MAWI menandatangani poster Marrybrown sambil disaksikan Nancy dan Zainir. |
Tetap yakin ada peminat terus beri sokongan walaupun terlepas gelaran Bintang Paling Popular
SELEPAS tiga tahun menggenggam erat gelaran Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) akhirnya pada 12 April lalu menyaksikan anugerah itu berpindah tangan menjadi milik bekas juara program realiti Raja lawak musim kedua, Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil.
Walaupun tewas, namun bagi Mawi perkara itu sedikit pun tidak menjejaskan sokongan peminat terhadapnya.
"Setakat ini reaksi peminat terhadap saya masih macam biasa. Tak adalah terjejas apa-apa pun," kata Mawi yang muncul dengan imej rambut sedikit panjang berbanding dulu.
Sebagai orang yang berpengalaman, sempat juga Mawi menabur nasihat kepada Nabil supaya lebih berhati-hati apatah lagi dengan adanya anugerah itu di dalam genggaman.
"Anugerah itu datang dengan satu tanggungjawab yang besar termasuk juga dugaan. Saya harap dia akan lebih tabah dalam mengharungi hidup sebagai insan seni," katanya yang sememangnya bersetuju dengan kemenangan anak muda itu yang disifatkannya sebagai popular serta rajin berusaha.
SELEPAS bergelar duta, Mawi kini mahu bergelar ahli perniagaan kepada produk francais makanan segera ini. |
Mawi yang baru saja muncul dengan album terbarunya berjudul Allah Habibee, akan memulakan projek terbarunya iaitu menerbitkan program Langkah Mawi di bawah produksi miliknya sendiri iaitu MW Entertainment.
"Untuk program ini tiga lokasi sudah dirancang di mana saya akan ke Melbourne, Australia bulan depan, dan menyusul pula ke Itali pada Jun serta diikuti Hong Kong pada bulan berikutnya," kata Mawi yang bakal muncul dengan filem Notti dan Magika, kedua-duanya terbitan KRU Filem Sdn Bhd.
Cadang sertai franchais Marrybrown
SIAPA sangka, restoran makanan segera, Marrybrown (MB) yang sering dikunjungi Mawi ketika zaman persekolahan akhirnya menjadikan penyanyi popular itu sebagai duta selebriti restoran ini.
Mengimbas kembali nostalgia lalu, Mawi berkata Marrybrown adalah satu-satunya restoran makanan segera yang terdapat di Bandar Kulai, tempat di mana dia dilahirkan.
"Masa zaman sekolah dulu, saya selalu mengunjungi restoran itu untuk menikmati ayam dua ketul yang memang saya gemari. Selalu jugalah lepak di sini bersama kawan-kawan," cerita Mawi ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian perlantikannya sebagai duta Marrybrown (MB) itu di Berjaya Times Square, di ibu negara, baru-baru ini.
Hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan Marrybrown (MB) Nancy Liew, Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah dan isterinya, Ekin.
Bukan saja teruja merana mendapat tawaran itu malah Mawi berperasaan sebegitu kerana tidak menyangka antara dia dan makanan segera itu sebenarnya berkongsi sesuatu yang istimewa.
"Saya sendiri tidak tahu yang usia rangkaian makanan segera itu sebenarnya sebaya dengan saya dan berasal dari Johor, sama seperti saya," cerita jejaka berusia 28 tahun ini.
Mawi yang mendapat tahu mengenai perlantikannya itu sebulan lalu berkata, alang-alang menjadi jurucakap untuk produk makanan segera itu, dia juga bercadang untuk membabitkan diri dalam rangkaian perniagaan itu.
"Insya-Allah saya bercadang untuk membuka francais perniagaan ini dan saya ingin membukanya di kawasan rumah kedai, mungkin di sekitar Kuala Lumpur. Sekarang ini pun saya mahu melihat kertas kerja dulu.
"Mungkin sudah tiba masanya untuk saya lebih serius dalam perniagaan kerana sebagai artis, kita sendiri tidak tahu bagaimana masa depan kita. Sekurang-kurangnya adalah juga jaminan. Lagipun memang sejak dari dulu lagi saya ingin buka perniagaan berasaskan makanan," kata penyanyi ini.
Ditanya apakah dia juga berpeluang untuk berkongsi menu kegemarannya untuk dijual di restoran berkenaan, Mawi berkata perkara itu memang termaktub dalam perjanjian.
"Memang ada, namun apakah menu itu masih belum diperbincangkan lagi," katanya yang turut mempromosikan sajian terbaru Sedapnya Sate iaitu Burger Sate dan Nasi Sate yang boleh didapati sehingga 14 Jun depan.
Diajukan pertanyaan apakah 'habuan' yang diterimanya sebagai duta MB cukup lumayan, Mawi hanya menjawab pertanyaan itu dengan tawa yang panjang.
"Bolehlah... tapi yang seronoknya saya dapat makan percuma. Malah baru-baru ini sewaktu Anugerah Bintang Popular Berita harian di Genting Highlands, pihak MB ada menelefon saya dan mempelawa saya untuk makan di sana," kata Mawi mengenai keistimewaan yang diperolehnya itu.
Sementara itu, mengulas pemilihan Mawi sebagai duta MB, nancy berkata populariti yang dimiliki anak muda itu serta faktor sebaya dengan usia MB membuatkan pihaknya bersetuju untuk menjadikan Mawi sebagai jurucakap mereka.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: