BUKAN mudah untuk menjadi Nabila Huda Suhaimi. Siapa yang tidak kenal dengan bapanya, Amy Search, seorang rockers terkenal Malaysia. Mungkin kerana itu, apa sahaja yang dilakukannya sering menjadi perhatian khalayak.
Terbaru, apabila single pertamanya X-Ray diputarkan di corong radio, pelbagai reaksi diterimanya.
Ada yang suka kerana Nabila akhirnya mengikut jejak langkah bapanya menjadi seorang penyanyi, tetapi ada juga yang kurang gemar dengan suara Nabila.
Kata mereka, suaranya tidak sehebat suara bapanya. Percubaannya tidak lebih seperti menumpang populariti bapa dan bermacam-macam lagi.
Namun, sebagai orang baru dalam dunia seni suara, Nabila hanya menerima segala kritikan, baik negatif mahu pun positif dengan lapang dada.
"Saya bukan papa (Amy Search), memang saya anak seorang rockers legenda dan penyanyi bersuara hebat tetapi tolong jangan terlalu meletakkan harapan tinggi menggunung yang suara saya hebat seperti papa.
"Bidang kami berbeza, papa dengan dunia nyanyian dan saya lebih dikenali dalam dunia lakonan. Nyanyian ini sekadar percubaan 'suka-suka' sahaja," ujarnya.
Tegasnya lagi, dia sedar yang dirinya bukan penyanyi, kerana itulah baru kini dia memberanikan untuk mengeluarkan single.
"Kalau saya tahu suara saya bagus, sudah lama saya rakam album, buat apa tunggu sampai hari ini baru nak buat album. Tetapi saya sedar di mana kemampuan saya, dan ini hanyalah percubaan bukannya album penuh.
"Kalau orang suka, tidak mustahil suatu hari nanti, saya akan rakamkan satu album penuh, itupun jika ada permintaan," ucapnya.
Tambah Nabila, dia tidak kisah akan pandangan orang terhadap dirinya kerana bapanya sendiri merestui bidang kerja barunya itu.
"Sebenarnya, papa tidak sangka yang saya akan merakamkan lagu walaupun hanya lagu single. Orang pertama yang saya bagi dengar lagu itu ialah papa, dia tidak cakap banyak, hanya senyum saja.
"Dia kata okey dan suruh saya yakin dan bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan yang saya lakukan termasuk nyanyian," jelas Nabila.
Pengalaman jadi penyanyi
Nabila sesungguhnya seorang yang beruntung kerana kehidupan sehariannya dikelilingi orang-orang yang arif dalam bidang muzik dan kebanyakannya adalah rakan kepada bapanya.
Itu sedikit sebanyak memudahkan perjalanan Nabila untuk bergelar seorang penyanyi.
"Kalau nak ikutkan ramai yang terkejut dan tidak sangka suara di radio itu adalah suara saya kerana sebelum ini saya tidak pernah menunjukkan minat untuk menjadi penyanyi.
"Bila peluang itu ada dan dapat pula bekerjasama dengan Edrie Hashim saya rasa peluang itu tidak patut dilepaskan walaupun hanya untuk suka-suka," katanya yang kini menginjak usia 25 tahun.
Menurut Nabila lagi, pengalaman bekerja dengan Edrie sungguh bermakna. Walaupun sudah kenal lama, tetapi apabila berada di studio semuanya bertukar.
"Selalunya saya bekerja di lokasi penggambaran tetapi suasana di studio rakaman sangat berbeza. Secara automatik, saya kena patuh kepada arahan Edrie selaku komposer dan saya bertuah kerana Edrie cukup memahami apa yang saya mahukan dan apa yang sesuai dengan suara saya.
"Dia melihat kepada karakter saya yang gila-gila dan katanya saya amat sesuai dengan lagu-lagu yang rancak," ujarnya yang menggemari genre pop rock.
Mahu anak cepat
Pernikahannya dengan Zaidi Zailani pada 2 Disember tahun lalu tidak menggubah diri Nabila secara keseluruhan. Apa yang berubah hanya tanggungjawabnya yang semakin bertambah dan saiz badannya yang semakin berubah.
Tubuhnya semakin hari dilihat semakin berisi. Justeru, mungkinkah pertambahan berat badannya ada kena mengena dengan kehamilan?
Nabila bagaimanapun hanya tertawa apabila diusik dengan persoalan tersebut dan sekadar mengatakan dia manusia paling gembira andai perkhabaran itu menjadi kenyataan.
"Kalau betul, saya gembira sangat tetapi mana ada, saya dan suami kalau boleh memang nak anak cepat tetapi mungkin bukan rezeki kami lagi.
"Mungkin sebab saya asyik duduk di rumah dan kuat makan, itu yang badan naik dengan cepat. Nampaknya lepas ini kenalah senaman dengan lebih kerap sebab ramai juga yang menegur perubahan saiz badan saya," tuturnya yang bahagia dengan kehidupannya sekarang ini.
kalu betul jadi penyanyi, jgn tiru imej org lain pulak. ni dah nak macam katy perry jer. i think.....
ReplyDelete