|
|
Watak Atan dan Atuk pernah melekat dalam ingatan sebahagian besar khalayak yang mendengar sketsa lawak di radio RTM pada awal tahun 70-an dulu.
Kedua-dua watak yang disampaikan menerusi suara itu amat popular hingga sketsa ini diterbitkan dalam bentuk rakaman piring hitam. Bukan saja kanak-kanak malah orang dewasa juga terpegun dengan jenaka yang dibawakan oleh pelawak tersohor Datuk Jamali Shadat itu.
Jamali menguasai seni bercerita dengan baik ditambah dengan kelebihannya meniru suara kanak-kanak dan juga orang dewasa untuk menjayakan sketsa tersebut.
Masa berlalu ditambah pula dengan kurangnya kemunculan Jamali sebagai pelawak, watak Atan dan Atuk juga turut hilang dalam kebanjiran sekian banyak program televisyen ketika ini.
Tetapi kita jangan lupa bahawa watak Atan dan juga Atuk mempunyai nilai budaya setempat yang sangat tinggi. Nilai peradaban ini yang membezakan antara program luar negara dengan yang dibuat di negara ini.
Tanggungjawab untuk mengembalikan nilai yang tinggi dari watak Atan dan Atuk itu dipikul oleh syarikat produksi yang berkembang pesat, Galaxy Features Network Sdn. Bhd menerusi siri animasi, Atan & Atuk.
Sebagai menghargai sumbangan Jamali memperkenalkan watak Atan dan Atuk seterusnya menjadi sebati dengan pelawak itu, animasi ini turut menggunakan suara Jamali untuk kedua-dua watak itu.
Penerbitan animasi yang menyingkap sketsa popular di radio ini diusahakan oleh dua anak muda, Noralina Rafael dan Noor Faikah Nasir. Walaupun tidak merasai populariti era Atan dan Atuk dulu tetapi mereka begitu komited untuk menerbitkan dalam bentuk animasi.
Siri animasi 13 episod ini akan disiarkan mulai pada 15 Mei depan pukul 8.30 pagi.
Pujian harus diberikan kepada mereka berdua dan juga pasukan kreatif yang lain kerana bersungguh-sungguh mencuba suatu yang mencabar serta memberi kelainan kepada penonton apabila “menghidupkan” Atan dan Atuk secara visual.
Mereka berdua memang berbakat dan teruji apabila pernah memenangi beberapa kategori dalam Anugerah Filem Pendek 2006 yang kini telah pun ditukar menjadi Program Karyawan Muda. Kemenangan ini sedikit sebanyak telah membuka ruang kepada mereka untuk terus berkarya bersama-sama RTM.
Bagi Noralina sendiri, dia berasa sangat teruja apabila berpeluang melibatkan diri dengan penerbitan animasi ini terutamanya apabila melibatkan Jamali Shadat.
“Memang berdebar menunggu reaksi daripada penonton tetapi kami yakin siri animasi ini tidak akan mengecewakan malah akan diterima dengan baik.
“Sepanjang proses pra produksi berlangsung, kami kerap bertemu dengan Jamali Shadat untuk mengumpulkan seberapa banyak cerita dan pengalaman.
“Memang berbangga sebab beliau masih lagi boleh berkongsi cerita dan masih sudi membantu kami melicinkan lagi produksi.
“Semua cerita yang kami peroleh dijadikan skrip tetapi apa yang lebih penting ialah mesej yang diberikan kepada penonton,” jelas graduan Kolej Yayasan Melaka ini.
Baginya, menulis skrip bukanlah satu perkara yang mudah kerana ia banyak perkara yang perlu dikaji dan diteliti dari segala sudut terutamanya melibatkan penonton kalangan kanak-kanak.
Siri ini melibatkan 20 anak muda daripada pelbagai latar belakang menjadi animator menghasilkan animasi ini.
Walaupun proses untuk membangunkan animasi ini kelihatan rumit, tetapi untuk melicinkan proses, setiap animator menyiapkan dua siri animasi dalam tempoh masa sebulan.
Atan & Atuk berlatarbelakangkan keluarga Melayu yang biasa dan menyentuh isu-isu masyarakat. Hakikatnya, Atan & Atuk tidak hanya mengenai kaum Melayu sahaja, malah mencakupi pelbagai kaum.
Kelebihan ini terletak kepada Jamali yang mampu bertutur dalam dalam dialek Cina dan juga India.
Sementara itu, Noor Faikah pula tidak menafikan wujudnya masalah untuk membangunkan siri animasi ini memandangkan ini merupakan penglibatan kali pertama mereka secara komersial.
“Kami hanya menghadapi masalah yang berkaitan dengan pergerakan watak dan warna sahaja. Tetapi semuanya dapat di atasi dan tidak langsung mengganggu sebarang proses.
“Skrip mesti dihasilkan terlebih dahulu dan diikuti dengan story board. Semua ini akan dilaksanakan mengikut tahap demi tahap bagi melicinkan perjalanan kerja,” jelas Noor Faikah.
Apa yang lebih penting animasi ini bukan sahaja disukai oleh kanak-kanak malahan akan diterima oleh orang dewasa juga sebagai santapan minda seisi keluarga.
“Kami bersedia menerima sebarang pandangan dan kritikan terhadap usaha pertama kumpulan kami. Setelah hampir setahun membangunkan animasi ini, biarlah penonton yang menilaikannya,” kata Faikah lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: