TELATAH mereka masih sama. Sama ada di konti atau di luar, masing-masing ‘gila-gila’ dengan kerenah yang menggelikan hati. |
Sejak berhijrah ke Hot FM, kerjaya Kieran sebagai penyampai semakin menonjol. Mungkin juga keserasian yang terjalin antara Kieran bersama regunya, AG menyerlahkan kemampuan dirinya yang sebenar.
Akui Kieran, dia tidak mengetahui perkara itu. Namun, rata-rata pendengar memberi komen yang memberangsangnya. Mungkin penghijrahannya kali ini tepat.
“Alhamdulillah jika ramai pendengar melihat perkembangan saya. Sekurang-kurangnya, pilihan saya untuk menjadi anggota keluarga Hot FM tidak mengecewakan. Sebelum ini, saya sendiri mahukan landasan yang boleh mengembangkan kerjaya saya.
“Terima kasih kepada Hot FM kerana beri peluang itu kepada saya. Hampir enam bulan bersama stesen radio ini, saya semakin seronok dan bersemangat untuk bekerja. Malah, suasana kerja dan rakan turut menjadi faktor perkembangan kerjaya saya,” katanya.
Tanggal 18 November 2008 menjadi detik bersejarah buat Kieran dan AG apabila kedua-duanya digabungkan menerusi satu nama - Jawa Rangers. Tambah menarik, kombinasi idea itu ‘menjadi’ dan digemari pendengar segmen Hot FM Jam yang bersiaran dari jam 4 petang hingga 8 malam.
Jelas AG, idea menampilkan slogan itu datang secara spontan. Selepas berbincang dengan pihak pengurusan, mereka turut bersetuju dengan pemilihan Jawa Rangers.
“Ketika itu saya dan Kieran bersama-sama penyampai Hot FM yang lain ada dalam sebuah kereta untuk menuju ke sebuah tempat. Kemudian, kami berbincang dan mencari nama yang sesuai untuk menggabungkan saya dan Kieran. Akhirnya, Ikhwan memberikan idea supaya kami menggunakan Jawa Rangers.
“Lagipun, saya dan Kieran berasal daripada keturunan jawa dan nama berkenaan kedengaran menarik dan kelakar. Namun, jangan salah sangka kerana kami tidak mewakili mana-mana kaum. Slogan itu digunakan hanya untuk menyatukan kami berdua dan memudahkan pendengar mengenali kami,” katanya.
Enam bulan bersama, gandingan AG dan Kieran dilihat cukup secocok. Idea yang dilontarkan ketika ke udara juga sering menggeletek pendengarnya. Walaupun baru bersama untuk tempoh yang singkat, keserasian yang terjalin cukup kuat.
|
“Kata orang, keserasian dan persefahaman itu bukan boleh dibuat-buat. Jika kena caranya, semua itu akan datang sendiri dan itulah yang terjadi antara saya dan Kieran.
|
“Lagipun, mungkin kami adalah lelaki dan tidak banyak kerenah. Jadi, persefahaman itu mudah untuk dijalin. Tambah menarik, saya dan Kieran mempunyai banyak persamaan walaupun secara kebetulan. Malah, jika saya melawak, Kieran cepat memahaminya.
“Tambah menarik, kami berdua sama ‘gila’ dan itulah yang menambah keseronokan untuk bekerja bersama,” katanya.
Buat sementara waktu ini, Jawa Rangers mengendalikan segmen AM krew menggantikan Fara Fauzana dan Faizal Ismail yang bercuti manakala segmen petang pula akan digantikan oleh Ann.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: