|
 |
| SUDAH jatuh ditimpa tangga. Demikian nasib dilalui penulis lirik, Jamaludin Sulik, 43, atau Sri Bayu yang kini masih dalam proses perceraian dengan isteri, Dayang Zaira Erema Awang Moshdad, 25, atau Erema. |
Waktu sama, penyakit saraf yang dihidapi sejak empat tahun lalu bertambah buruk menyebabkan dia gagal berkomunikasi dengan baik dan pergerakannya agak terbatas. Sejak 9 April lalu, dia dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas tidak berupaya untuk bergerak.
Hasil pemeriksaan, pihak hospital mendapati keadaannya agak stabil dan membenarkan Sri Bayu pulang petang kelmarin. Kini hanya telefon menjadi teman setia dan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pengikat hubungan di antara Sri Bayu dan teman-teman.
Sri Bayu ketika ditemui di HKL, kelmarin memaklumkan, keadaannya agak lemah dan tidak mampu bergerak selain mengharapkan bantuan daripada keluarga angkat untuk menguruskan keperluan seperti menyuapkan makanan dan minuman kepadanya.
Paling memilukan apabila dia memaklumkan perasaan hampanya kerana tidak dapat bertemu bapanya, Abdul Muktee yang kembali ke rahmatullah di Bangi, Selangor, Ahad lalu.
"Saya terkilan kerana tidak dapat bertemu bapa. Berita kematian itu disampaikan seorang teman ketika saya menjalani rawatan di hospital," katanya.
Walaupun dalam keadaan kesihatan tidak mengizinkan, Sri Bayu masih sempat mencipta lirik lagu baru, Sayang Terakhir dengan bantuan jururawat di hospital berkenaan. Ditanya adakah lagu itu ditujukan kepada individu tertentu, Sri Bayu enggan mengulas lanjut.
Penulis lirik yang pernah melonjakkan nama Anita Sarawak menerusi lagu Cintamu Muzik Di Hatiku dan Kau Lilin Cintaku (Francisca Peter) itu memaklumkan ada menghantar SMS kepada Erema sebelum menjalani rawatan di hospital tetapi Erema memaklumkan dia sibuk dengan urusannya.
Sri Bayu yang sebelum ini menetap bersama keluarga angkat di Shah Alam, sudah mencuba pelbagai rawatan tradisional. Begitupun keadaannya masih belum pulih.
Adik angkatnya, Kher Wanshah Omar, 25, berkata pelbagai rawatan tradisional seperti mengurut dilakukan sejak mengalami sakit itu. Begitupun, pihaknya turut berikhtiar menjalani rawatan di hospital.
"Sakit saraf yang dialami sudah lama. Begitupun, sejak dia (Sri Bayu) menetap di rumah kami, pelbagai rawatan diusahakan untuk memulihkan penyakitnya.
"Begitupun, keadaannya masih belum pulih. Sehinggalah pada dua minggu lalu apabila tangan dan kakinya tidak dapat bergerak. Kami cuba pula mendapatkan rawatan di hospital.
"Kami sekeluarga cuba lakukan apa yang termampu memandangkan tiada siapa yang mengurus dan membantunya setakat ini," katanya.
Sri Bayu turut menerima kunjungan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Freddie Fernandez yang menyerahkan sumbangan sebanyak RM500 bagi meringankan beban yang dilaluinya, kelmarin. Seri Bayu juga adalah salah seorang penerima Skim Pencen Karyawan yang menerima bantuan RM500 sebulan.
Menurut Freddie, lawatan itu adalah kunjungan biasa persatuan dalam memantau kebajikan ahlinya. Malah, sebelum ini, mereka kerap berhubung menerusi SMS. Bagaimanapun, keadaan lebih sukar apabila dia tidak dapat bergerak.
"Sebelum ini, pihak kami pernah berbincang mengenai masalah yang dihadapinya. Kami ada meminta kebenaran daripada pihak keluarganya untuk membawanya menjalani rawatan di samping menanggung kos berkenaan. Bagaimanapun, belum ada kata putus daripada pihak keluarganya.
"Kami juga akan memantau keadaannya dari semasa ke semasa. Setakat ini, dia berada dalam senarai skim pencen Karyawan dan kami akan cuba memberi bantuan susulan mengikut keperluannya," katanya.
Hadir sama, AJK Biro Penyanyi, Salwa Abdul Rahman. Selain AJK persatuan, Salwa yang hadir sebagai teman lama turut bersimpati dengan nasib yang dilalui komposer itu.
"Saya sudah mengenalinya sejak 1980-an lagi. Sebagai kenalan, saya cuba melakukan yang terbaik buatnya. Saya juga merayu kepada rakan-rakan untuk sama-sama membantu dengan pelbagai cara bagi meringankan beban yang dilalui," katanya.
Sementara itu, Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya menetapkan 22 April ini untuk sebutan semula kes perceraian yang difailkan Erema terhadap suaminya. Tarikh itu ditetapkan bagi membolehkan peguam syarie, Norafizah Abdul Azis yang mewakili Seri Bayu (defendan) mengemukakan tuntutan balas berhubung penyata tuntutan yang dikemukakan Erema (plaintif).
Pasangan itu gagal hadir ke mahkamah pada 11 Mac lalu kerana Erema bekerja manakala Seri Bayu mengalami masalah kesihatan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: