WAJAH kacak dan jelita artis yang terbabit menjayakan Minggu Setiausaha di Hotel Istana, baru-baru ini. |
Kemunculan sekumpulan lelaki terpilih dalam pelbagai cabang dunia hiburan memeriahkan acara Minggu Setiausaha
DEWAN Grand Ballroom Hotel Istana dihias indah dengan bunga-bungaan segar menandakan ada acara istimewa sedang berlangsung. Di luar dewan kelihatan sekumpulan jejaka yang kelihatan segak menyarung tuksedo sambil kerlipan cahaya lensa tidak henti-henti menyimbah wajah mereka.
Senyuman tidak henti-henti menghiasi wajah mereka. Ada ang dikenali dan ada juga pertama kali dilihat. Namun satu perkara yang dikongsi lelaki-lelaki ini adalah mereka yang berjaya mencipta nama dan populariti menerusi bakat yang dimiliki.
Lebih menarik acara hari itu bukan saja menghimpunkan pelakon, penyanyi dan model dari Malaysia tetapi juga membabitkan selebriti dari negara seberang. Itulah kelainan yang ditampilkan Hotel Istana untuk persembahan Minggu Setiausaha tahun ini.
Bukan saja menyatukan dua negara malah hidangan yang disajikan juga berkonsepkan cita rasa Indonesia iaitu makanan Padang yang cukup terkenal di Sumatera Barat. Andai kebanyakan hotel lain selesa menampilkan seorang penyanyi untuk menghiburkan penonton namun acara ini membariskan ramai penyanyi hebat yang memiliki vokal tersendiri.
Terbuai keasyikan mendengar alunan vokal Faizal Tahir yang berduet bersama pemenang pertandingan Bintang Idola Berita Harian (BIBH), Nazatul Farihin yang menyampaikan lagu Cuba. Walaupun baru pertama kali digandingkan bersama, dua penyanyi ini kelihatan serasi dan tidak nampak kekok di atas pentas.
KALI kedua Jaclyn dan Rio bergandingan menyanyikan lagu Ceritera Cinta. |
Mengulangi kejayaan yang pernah dilakar Nazatul sewaktu membuat persembahan sulung di pentas berprestij Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2008), 12 April lalu, ujian kedua ini dilalui gadis dari Sungai Petani ini dengan jayanya terutama apabila membabitkan lontaran suara ketika menyanyikan bahagian bernada tinggi.
Sebutir lagi bintang yang sememangnya menyinar di persada hiburan, Azharina meneruskan persembahan single terbarunya berjudul, Rawan sebelum pentas di ambil alih Rio Febrian yang menyampaikan lagu yang diangkat dari album terbarunya iaitu Aku Bertahan.
Rio turut berduet bersama penyanyi bersuara lantang dari Malaysia, Jaclyn Victor menyanyikan lagu Ceritera Cinta. Penyanyi lain yang turut memukau penonton menerusi persembahan mereka termasuklah Naib Juara Indonesian Idol, Delon, Irwansyah, Siti Sarah dan Ello.
Acara meriah yang dikendalikan dua pengacara berpengalaman iaitu Afdlin Shauki dan AC Mizal ini turut diselang selikan dengan sesi bermesra bersama penonton.
FAHRIN menunjukkan aksi 'Sehati Berdansa' bersama pasangannya. |
Kalau sudah namanya persembahan Minggu Setiausaha, pastinya kebanyakan tetamu yang hadir adalah golongan Hawa.
Untuk permainan pertama yang dinamakan Sehati Berdansa, setiap selebriti yang diundang di pentas, perlu mencari pasangan untuk menari bersama mereka berdasarkan genre lagu yang berkumandang. Sesi ini memang melucukan kerana ada di antara pasangan malang itu memang tidak boleh menari. Sudahnya ada di antara mereka main ‘belasah’ saja asalkan ada pergerakan.
Pada acara kedua pula, setiap pasangan perlu melakonkan aksi klip video untuk lagu yang dimainkan. Ini juga membuatkan tetamu yang hadir ‘pecah perut’ menahan gelak menyaksikan aksi selama pasangan berkenaan menghidupkan watak masing-masing.
Pun begitu, tidak dapat dinafikan kemampuan pasangan Afdlin dan AC menghidupkan acara dengan lawak jenaka mereka yang selamba sewajarnya mendapat pujian. Sikap gila-gila serta dialog spontan kedua-dua mereka juga banyak membantu.
Medan promosi diri di Malaysia
PELUANG yang terbentang di depan mata tidak harus dibiarkan begitu saja. Justeru, apabila ditawarkan untuk membuat persembahan sempena Minggu Setiausaha di Malaysia, perkara itu disambut oleh artis Indonesia yang terbabit dengan segala senang hati.
Malah, mereka melihat perkara itu dalam erti kata yang lebih luas kerana menerima tawaran itu bererti mereka memberi peluang untuk penggemar muzik di Malaysia menikmati hasil kerja mereka.
“Rasa teruja kerana selain membuat persembahan saya juga berpeluang mempromosikan muzik saya di sini. Mungkin selepas ini saya akan menjayakan showcase saya sendiri buat peminat, siapa tahu,” kata Rio yang pernah berduet bersama Erra Fazira menerusi lagu Nada Cinta.
Pendapat itu turut disokong Ello yang menyifatkan kemunculan mereka itu sebagai salam pengenalan buat peminat di negara ini.
“Saya memang sudah lama ingin ke Malaysia kerana saya tahu saya juga mempunyai peminat di sini. Jadi kesempatan ini saya akan gunakan sebaiknya untuk mendekatkan diri bersama mereka ,”ujar jejajak kacak ini.
Antara selebriti yang turut memeriahkan majlis ini adalah Awal Ashaari, Fahrin Ahmad, Aqasha, Kamal Adli, Fizo, Farid Kamil, Samuel Rizal, Ashraf Muslim, Iqram Dinzly, Didi Riyadi dan Ariffin Putra.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: