, Nur (Shidot) Ashidah A.Hamid, 27, sedang sibuk di bilik kawalan memastikan peralatan digunakan sempurna. |
Sementara Haliza Mat Kharsa, 38, yang bertindak sebagai Penerbit Bersama hangat berbincang dengan kakitangan lain mengenai perjalanan produksi bakal dimulakan pada petang itu.
Sedang sibuk berbincang, tetamu jemputan rancangan yang disiarkan setiap Rabu, jam 3 petang di TV1 iaitu aktor kacak, Ashraf Sinclair dan isterinya juga bintang popular seberang, Bunga Citra Lestari tiba di studio IBC, Bukit Angkasapuri di mana kerja-kerja rakaman dijalankan.
Dalam studio kelihatan pengacara Sehati Sejiwa, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir (SCHA) atau Scha Al-Yahya mencuba mikrofon, di samping temannya pelakon popular, Fahrin Ahmad sibuk meneliti skrip bakal digunakan.
Rancangan berjalan lancar dengan Penolong Penerbit, Norlene Jamalludin bertindak sebagai pengarah pentas sibuk memastikan tidak ada gangguan di saat akhir.
Cuma seketika berlaku sedikit masalah kecil apabila Ashraf yang ke tandas sewaktu iklan disiarkan pulang ke studio apabila rancangan hampir ke udara kembali. Mujur ada sedutan rancangan berita disiarkan jadi ia membantu kelancaran rancangan petang itu.
Sebaik rancangan selesai Haliza menjelaskan, sepanjang rancangan Sehati Sejiwa disiarkan sambutan diberikan penonton amat memberangsangkan.
“Sejak bersiaran pada awal tahun ini sehingga sekarang Sehati Sejiwa sudah tersenarai dalam lima rancangan bual bicara paling ramai jumlah penonton. Ia disaksikan hampir setengah juta orang setiap minggu.
“Sebagai rancangan baru, jumlah penonton dianggap satu pencapaian baik. Begitupun saya berterima kasih kepada banyak pihak atas usaha mereka membantu memastikan rancangan ini dapat dilakukan dengan jayanya.
“Terutama Penerbit Eksekutif Unit Hiburan RTM, Jack Nadarajah atas kepercayaan diberikan. Dalam waktu sama saya berterima kasih kepada pihak media yang tidak putus-putus menulis mengenai rancangan ini bermula dari kisah pemilihan pengacaranya Scha sehinggalah kepada jemputan kami yang hadir setiap minggu,” katanya.
Dalam menerbitkan rancangan ini jelas Haliza setiap minggu dia bergandingan dengan penerbit muda Shidot.
“Selalunya saya bertindak sebagai penerbit tetapi untuk jemputan Ashraf dan Bunga, Shidot ambil alih tugas dan saya sebagai penasihat. Walaupun bekerja dengan dua kepala, tetapi saya tidak pernah menghadapi masalah.
“Saya senang bekerja dengan tenaga muda seperti Shidot. Separuh orang apabila sudah bergelar senior, dia berasakan dirinya bagus dan orang lain harus mendengar katanya saja, tetapi saya berbeza kerana lebih banyak pendapat kita terima lebih banyak idea boleh digunakan untuk mencantikkan lagi rancangan bual bicara ini,” katanya.
Shidot mengakui senang berkerja dengan Haliza memandangkan seniornya itu sentiasa bersikap terbuka dan menerima apa saja pandangan diberikan asal saja ia membawa kebaikan untuk Sehati Sejiwa.
“Rancangan Sehati Sejiwa musim pertama masuk episod ke sebelas dan kerana sambutan menggalakkan ia akan disambung terus. Malah membanggakan menerusi panggilan diterima dari penonton yang mahu berinteraksi dengan tetamu sebahagian besarnya warga Singapura.
“Sebenarnya ada beberapa perkara yang kami fikirkan untuk memperbaiki lagi rancangan ini.
“Sebenarnya rancangan ini membabitkan pasangan selebriti dan ia tidak terhad kepada penyanyi dan pelakon tetapi juga ahli sukan, pereka fesyen atau tokoh negara. Sekarang kami sedang usaha untuk membawa mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke studio Sehati Sejiwa,” katanya.
Walaupun rancangan diterbitkan nampak mudah, jelas Shidot selaku penerbit dia turut berhadapan dengan beberapa cabaran dan dugaan antaranya usaha untuk memujuk pasangan agar setuju datang menjadi tetamu Sehati Sejiwa bersama-sama.
“Mencabar juga untuk membawa pasangan popular ke set kami. Ada kala apabila dihubungi, isteri setuju untuk datang tetapi suami tidak atas alasan malu untuk bercerita kisah cinta dan peribadi. Memang tetamu yang datang kami yang hubungi,” katanya seraya mengakhiri perbualan.
Borak Lokasi
Penerbit Eksekutif: Jack Nadarajah
Penerbit: Haliza Mat Kharsa dan Nur Ashidah A.Hamid
Penerbit Studio IBC: Ahmad Razzaly
Penerbit Teknik: Ahmad Najib Salleh
Penerbit Konti 1: Rogby Faziana Mohd Puzi
Penolong Penerbit: Norlene Jamalludin dan Muhaji Abd Karim
Pereka Set: Noramin Hamzah
Pembantu Penerbitan: Nur Mazni Zainuddin dan Yenny Hasniza Hamzah
Unit Kawalan Kamera: Ali Ishak, Azlan Alias, Zulrizan Azdan, Mazayati Abdul Malek dan Mohd Fareez Abdul Halim.
Pengadun Visual: Saodah Fadzil
Jurulampu: Azyyati Idris dan Syed Abu Bakar Syed Abdullah
Juruaudio: A. Ghani Kassim dan Ahmad Marimon
Pasca Penerbitan: Mohd Hafiz Ismail
Pengadun Audio: Batderiah Elias
Montaj dan Grafik Komputer: Norita Mohd Yatim
Pakaian dan Dandanan: Aishah Bee Airudin dan Wince Lim.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: