Friday, April 17, 2009

Bukan kerana terpaksa..Farah Diana


BUKAN tidak terdetik di hatinya untuk bertudung seperti dituntut agama Islam. Malah, kata bintang yang dicungkil menerusi program realiti Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Farah Diana Anuar, 24, dia juga menyimpan hasrat untuk bertudung apabila sampai masanya nanti.

"Sebenarnya, bertudung bukan perkara asing buat saya kerana kakak dan emak juga bertudung. Masa sekolah dulu saya bertudung, malah memakai tudung apabila menjayakan majlis keagamaan di kampung pada Aidilfitri dan marhaban di Astro serta Hafazan al-Quran di RTM.

"Tidak mustahil, saya bertudung satu hari nanti terutama apabila usia semakin meningkat kerana ia juga fasa kehidupan yang perlu ditempuhi semua orang.

"Tapi saya tidak mahu bertudung sebab terpaksa atau dipaksa orang lain. Soal bertudung ini bukan perkara main-main dan saya tidak mahu apabila bertudung, tetapi masih melakukan perkara dilarang agama.

"Pada masa sama, tidak mahu bertudung sebab fesyen kerana bagi saya soal menutup aurat ini bukan perkara yang boleh diperlekehkan.

"Saya juga perlu benar-benar bersedia sebelum memutuskan untuk memakai tudung sepenuhnya nanti. Saya tidak mahu sekejap pakai, sekejap buka tudung kerana ia seolah-olah mempermainkan perintah agama," katanya.

Kata Farah, jika bertudung nanti biarlah ia dengan keikhlasan hatinya sendiri untuk menunaikan perintah Tuhan. Malah keluarganya juga tidak ada masalah jika dia bertudung atau tidak kerana mereka tidak pernah memaksa untuk melakukan sesuatu yang bukan kemahuannya.

Kata Farah, dia tidak ada masalah untuk tampil dengan imej bertudung dalam program Rasa Halal Orient yang disiarkan Astro Oasis sejak Januari lalu.

"Sebenarnya, penerbit program ini tidak pernah memaksa saya bertudung dan mereka hanya memberitahu saya perlu berpakaian menutup aurat kerana ia disiarkan di saluran keagamaan Astro Oasis.

"Namun, hati saya sendiri terbuka untuk tampil dengan imej bertudung sepenuhnya untuk disesuaikan dengan program ini. Pada peringkat awal tampil bertudung memang ada perasaan janggal sedikit tapi lama kelamaan saya semakin menyesuaikan diri.



"Kini, sudah tiga musim saya mengacarakan Rasa Halal Orient dan semakin selesa dengan imej bertudung. Saya memang suka dengan fesyen bertudung sekarang kerana ia sangat mudah digayakan berbanding dulu. Fesyen bertudung juga berubah selaras mengikut perkembangan fesyen semasa.



"Sepanjang tiga musim mengacarakan program ini, koleksi tudung saya semakin bertambah menarik selaras dengan perkembangan fesyen terkini. Saya juga mempunyai lebih 30 koleksi tudung dalam simpanan setakat ini.

"Banyak koleksi tudung saya digayakan pada tiga musim terdahulu dihadiahkan kepada ibu dan kakak yang memang bertudung. Malah, ada peminat yang tertarik dengan koleksi tudung yang saya gayakan sepanjang tiga musim program ini dan bertanya di mana mereka boleh memperolehnya," katanya.

Tidak cukup dengan itu, kata Farah, dia juga tidak ada masalah mengacarakan program bercorak keagamaan lain selepas ini.

"Sebenarnya, banyak nilai positif yang saya peroleh apabila kendali program bercorak keagamaan ini. Selain itu, program ini juga banyak mendorong saya ke arah kebaikan dan semakin mendekatkan diri dengan agama.

"Contohnya, ketika menjayakan program ini, kami berpeluang melawat ke tempat bersejarah, bangunan dan masjid lama di negara bukan Islam yang dijelajahi. Saya juga banyak mendapat ilmu pengetahuan mengenai makanan halal dan hadis yang sesuai dalam setiap episod dipaparkan," katanya.

Dalam pertemuan Rap dengannya ketika sesi fotografi di Balai Berita baru-baru ini, duta dan model produk Syahirah, Power Roots dan Intimate ini baru saja selesai menjayakan penggambaran musim ketiga Rasa Halal Orient di Hong Kong selama dua minggu.

Seperti China (musim pertama) dan Taiwan (musim kedua), Farah berkata, dia juga menimba banyak pengalaman menarik sepanjang penggambaran musim ketiga ini.

"Saya sangat teruja kerana ini kali pertama menjelajah ke Hong Kong yang dikenali sebagai kota fesyen dan syurga beli-belah di dunia. Masyarakat di sana juga tahu bagaimana untuk menarik perhatian pelancong ke negara mereka dan pada malamnya, saya sempat menyaksikan pesta lampu.

"Pada mulanya, saya bimbang untuk berkunjung ke negara itu kerana ramai orang kata susah untuk mendapatkan makanan halal di Hong Kong. Rupa-rupanya, banyak restoran makanan halal di sana dan ia juga dikunjungi orang bukan Islam juga. Selain itu, kami paparkan sejarah masyarakat Cina Islam di Hong Kong," katanya.



>Profil

NAMA SEBENAR: Farah Diana Anuar

TARIKH LAHIR: 25 Januari 1985

TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur

BILANGAN KELUARGA: Anak ketiga daripada enam beradik

AKADEMIK: Sijil Pelajaran Malaysia

PROFESSION: Penyanyi, pelakon, pengacara dan jurucakap produk

JURUCAKAP PRODUK: Power Roots, Intimate, Syahirah

PROGRAM: Fulus Mania ( Durian Runtuh) di Astro Ria, Rasa Halal Orient di Astro Oasis.

ALBUM: Antara Dua dan 9 Langkah

DRAMA: Akademi

FILEM: Man Laksa

PENCAPAIAN: Artis Harapan Terbaik AIM12, Hadiah Penghargaan Top 10 New Singers Prize di Festival Muzik

Asia, Shanghai 2005, Artis Baru Wanita Popular ABPBH05

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: