TIADA wanita yang tidak akan menoleh dua kali apabila terpandang jejaka bertubuh sasa ini, apatah lagi karisma dimilikinya membuatkan ramai ingin berdampingan dengannya. |
Namanya mula meledak dalam industri hiburan menerusi filem Eiffel I’m In Love bersama Shandy Aulia, sekali gus mempopularkan dirinya sehingga ditawar berlakon dalam filem Malaysia, Sayang You Can Dance bersama Sharifah Amani dan Dafi.
Mempunyai ketinggian 183 sentimeter dan berwajah eksotik hasil kacukan darah Padang, Ambon dan Menado, pasti jolokan playboy mudah ‘melekat’ pada bekas pemain bola keranjang junior Indonesia ini.
Pun begitu, dalam usia yang bakal mencecah 29 tahun November ini, Samuel Rizal (Sammy) masih bersendirian.
“Benar, saya belum ada kekasih,” kata Sammy apabila ditanya berkenaan hubungan cinta.
Menurut pelakon yang mula menempa nama menerusi filem Tusuk Jelangkung ini, dia masih mencari pasangan sesuai sejak terputus hubungan dengan seorang gadis setahun lalu.
Malah, dia kini lebih mementingkan kerjaya dan merancang memperluaskan lagi bakat dimilikinya daripada memikirkan soal cinta, apatah lagi kontrak lima tahunnya dengan Soraya Intercine Film bakal tamat penghujung 2009.
Mengakui cerewet dalam memilih teman hidup, anak pasangan Boetje S Arifin dan Wunoy Rolandy Luntungan ini turut menafikan calon pilihannya mesti memiliki minat sama sepertinya seperti bermain bola keranjang, suka menyelam, aktif dalam bidang automotif dan menceburi bidang lakonan.
“Untuk menjadi kekasih saya tidak semestinya mempunyai minat sama, saya cuma menantikan orang yang boleh menarik minat saya tatkala pertama kali bertemu.
“Yang penting ada keserasian antara kami, itu sudah cukup,” kata Sammy.
|
Apabila ditanya mengenai godaan kaum sejenis yang mungkin dihadapi golongan sepertinya, pemenang kategori Pelakon Paling Popular dalam Anugerah MTV Filem Indonesia (MIMA) 2004 ini tidak kisah jika digemari lelaki.
|
“Perkara ini lumrah. Sebagai artis, saya faham keadaan ini, tetapi usahlah keterlaluan dan melampaui batas,” kata Sammy.
Bercerita mengenai pengalamannya berlakon dalam produksi Malaysia, dia mengakui mengalami kesukaran pada awalnya, terutama daripada segi pertuturan yang berbeza.
Berkat usahanya serta bantuan rakan, khususnya Amani dan Fatimah Abu Bakar, dia yang membawa watak penari dalam filem itu akhirnya dapat mengatasi masalah itu dengan mudah.
“Nani (Amani) dan Auntie Fati (Fatimah) memang satu keluarga yang baik dan saya betul-betul selesa bekerjasama dengan mereka kerana saya langsung tidak rasa terasing.
“Nani selalu membantu saya mengolah skrip untuk memudahkan saya menuturkannya, secara tidak langsung perjalanan penggambaran menjadi lancar,” kata Sammy yang turut memuji tahap profesionalisme pelakon muda itu.
Selepas kejayaan menempatkan diri dalam barisan pelakon di Malaysia, Sammy turut ditanya sama ada dia akan terus mencari peluang berlakon di sini.
Malah, namanya mula meniti bibir penerbit dan pengusaha filem dan drama tempatan setelah melihatnya beraksi menerusi filem berkenaan.
“Sehingga kini saya belum menerima lamaran daripada mana-mana pihak di sini, malah sebelum ini saya pun tidak terfikir filem saya berjaya menarik minat penonton di Malaysia.
“Saya percaya peluang itu pasti ada berdasarkan impak daripada karya sebelum ini, jadi kalau ada rezeki mungkin peluang itu akan datang sendiri,” katanya.
Sammy hadir ke Malaysia sempena majlis meraikan setiausaha di Hotel Istana, Kuala Lumpur, Rabu lalu, bersama 20 selebriti lelaki popular, menampilkan artis Indonesia Rio Febrian, Delon, Irwansyah, Didi Riyadi dan Ariffin Putra.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: