Faktor kesihatan antara sebab meninggalkan Fabulos Cats
KEGEMBIRAAN The Fabulous Cats meraikan pencalonan mereka dalam Top 5 kategori Artis Berkumpulan/Duo Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 tidak berpanjangan.
Baru hendak bergembira dengan pencapaian tertinggi selepas empat tahun memperjuangkan nama The Fabulous Cats, mereka terpaksa akur dengan keputusan Farhana untuk meninggalkan kumpulan itu.
Apakah badi atau kebetulan, giliran Farhana pula mengikut jejak langkah dua anggota wanita terdahulu, Ochi dan Alya? Apabila perkara sama berulang untuk kali ketiga, tentunya anggota The Fabulous Cats yang lain dituduh menjadi punca anggota wanitanya meninggalkan kumpulan itu.
Farhana ketika dihubungi selepas berita mengenai penarikan dirinya dikirimkan syarikat rakaman Metadome Sdn Bhd, melalui emel Jumaat lalu, menjelaskan dia masih sayangkan kumpulan itu lebih-lebih lagi hubungannya dengan Cat dan Adeep bagaikan adik beradik.
Sepanjang dua tahun bersama, banyak kenangan dan jatuh bangun dilalui bersama demi membina nama The Fabulous Cats sehingga berada di tahap sekarang.
Kesukaran memberikan sepenuh komitmen kepada kumpulan itu menyebabkan Farhana terpaksa mencari jalan penyelesaian supaya tidak lagi menyusahkan anggota yang lain. Jalan terbaik yang dirasakan sesuai oleh wanita berusia 27 tahun ini adalah dengan meninggalkan kumpulan itu supaya aktiviti kumpulan tidak terganggu hanya disebabkan masalahnya seorang.
“Memang berat membuat keputusan meninggalkan The Fabulous Cats. Ana sebenarnya masih sayangkan kumpulan ini tetapi tak sangka jodoh dengan mereka tak lama.
“Ana ambil keputusan ini bukan disebabkan perselisihan faham. Hubungan kami masih lagi baik. Tetapi masalah itu berpunca dari Ana sendiri, iaitu tidak mampu memberikan komitmen dengan baik. Tidak lama lagi The Fabulous Cats akan mengadakan promosi album di Indonesia untuk tempoh yang lama.
“Ana tidak boleh meninggalkan Kuala Lumpur dalam tempoh lama kerana terikat dengan komitmen lain iaitu perniagaan Spa yang baru diusahakan sejak setahun lalu,” katanya.
Menurutnya, keadaan kesihatannya juga menjadi punca punca kenapa dia menarik diri kerana sejak sejak Januari lalu tidak mendapat rehat secukupnya kerana sibuk dengan rangka promosi.
“Ana pernah kena gastrik yang teruk dan usus membengkak disebabkan waktu makan tidak betul. Sejak itu Ana terfikir untuk berhenti.
“Ana berbincang dengan Cat melalui telefon mengenai hasrat Ana dan dia faham dengan situasi ini. Ana tak mahu disebabkan masalah Ana, mereka terpaksa menangguhkan jadual yang sudah disusun dari awal,” katanya.
Selain itu, peningkatan usia juga menjadi punca Ana atau nama sebenarnya Farhana Razali mengambil keputusan yang sudah lama difikirkannya itu. Dia tidak mahu apabila usia sudah mencecah 30, masih lagi menyanyikan lagu berentak hip hop yang katanya tidak sesuai dengan wanita dalam lingkungan usia begitu.
Mungkin tampil secara solo
Biarpun tidak bersama The Fabulous Cats, Ana berkata cintanya pada nyanyian tidak pernah pudar. Dia akan terus menyanyi tetapi bukan dalam waktu terdekat kerana ingin fokus kepada perniagaan, dunia peragaan dan pengacaraan.
Jika kembali menyanyi, dia lebih senang bergerak solo kerana bimbang tidak mampu memberikan komitmen seperti yang dihadapi sekarang. “Ana tidak akan lupa kenangan selama dua tahun bersama mereka. The Fabulous Cats pernah meniti zaman kegelapan apabila album Fantastik tidak begitu menjadi. Apabila Ana menyertai kumpulan itu, kami sama-sama berusaha membina nama The Fabulous Cats sehingga berada di tahap sekarang.
“Ana berterima kasih sangat kepada Cat dan Adeep kerana disebabkan mereka nama saya dikenali. Ana menyertai mereka bukan untuk mengejar populariti, rasa kelakar pula jika Ana mahu mencari semua itu. Saya tidak mencari semua itu tetapi semua ini didorong oleh minat. Ana banyak belajar daripada mereka, contohnya Adeep banyak mengajar Ana mengenai vokal dan bahasa Melayu sehingga fasih, sementara Cat pula banyak mengajar mengenai teknik grooming dan kerja di belakang tabir.
“Cat pernah berkata, sesiapa yang keluar dari kumpulan ini pasti akan berjaya contohnya Alya. Dia tidak kisah dengan keputusan yang kami ambil sebaliknya terus menyokong kami,” kata Ana yang bakal mengacarakan konsert jelajah Search di lima lokasi.
Apa kata Cat?
Sebagai ketua kumpulan pula, Cat mengakui agak fobia dengan insiden sama yang berterusan melanda kumpulannya. Namun perkara itu menyebabkan dia dan Adeep menjadi lali.
Walaupun mengakui sedih di atas kehilangan Ana, Cat berkata ada baiknya ia berlaku sekarang daripada ketika mereka sedang sibuk dengan rangka promosi di Indonesia sekitar Jun nanti.
Cat mengakui bingung memikirkan apakah ini badi yang melanda kumpulan mereka kerana anggota wanitanya jarang bertahan tetapi perkara itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus mencari anggota baru bagi menggantikan kekosongan Farhana. Malah mereka juga tiada masalah dengan kekerapan bertukar anggota.
“Kami sedih kerana Ana tidak dapat menyertai kami ke Indonesia nanti. Kami faham dia tidak mampu memberikan komitmen, dalam kesedihan promosi tetap perlu diteruskan juga. Saya faham faktor umur mungkin salah satu sebab kenapa Ana menarik diri.
“Kami berharap dengan keluarnya Ana dari The Fabulous Cats sesuatu yang lebih positif akan berlaku kepada kami. Ana memberikan impak positif kepada kumpulan ketika dia bersama kami. Walaupun fobia dengan keadaan yang berlaku, kami tidak serik untuk mencari anggota wanita yang baru.
“Kami akan berbincang dengan pihak Metadome mengenai uji bakat bagi mencari anggota wanita yang baru. Uji bakat itu akan dilakukan bagi mencari anggota wanita yang benar-benar faham mengenai selok belok muzik. Walaupun kita masih ada Wangi iaitu anggota baru kumpulan kami, The Fabulous Cats masih memerlukan pengganti Ana untuk mengukuhkan lagi kumpulan kami,” kata Cat.
FAKTA: The Fabulous Cats
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: