Program realiti TV cungkil bakat baru dalam bidang lakonan
PENGALAMAN lebih dua dekad, selain merangkul pelbagai pengiktirafan terbaik dan popular, profil seni aktor berwibawa, Rosyam Nor diperkasakan bersama misi baru menerusi program realiti, Pilih Kasih.
Idea menerbitkan program Pilih Kasih itu lahir ekoran kesedaran untuk memberi ruang dan peluang selain menjadi batu loncatan kepada pencinta dunia lakonan untuk mengasah dalam seni lakon.
Awalnya, aktor yang dijulang sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-21 menerusi filem Kala Malam Bulan Mengambang ini merancang untuk menerbitkan filem romantik komedi, Kekasih.
Bagaimanapun, selepas membuat penelitian bersama pengarah, Bade Azmi terhadap pasaran serta sambutan penonton yang semakin suram, lahir idea untuk menerbitkan program realiti itu.
“Program ini untuk industri. Selama ini, peminat sering merungut setiap kali menekan punat televisyen atau ke pawagam, mereka akan menonton wajah yang sama. Malangnya kita tidak mempunyai ramai pelakon yang mempunyai keserasian seperti yang dimiliki gandingan Erra Fazira dan Awie. Begitu juga gandingan saya dan Rita Rudaini yang jelas disenangi penonton.
“Seseorang pelakon perlu ada bakat untuk digilap menjadi hebat. Menerusi program Pilih Kasih, kami menyediakan peluang kepada mereka yang berbakat tetapi tidak mempunyai ruang mengetengahkannya supaya tampil dan mencuba kemampuan,” katanya.
Menerusi program realiti yang ditangani nama berpengalaman seperti Rohani Yousoff dan Erma Fatima sebagai tenaga pengajar, kesemua bakat terpilih akan dilatih untuk menjadi anak seni yang serba boleh dan memenuhi kriteria untuk diketengahkan ke layar perak.
Program realiti Pilih Kasih, kata Rosyam, turut mendedahkan kepada orang luar profesion sebagai pelakon adalah satu bidang pekerjaan yang baik dan memberi impak sekiranya dilakukan di atas landasan betul dan ikhlas.
“Program ini dibarisi tenaga penerbitan berpengalaman luas dalam segala aspek merangkumi filem, drama, dokumentari dan video untuk memenuhi spesifikasi dan piawaian rancangan realiti berkualiti,” katanya.
Pengisian program Pilih Kasih memperlihatkan peserta didedahkan mengenai realiti sebenar menjadi anak seni dengan menyempurnakan tugasan di bawah pengawasan pengarah berpengalaman seperti Along Kamaruddin dan Amy Maziah.
Peserta juga didedahkan dengan kelas lakonan drama muzikal yang dipimpin Erma Fatima sebagai tugasan kedua mingguan dan akan diadili setiap minggu ketika Malam Perdana.
“Kami turut mencari individu yang berkebolehan menyanyi dan menari selain mempertaruhkan bakat lakonan sebagai asas utama program ini,” katanya.
Pelakon dan pengacara berusia 42 tahun ini berkata, Pilih Kasih menyediakan kemudahan pusat seni lakon bagi melahirkan bakat terlatih dan berwibawa.
Meskipun tempoh latihannya singkat, Rosyam yakin program itu akan menjadi perintis ke arah mengangkat martabat seni lakon di negara ini.
“Saya mengalu-alukan mereka yang berminat, selain ahli kelab teater, seni lakon dan badan kesenian seluruh negara supaya bangun menyahut cabaran ini.
“Pelakon tambahan juga disyorkan menghadiri uji bakat untuk mengembangkan kemampuan yang selama ini terhad disebabkan kekangan watak,” katanya.
Cara penyingkiran berbeza
BIARPUN mengikut asas program realiti lain yang menyandarkan nasib peserta kepada undian penonton, cara penyingkiran peserta yang kurang bernasib baik dalam Pilih Kasih mengetengahkan corak yang berbeza.
Keputusan mutlak penyingkiran berada di tangan penerbitnya iaitu Rosyam sendiri kerana ia bertujuan mendidik penonton supaya tidak mensia-siakan bakat yang berpotensi untuk menyinar di persada lakonan.
“Kami tetap menghormati undian penonton, cuma dua peserta yang mendapat peratusan undian terendah akan berdepan dengan saya untuk dipertimbangkan sebelum penyingkiran seorang peserta yang lemah dibuat.
“Bagaimanapun, elemen kejutan sebagai gimik program tetap diterapkan kerana ia menjadi antara perencah yang memberi tarikan kepada Pilih Kasih,” katanya.
Suatu janji Rosyam, nasib finalis Pilih Kasih tidak akan terabai selepas tamat pengajian kelak kerana dia merangka pelbagai peluang untuk mereka.
Mereka bakal menjadi wajah baru untuk mengisi pelbagai slot penerbitan drama dan filem yang semakin berkembang.
“RTM sendiri bakal melancarkan 13 lagi saluran, sekali gus memperlihatkan keperluan penerbitan lebih banyak drama serta program televisyen. Industri tidak selamanya harus bersandar kepada wajah sedia ada, jadi kehadiran bakat baru ini mengisi ruang itu. Saya percaya peluang untuk mereka bertapak adalah cerah berdasarkan kepada potensi besar dalam industri lakonan,” katanya.
Mengekalkan format seperti program realiti lain, Pilih Kasih akan memaparkan aktiviti harian pelajar menerusi Jurnal Harian yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat selama setengah jam.
Tayangan Perdana pula memaparkan pertarungan peserta untuk mengekalkan kedudukan mereka dalam pertandingan itu setiap hujung minggu.
Menerusi slot selama 90 minit itu, penonton disajikan dengan tiga segmen iaitu Filem Pendek yang memaparkan hasil lakonan setiap peserta menerusi tayangan drama bersiri selama 10 minit
Peserta juga diberi skrip untuk menjayakan segmen teater dan mempersembahkannya secara langsung, selain menunjukkan bakat menerusi lakonan monolog sekali gus menilai tahap kemahiran lakonan mereka.
Persembahan peserta akan menerima kritikan daripada Rosyam dan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah.
Program Pilih Kasih yang memulakan siarannya pada 25 Mei ini menyatukan Raja Azura dan Reza Mohamed sebagai pengacara, manakala Jurnal Harian pula dikendalikan bakat baru, Pasha Abdul Rahim.
INFO: Uji bakat
DIADAKAN di lima zon berbeza selama lima minggu dan terbuka kepada bakat berusia 18 hingga 35 tahun. Sesi uji bakat bermula dari jam 10 pagi hingga 8 malam.
- AEON Bukit Indah, Johor Bahru - 11 April
- Kompleks Terminal One, Seremban - 12 April
- KB Mall, Kota Bharu - 18 April
- Berjaya Megamall, Kuantan - 19 April
- One Borneo, Kota Kinabalu - 26 dan 26 April
- Queensbay Mall, Pulau Pinang - 2 Mei
- Plaza Alam Sentral, Shah Alam - 3 Mei
- The Spring, Kuching - 9 dan 10 Mei
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: