Friday, April 3, 2009

Tunggu dana KPKKW


PENYANYI veteran, Samsudin Lamin, 69, tidak pernah mengalah dengan usia apabila beliau masih gigih mengeluarkan album baru yang memuatkan lagu irama asli. Setakat ini album itu belum diberi judul.

Baginya, soal usia, tidak pernah dijadikan bebanan untuk aktif dalam bidang seni seterusnya memertabatkan lagu irama asli yang semakin lenyap.

Bagaimanapun, album barunya yang menjurus lagu-lagu untuk pengantin baru masih dalam pembikinan kerana beliau menunggu dana daripada Kementerian Perpaduan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW).

"Saya yakin kementerian akan memberi dana untuk mengeluarkan album ini kerana tujuan saya tulus iaitu untuk menghidupkan kembali populariti lagu irama asli ini," katanya.

Menurut beliau, senario industri muzik masa kini hanya tertumpu kepada muzik barat yang moden seperti rock, pop dan sebagainya.

Jika dilihat pada irama tradisional, sejak beberapa tahun kebelakangan ini sudah tidak banyak lagi sebuah album penuh dihasilkan melalui genre yang satu ini.

Begitu jelas sekali penyanyi veteran ini kesal, kecewa dengan fenomena yang menimpa irama lagu asli dalam dunia seni ketika ini.

Katanya, stesen televisyen tempatan mahupun swasta nampaknya tidak berhasrat untuk menjulang kembali nostalgia irama tradisional.

"Kononnya, lagu-lagu sebegini kolot dan tidak mampu menjana pendapatan. Pemikiran sebegini secara tidak langsung mendidik generasi muda tidak memilih lagu-lagu asli untuk dipasarkan,"katanya.

Lagu-lagu berkonsep barat seperti rock, pop, jazz dan sebagainya menjadi pilihan generasi muda kerana beranggapan lagu-lagu sebegini mampu menjana pendapatan di samping berupaya mempopularkan mereka.



Katanya, fenomena sebegini membuatkan beliau sebagai seorang penyanyi veteran sedih kerana generasi muda hanya memandang kepada populariti dan bukan berusaha memertabatkan irama lagu asli.



Justeru itu, Samsudin berkata, penyanyi yang hanya mengejar glamor tidak akan bertahan lama dan akhirnya tersungkur jua.

Bagi penyanyi yang suka terikut-ikut dengan gaya penyanyi asal, Samsudin berkata penyanyi sebegini tidak akan bertahan lama kerana gagal membentuk identiti sendiri.

Tambah beliau, peminat lebih meminati penyanyi yang mempunyai identiti tersendiri yang dibentuk berdasarkan personaliti masing-masing dan bukannya penyanyi yang terikut-ikut dengan gaya penyanyi asal.

Menurut Samsudin, fenomena negatif ini dilihat semakin jelas dan kian menular di kalangan penyanyi baru khususnya dan katanya masalah ini boleh menjadi serius sekiranya tidak dibendung dengan segera.

Sehubungan itu, Samsudin berkata semua pihak perlu turun padang bagi membincangkan permasalahan ini dari kian merebak.

Berdasarkan kesedaran ini, artis veteran ini semakin gigih memperjuangkan irama ini dengan mencurahkan segala ilmu mengenainya kepada generasi muda.

Baginya, ghazal, gamelan, zapin antara seni yang telah menjadi identiti bangsa Melayu sejak lebih 500 tahun lalu, maka ia harus dipertahankan serta diwarisi oleh generasi sekarang dan masa depan.

Diam tak diam, sudah 50 tahun lebih anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur ini mengabadikan diri kepada dunia seni dan sekarang sedang giat mengajar di Program Giat Komuniti Giat Budaya di bawah tajaan KPKKW bagi memastikan muzik tradisional Melayu tidak pupus.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: