Sunday, April 26, 2009

Borak Paknil: Salah guna telefon


ASSALAMUALAIKUM! Paknil boleh dikatakan beruntung juga sebab dapat berkarya pada era berlainan. Sejak kami tidak mengenal langsung apa itu telefon bimbit sehinggalah ketika telefon bimbit diperkenalkan dan era komputer serta Internet.

Boleh dikatakan semua era itu ada ceritanya yang tersendiri. Perubahan teknologi komunikasi sememangnya mempunyai kesan secara langsung dengan perjalanan kerjaya Paknil.

Bila Paknil renung balik, memang ada logiknya. Mereka yang banyak pengalaman jadi anak seni turut terasa dengan perubahan ini. Paknil percaya kawan Paknil yang lain juga merasakannya, cuma tiada analisis teliti dilakukan.

Ketika Paknil mula-mula terbabit dalam bidang ini, telefon bimbit tak wujud lagi. Telefon talian tetap adalah satu-satunya cara untuk kami dihubungi ketika itu. Kalau bukan di pejabat, Paknil dapat dihubungi di rumah.

Kehidupan kami ‘simple’ ketika itu. Tak banyak gangguan telefon dan telefon bukan nadi aktiviti Paknil. Yang hairannya, jadual Paknil masih penuh walaupun hanya dapat berurusan pada masa-masa tertentu.

Tawaran pekerjaan dan persembahan hanya dapat Paknil layani ketika di pejabat atau di rumah. Selebihnya, Paknil tak dapat dihubungi.

Bila difikirkan balik, boleh pula Paknil ketika itu hidup tanpa ada alat bernama ‘handphone’! Paknil masih boleh dihubungi oleh wartawan, stesen TV, penganjur pertunjukan dan juga orang bank!

Kini teknologi komunikasi bertambah canggih. Telefon sentiasa di tangan. Artis sekarang boleh ada di mana saja untuk menyambut panggilan.

Malangnya, ada pula artis menjadikan kemudahan telefon bimbit itu sebagai satu masalah bukan saja kepada dirinya tetapi juga orang lain.

Tengah-tengah ‘shooting’, telefon berdering apabila ada artis tak reti hendak matikan telefon bimbitnya. Lebih teruk lagi apabila ada artis sibuk berbual di telefon ketika di lokasi dan memaksa krew menunggu sehingga perbualannya tamat untuk menyambung penggambaran.



Kalau dulu, penggambaran sesebuah produksi begitu aman suasananya kerana artis fokus dengan kerja mereka tanpa gangguan. Penggambaran juga lancar.

Oleh itu, ramai pengarah gemar penggambaran sesebuah produksi itu dilakukan di luar kota kerana artis dan juga krew tidak diganggu dan sukar dihubungi. Masa penggambaran juga tidak terganggu.

Kini Paknil tengok, ada artis sanggup tinggalkan lokasi setelah bertengkar dengan buah hatinya melalui telefon. Krew dan pengarah juga ada ketikanya tercengang-cengang apabila secara tiba-tiba ‘mood’ artis terganggu selepas bergaduh dengan kekasih di talian.

Masa tiada telefon bimbit dulu, artis dan krew sering diingatkan supaya datang awal ke lokasi kerana jika terlambat, mereka tidak dapat dihubungi seandainya dalam perjalanan. Paknil akan pastikan Paknil muncul lebih awal daripada waktu dijanjikan supaya pihak produksi tidak tercari-cari.

Malangnya, hari ini Paknil lihat artis kita sering juga lewat ke lokasi. Setiap kali ditelefon, jawapan ‘on the way’ menjadi alasan popular.

Lebih teruk apabila ada yang mematikan terus telefon bimbit dan tidak dapat dihubungi. Rasanya macam kehadiran alat komunikasi canggih ini tidak dapat membantu menjadikan industri lebih baik.

Dulu-dulu masa belum ada alat ini, temujanji dengan wartawan masih berjalan lancar dan kerja wartawan tetap juga dapat dilunaskan. Temujanji fotografi dan temubual masih juga berlaku seperti dirancangkan.

Namun setelah muncul telefon bimbit, seharusnya sesi sebegini jadi lebih lancar dan wartawan dapat menjalankan tugas dengan teratur. Ada juga temubual boleh dilakukan melalui telefon saja pada bila-bila masa dan tempat.

Malangnya, kehadiran peranti ini juga tidak dimanfaatkan. Wartawan masih merungut apabila ada artis sukar dihubungi. Ada artis sering menukar nombor telefon dan menyebabkan wartawan jadi keliru dengan nombor yang tidak sama setiap kali.

Kalau artis ini tahu memanfaatkan kegunaan telefon tangan ini, Paknil pasti kerja artis-wartawan dapat disempurnakan dengan baik. Artis akan pantas menghubungi wartawan seandainya ada halangan di jalanan dan begitu juga sebaliknya.

Kalau dulu, artis bebas ke mana-mana kerana peminat yang terserempak dengan mereka sekadar menghulur tangan untuk berjabat atau meminta autograf.

Jarang ada peminat membawa kamera setiap kali ada di luar. Yelah, filem pun harus diisi sebelum gambar boleh diambil. Lagipun, proses mendapatkan gambar juga rumit sehingga terpaksa dihantar ke kedai gambar untuk dicuci. Ini juga membabitkan kos. Kamera ketika itu bagai peralatan mewah yang hanya digunakan untuk majlis tertentu.

Namun kini kehidupan menjadi selebriti tidak sebebas dulu. Hampir setiap warga remaja dan dewasa di negara ini memiliki telefon bimbit berkamera. Kamera di telefon bimbit sekarang ini tidak memerlukan gambarnya diproses dan tiada filem bergulung diperlukan.

Bayangkan bagaimana keadaan artis kini ketika di tempat awam. Mungkin ada yang terpaksa berhenti pada setiap langkah kerana pada setiap kali itu peminat yang ada telefon berkamera ingin bergambar dengan mereka.

Yelah, artis pasti akan sentiasa akur dengan permintaan peminat untuk bergambar, tetapi ini juga bermakna artis juga kehilangan privasi.

Pada Paknil, bergambar dengan peminat bukan menjadi masalah, tetapi ada juga peminat mengambil gambar secara curi-curi dari jauh sehingga ada yang merekod kehadiran artis itu dalam bentuk video.

Sebagai orang Timur, kita harus menghormati hak privasi seseorang individu.

Dulu, artis yang membuat persembahan di sesebuah majlis dapat melunaskan kerja dengan lancar dan kreatif. Mereka bebas bergerak dari atas pentas ke meja tetamu. Ini memberi lebih warna kepada persembahan.

Mereka juga dapat bergurau dan bermesra melayan penonton dengan lebih mudah. Bukan maksud Paknil melakukan perkara tidak sopan, tetapi sekadar gurauan pentas untuk memeriahkan persembahan.

Kini, kebebasan itu dirampas dengan kehadiran telefon bimbit berkamera. Hampir setiap penonton memilikinya. Pastinya mereka ingin mengabadikan gambar secara pantas dengan artis di depan mata.

Sekali lagi bagi Paknil, bergambar dengan peminat bukan masalah, tetapi bayangkan ada artis terpaksa mengehadkan pergerakan mereka hanya di atas pentas.

Pernah berlaku di mana artis dihurungi bagai gula oleh peminat yang ingin bergambar. Artis itu akhirnya terpaksa menukar bentuk persembahannya hanya di pentas. Artis itu tidak lagi dapat bergerak dari meja ke meja kerana sesi menghibur bertukar menjadi sesi fotografi!

Kasihan pada Anuar Zain yang ramah bergambar bersama peminat ketika persembahannya. Akhirnya, sikap pemurah bergambar itu juga yang memakan dirinya apabila gambar dan video berkenaan dijadikan isu dan bahan kontroversi. Lebih teruk bila gambar dan video itu disebarkan di Internet.

Sedar atau tidak, setuju atau tidak, Paknil dapat katakan evolusi penggunaan telefon bimbit sememangnya turut mempengaruhi kerjaya artis.

Seharusnya penciptaan yang semakin canggih ini dapat dimanfaatkan untuk kebaikan profesion seseorang artis, namun ada juga yang tidak berubah seiring dengan permodenan alat komunikasi ini.

Keadaan menjadi lebih teruk. Ada artis yang bebas bergambar dalam privasi masing-masing dengan cara bebas untuk simpanan peribadi mereka akhirnya menjadi bahan siaran Internet.

Paknil tinggalkan rencana yang mungkin dianggap remeh ini dengan cerita seorang artis muda yang meniti tangga populariti.

Kerana bertembung kelewatan dalam jadual persembahannya, akhirnya artis itu mencadangkan sesi ‘sound check’ dan raptai persembahan bersama band pengiringnya dilakukan melalui telefon bimbitnya! Cerdik ke dangkal?

Wassalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: