|
 |
| PADA usia menjangkau setengah abad, Zainal Abidin masih aktif menjayakan undangan persembahan. Malah dalam kesibukan mengisi waktu dengan hobi bermain golf, penyanyi yang popular dengan lagu Hijau itu dikejutkan dengan serangan sakit jantung. |
Sabtu lalu, Zainal menjalani satu pembedahan jantung iaitu angiopasti membabitkan membetulkan saluran arteri yang tersumbat. Katanya, dia secara tiba-tiba diserang sakit jantung ketika bermain golf sehari sebelum itu.
"Petang Jumaat lalu, saya main golf. Ketika main di lubang tiga saya rasa dada sakit dan ketat, tetapi masih bernafas macam biasa. Kemudian, saya duduk seketika sebelum sambung bermain. Hingga main di lubang 13, sekali lagi saya kena sakit yang sama, tetapi kali ini bertambah kuat.
"Saya fikir mungkin salah makan, angin dalam badan atau makan lambat jadi punca. Selepas itu saya balik ke rumah hingga apabila tidur pada petang esoknya, saya rasa dada macam hendak pecah dan biji mata mahu terkeluar.
"Ketika itu, saya sudah tidak tahan sakit lalu cakap pada isteri (Angelina Asmawi) saya kena serangan jantung dan minta dia hantar ke Pusat Perubatan Pantai, Bangsar berdekatan rumah.
"Sepatutnya saya ada persembahan pada malam itu, tetapi terpaksa dibatalkan dan ditahan di wad sebelum menjalani pembedahan selama 20 minit. Doktor beritahu saluran arteri saya tersumbat 100 peratus dan perlu jalani pembedahan segera.
"Selepas pembedahan, saya berada dalam wad unit rawatan rapi (ICU) selama dua hari sebelum dipindahkan ke wad biasa dan petang kelmarin, dibenarkan pulang ke rumah. Saya bersyukur kerana selamat selepas pembedahan dan keadaan kesihatan ketika ini makin stabil.
"Saya juga bersyukur kerana ini semua berkat doa keluarga dan rakan yang mahu saya cepat sembuh. Sebelum ini saya tidak mempunyai apa-apa penyakit termasuk jantung. Sebulan lalu, saya ada rasa tangan kiri kebas dan saya ingatkan ia cuma perkara biasa. Mungkin itu petanda saya sakit jantung.
"Saya tidak mempunyai apa-apa pantang cuma memastikan makan tidak berlebihan. Sebelum ini badan saya sihat seperti biasa cuma tahap kolesterol dalam badan agak tinggi, tetapi masih terkawal," katanya.
Mengenai punca sakit jantung, Zainal berkata ia mungkin disebabkan faktor kurang rehat sejak kebelakangan ini. Katanya, dia kerap menerima jemputan mengadakan persembahan membabitkan pelbagai persembahan dan kerja amal.
"Dalam seminggu, paling sikit ada tiga jemputan persembahan yang diterima hinggakan saya tidak ada masa untuk berehat termasuk hujung minggu. Namun, dalam menjayakan persembahan itu, saya tidak terlalu memikirkan soal bayaran kerana ada persembahan untuk kerja amal.
"Sebelum ini, saya terbabit menghiburkan peminat istimewa seperti orang buta dan kanak-kanak yang menghidap penyakit sindrom down. Selepas menjalani pembedahan, doktor nasihatkan banyak berehat. Saya masih dibenarkan menyanyi, tetapi tidak terlalu aktif," katanya.
Zainal juga bercadang menghasilkan album baru, tetapi belum fikir masa yang sesuai. Katanya, jual album pada masa kini tidak menguntungkan berbanding pendapatan dari pada persembahan pentas. Jika diikutkan, album saya yang lalu, Puteri (2007) hanya dihasilkan selepas sembilan tahun tiada album.
"Jadi, saya fikir buat masa ini saya ingin beri peluang dan sokongan kepada artis muda untuk buat album. Bagaimanapun, saya berpesan kepada mereka supaya tidak lupa diri seperti pepatah, kaduk naik junjung atau si kudung mendapat cincin.
"Pepatah Melayu seperti itu perlu difahami dengan jelas agar artis baru dapat mengikut cara penyanyi lama macam saya yang masih bertahan di persada hiburan tanah air hingga kini. Dalam persembahan saya sebelum ini, saya lihat sambutan peminat terhadap saya masih ada.
"Dulu peminat saya pelajar sekolah dan mereka yang berpendapatan rendah, tetapi kini mereka sudah dewasa dan memegang jawatan besar. Saya fikir peminat sanggup bayar harga tiket yang mahal jika ingin menonton persembahan saya.
"Sebaliknya, bukan niat saya untuk adakan konsert sendiri kerana berpandangan pasaran konsert artis sudah mati akibat konsert percuma. Sepatutnya, konsert percuma dikurangkan dan konsert yang ada perlu dikenakan tiket walaupun pada harga murah," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: