Monday, April 27, 2009

Mangga temui idola sulung


Juara Kategori lelaki Muhammad Syamsul Idzham Mohd Yunus dan Juara Kategori Wanita Norashimah Ramli memenangi pertandingan akhir.


PENCARIAN Mangga Star Search 2009 anjuran majalah Mangga (terbitan Kumpulan Utusan) berakhir apabila penganjur menemui juara pertandingan yang julung kali diadakan itu.

Muhammad Syamsul Idzham Mohd Yunus (Arm) dan Norashimah Ramli (Shima) berjaya memukau para juri dengan bakat seni mereka lantas menepikan 10 lagi finalis pada pertandingan akhir yang diadakan di Restoran Saloma Bistro, Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Arm yang membawa lagu Jujur dan Shima pula memukau dengan suaranya yang lantang dengan membawa lagu Matahari tidak menghampakan para juri dan mereka mencapai kriteria yang dicari dinobatkan sebagai juara.

Jejaka berusia 21 tahun ini berasa terkejut di atas kemenangannya kerana bagi Arm, rata-rata peserta di peringkat akhir ini hebat belaka dan mempunyai keistimewaan masing-masing.

"Saya masih terkejut di atas kemenangan ini kerana semua peserta mempunya karisma tersendiri.

"Namun mungkin rezeki serta bakat nyanyian dan peragaan saya yang dilihat oleh para juri membuatkan saya berjaya menjadi idola pertama majalah kegemaran saya," ujar pemilik Diploma Radiografi yang bercita-cinta untuk menjadi ahli forensik pada suatu hari nanti.

Shima juga melahirkan rasa yang sama dengan Arm apabila diumumkan sebagai juara kategori wanita.

Dia yang ingin menjadi penyanyi yang disegani berpendapat, setiap finalis mempunyai vokal yang hebat dan gaya lakonan yang mempersonakan.

Justeru, gadis berusia 16 tahun ini berharap kemenangannya akan membantu dia menggapai impian bergelar penyanyi popular satu hari nanti.

Selain Arm dan Shima, 10 peserta lain yang terpilih ke peringkat akhir ialah Muhammad Ezam Ernadi Asri, Shahrul Hafiz, Ketty Natalia Rasul Khan, Norshariza Iskandar, Mohd. Hafiz Amin dan Mohammad Rushdan Ramli.

Turut beradu nasib Nor Shapila Abdullah, Nur Wan Syafinaz Tarmizi, M. Ashmir Nazohan Mazlan dan Sharifah Aishah Syed Hamzah.

Pada pertandingan itu, Wan Shafinaz dinobatkan sebagai Peserta Paling Fotogenik dan Ketty pula mendapat gelaran Peserta Paling Popular.

Pemenang kategori Pasangan Ideal pula diraih oleh Rushdan dan Shafiza.

Para finalis diadili oleh penyanyi dan komposer popular Hazami, pengarah filem tersohor Ahmad Idham, Penasihat Cherry Talent & Management, Along Bakar, Along Bakar dan Pengarang Mangga, Norzeha Kasbi bertindak selaku Ketua Juri.

Pertandingan yang julung kali dianjurkan oleh Mangga ini berbeza dengan pertandingan-pertandingan nyanyian.

Syarat utama ialah peserta bukan sahaja boleh menyanyi tetapi juga perlu menunjukkan bakat dalam bidang lakonan, pengacaraan dan peragaan .

Pertandingan itu memberi peluang kepada 12 finalis yang terpilih untuk merebut gelaran bintang Mangga setelah melalui sesi uji bakat yang diadakan di beberapa lokasi sejak 1 Mac lalu.

Pertandingan akhir Mangga Star Search 2009 itu turut menyaksikan pelancaran wajah baru Mangga bersempena dengan ulang tahun penerbitannya yang ke-14.

Mangga yang masih mengekalkan saiznya kompak, hadir dengan wajah baru yang lebih segar dan menarik.

Menurut Ketua Pengarang Majalah Utusan Karya Sdn. Bhd., Badrul Azhar Abdul Rahman, pembaharuan itu seiring dengan cita rasa pembaca yang mahukan kelainan dalam majalah tersebut.

"Ia juga bertujuan mengukuhkan reputasi majalah Mangga yang berpengaruh di negara ini sejak kebelakangan ini," katanya.

Majalah Mangga yang diperkenalkan pada 1 April 1995 bermula dengan lukisan-lukisan komik hiburan.

Pada acara gilang-gemilang itu, para tetamu turut dihiburkan dengan persembahan artis-artis popular seperti Stacy, Adam, Rio Febrian, Jaclyn Victor, Delon, Naufara, Pija, Aizat dan Nubhan.

Turut menggegarkan pentas acara ialah kumpulan Bunkface dan 6ixth Sense, selain 30 artis dan personaliti popular sebagai tetamu undangan bagi memeriahkan majlis pada petang itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: