|
|
KUALA TERENGGANU 26 April - Ibu tunggal lapan anak, Azizah Ali berpendapat tuntutan mutaah RM2 juta terhadap bekas suaminya yang kini seorang jutawan adalah wajar ekoran pengorbanannya menyara keluarga semasa lelaki itu menyambung pelajaran.
Azizah, 46, menceritakan dia banyak berkorban termasuk membuat kuih dan ais krim bagi menampung perbelanjaan keluarga kerana sebagai pegawai kerajaan ketika itu, bekas suaminya hanya layak menerima separuh gaji.
Sepanjang menjadi isteri selama 25 tahun kepada Abdullah Ismail, 50, menurutnya, semua tanggungjawab terhadap suami dan anak-anak dilakukannya dengan ikhlas.
''Saya menyedari bekas suami saya itu berkemampuan dan saya banyak berkorban untuk dia sama ada dari segi mental atau fizikal.
''Sememangnya saya layak menerima sumbangan itu," katanya semasa memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.
Kes tuntutan itu didengar di hadapan Hakim Syarie Shaikh Ahmad Ismail. Azizah diwakili peguam Amli Embong dan Fazru Annuar Yusof manakala Abdullah diwakili peguam Zulkifli Yong Azhar.
Pada 3 Oktober tahun lalu, Azizah memfailkan tuntutan terhadap Abdullah yang juga pemilik Ais Consultant Sdn. Bhd. meminta agar defendan yang bergelar jutawan membayar RM2 juta sebagai tuntutan mutaah selepas pasangan itu bercerai dengan talak satu pada 28 Disember 2006.
Dalam tuntutannya, plaintif mendakwa telah mengalami banyak penderitaan mental dan fizikal akibat didera dan dipukul sepanjang tempoh 25 tahun perkahwinan mereka.
Defendan juga didakwa bersikap panas baran dan lebih mementingkan kerjaya serta isteri barunya.
Azizah dan Abdullah berkahwin pada 14 Ogos 1981 dan disahkan bercerai pada 28 Disember 2006 di Mahkamah Rendah Syariah di sini.
Hasil perkongsian hidup, pasangan tersebut dikurniakan lapan anak berusia antara lima hingga 25 tahun dengan kebanyakan mereka masih belajar.
Azizah memberitahu, semasa mengandungkan anak kedua lagi, dia terpaksa berkorban membuat kuih dan ais krim untuk menambah pendapatan kerana suaminya menyambung pelajaran.
''Saya juga mengajar kelas fardu ain di Yayasan Islam Terengganu manakala suami pula pulang sekali atau dua kali sebulan," katanya.
Menurut Azizah, semasa baru melangsungkan perkahwinan, mereka tinggal di rumah ibu bapanya di Manir sebelum berpindah ke Besut mengikut suami yang bertugas di salah sebuah jabatan kerajaan pada 1981-1982.
Katanya, selepas menamatkan pengajian, suaminya bertugas sebagai jurutera termasuk di Besut, Kemaman, Dungun dan Kuala Terengganu sebelum berhenti kerja dan membuka sebuah firma perunding sendiri.
Hakim menetapkan 21 Jun ini untuk sebutan semula kes itu bagi membolehkan mahkamah menentukan tarikh perbicaraan selain merekodkan keterangan plaintif buat kali kedua.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: