DALAM diam, rupa-rupanya kumpulan yang bertunjangkan genre muzik alternatif rock yang dikenali sebagai Abstrak Hingga Ke Bulan (AHKB), ada projek terbaru yang ingin dikongsi dengan peminat.
Bukan calang-calang projek, sebaliknya AHKB kini mewakili Malaysia dalam sebuah pertandingan nyanyian berbentuk program realiti TV bertujuan untuk mencungkil bakat baru daripada serata negara Asia.
Pertandingan itu sebenarnya diibaratkan menjadi landasan kepada pemuzik serta anak seni berbakat untuk menempa kemasyhuran di pentas persada seni antarabangsa.
Menurut salah seorang anggota AHKB Zairul Addry atau lebih dikenali sebagai Zarul, 34, mereka bertiga hanya mengetahui tentang pertandingan itu menerusi media cetak dan Internet.
"Mula-mula kami enggan pergi sebab syarat yang ditetapkan adalah dengan menghantar album demo, sedangkan waktu itu kami belum mempunyai album.
"Rupa-rupanya, program pencarian bakat yang dikenali sebagai Search For Unsigned Talent For Asia (Sutasi) turut mengadakan uji bakat yang dilaksanakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, pada Oktober 2007.
"Kami sekadar mencuba nasib dan tidak meletakkan sepenuh keyakinan. Namun setelah diuji bakat, kami berjaya mewakili Malaysia untuk terlibat dalam pertandingan itu," jelasnya semasa hadir ke Studio Utusan baru-baru ini.
Sambung Zarul, selepas itu AHKB dikehendaki mengikut siri jelajah Sutasi ke beberapa buah negara antaranya Singapura, China dan Thailand.
"Dua hari semasa hari raya tahun lalu, kami bertanding dalam peringkat saringan di Singapura sebelum dipilih bersaing bagi mewakili Asia Tenggara.
"Memanglah berasa gementar apabila bertanding dengan 99 orang pemuzik dan artis solo dari serata Asia, namun AHKB nekad untuk menunjukkan bakat yang kami ada agar ia dapat diluaskan ke negara luar.
"Sutasi tidak mencari artis klon ataupun pemuzik yang sedia ada, sebaliknya mereka mahukan kelainan yang dapat meraih tumpuan khalayak seluruh dunia.
"Pertandingan yang merupakan anjuran gabungan negara Australia, Amerika Syarikat (AS) dan Singapura itu akan disiarkan di kaca TV di negara ini dalam bulan Julai nanti.
"Berkemungkinan peringkat akhir Sutasi akan diadakan di Los Angeles pada tahun ini juga. Sudah pasti AHKB bakal melakukan sehabis baik untuk mewakili negara," tuturnya.
Bagi Faiza atau nama sebenarnya Norfaizah Ismawi, 23, dia dan dua anggota kumpulannya, sudah tentu gembira apabila diberikan peluang untuk melibatkan diri dalam pertandingan Sutasi.
"Ia menjadi wadah terbaik untuk kami meluaskan bidang seni ke tahap lebih tertinggi sekali gus dikenali ramai.
"Kami juga berpeluang bertemu dengan para pemuzik lain semasa berada di Singapura sambil bertukar-tukar cerita tentang muzik negara masing-masing kepada mereka yang terlibat.
"Ingatkan muzik kita lain, rupa-rupanya ada lagi muzik di negara Asia yang unik dan istimewa mengikut pandangan kami.
"Dengan menyertai Sutasi, kami dapat peluang berharga untuk menambahkan ilmu dan pengetahuan dalam cabang muzik.
"Sutasi ibarat langkah pertama kami untuk dikenali dalam bidang muzik sekali gus memberi semangat untuk bekerja dengan lebih keras lagi pada masa hadapan," ungkap Faiza bersungguh-sungguh.
Sekiranya AHKB memenangi pertandingan itu, maka mereka akan membawa pulang hadiah wang tunai dengan jumlah AS$1 juta (RM3.67 juta).
Hadiah wang lumayan yang diperoleh termasuk peluang bagi bekerjasama dengan karyawan seni terkenal di AS, promosi album secara global, pemasaran dan pembikinan video muzik.
Teruja album diterima ramai
Setelah dua tahun menanti dan berdepan dengan perkara yang melibatkan pertukaran anggota kumpulan, kini album AHKB akhirnya dapat direalisasi hingga akhirnya menemui para peminat pertengahan Januari lalu.
Beritahu Mohd. Ikhram Izzazuddin atau Aretom, 27, AHKB amat gembira apabila album yang sepatutnya dapat disiapkan lebih awal, akhirnya sudah berada di pasaran.
"Sebanyak 10 buah lagu dimuatkan dalam album ini. Sembilan buah lagu berbahasa Melayu dan sebuah lagu merupakan lagu bahasa Inggeris, When You're Not There.
"Lapan buah lagu dihasilkan sendiri oleh Zarul manakala dua lagu lagi, merupakan ciptaan Syed (Nitrus) dan Jay (Pretty Ugly).
"Lagu-lagu yang dimuatkan ke dalam album kami mempunyai keistimewaan tersendiri kalau hendak bercakap tentang kelainan.
"Album kami mengandungi lagu-lagu yang sifatnya berirama sederhana, tidak dikatakan terlalu rancak, malah tidak pula terlalu ringan.
"Ada bermacam-macam jenis muzik diselitkan dalam album AHKB. Antaranya adalah ska, klasikal dan balada.
"Kesimpulan yang boleh saya buat, album kami menampilkan kepelbagaian di samping Faiza yang turut berduet bersama Adeep daripada kumpulan The Fabulous Cats menerusi lagu Misteri Hatiku," ulas Aretom yang merakam album perdana AHKB pada penghujung tahun 2006.
Album yang mengangkat judul sama dengan nama kumpulan mereka itu diedarkan oleh IMS Prima Sdn. Bhd.
Antara lagu-lagu yang terdapat dalam album itu termasuk Jadi Superstar, Awan dan Bintang, Menanti, Cinta Ini Milik Kita dan Eksressi Batinku.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: