Tuesday, April 7, 2009

Gamat di Klang

Finalis guna peluang pada siri terakhir jelajah promosi ABPBH 2008 untuk tawan hati peminat

TEMPOH berkempen dan medan mempromosi diri untuk finalis meraih undi peminat kini sudah sampai ke penghujungnya apabila siri promosi jelajah negara Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 keenam yang diadakan di pusat beli-belah Klang Parade, Klang Selangor melabuhkan tirainya petang kelmarin.

Biarpun acara kemuncak hanya akan berlangsung seminggu kemudiannya dan mereka masih mempunyai

masa untuk melobi namun yang pasti situasi itu takkan sama dengan apa yang pernah mereka lalui sewaktu menyertai siri promosi ini yang berlangsung di enam lokasi terpilih di seluruh negara.

Sebagai jambatan yang menghubungkan artis dan peminat, siri promosi ini memberi peluang terbaik kepada finalis ABPBH untuk mendekati peminat, beramah mesra dan bergambar kenangan bersama mereka.

Malah kesempatan bertentang mata dengan peminat digunakan sepenuhnya kebanyakan finalis untuk merayu undi supaya memilih mereka sebagai pemenang. Terasa bagaikan seperti musim pilihan raya apabila ada finalis melaungkan kata-kata "undilah saya" dan "undilah artis kesayangan anda" sambil disambut dengan sorakan lebih 5,000 penonton yang menghadiri acara itu.

Berbeza dengan acara promosi yang pernah mereka hadiri sebelum ini, mereka juga diberi peluang untuk bertemu peminat di luar Kuala Lumpur yang selama ini begitu setia menyokong kerjaya seni mereka.

Bukan sekadar acara hiburan tetapi mereka juga turut melakukan kerja amal.

Sewaktu siri promosi ini menjelajah Kuala Terengganu, pertengahan Mac lalu, finalis juga terbabit dengan kerja amal apabila mengunjungi Rumah Kebajikan Sejahtera di Bukit Payung, Marang serta lawatan sambil belajar di Taman Tamadun Islam yang terletak Pulau Wan Man.

Namun apa yang lebih penting, acara ini juga menjadi medan untuk golongan artis merapatkan tali silaturahim sesama mereka memandangkan sebelum ini masing-masing begitu sibuk dek hambatan tugas sama ada di pentas nyanyian atau lokasi penggambaran.

Dan siri terakhir promosi di Klang Parade, yang berlangsung selama tiga hari mulai Jumaat lalu ini digunakan sepenuhnya oleh beberapa finalis yang tidak dapat menyertai siri promosi sebelum ini untuk membabitkan diri mereka dalam pelbagai acara yang disediakan.

Walau sesibuk manapun, seboleh mungkin mereka tidak mahu melepaskan peluang untuk menyertai acara tahunan ini kerana inilah masanya untuk mereka membalas kembali jasa peminat yang selama ini berkorban masa dan wang ringgit semata-mata untuk mengundi artis kesayangan mereka.

Terbayang keseronokan wajah finalis yang pertama kali menyertai acara seperti ini iaitu pelakon yang tersenarai di dalam kategori Pelakon Komedi Wanita Popular, Amyza Aznan dan Noorkhiriah, calon Pelakon TV Lelaki Popular, Aaron Aziz apabila berjaya mengenakan peminat mereka di atas pentas.

Kecoh seketika apabila Amyza, Kenchana Dewi dan Along dari kumpulan Cham bergabung tenaga berlakon bersama peminat bertuah. Ada saja idea kreatif mereka untuk mengenakan peminat yang rata-rata cukup sporting melayan kerenah artis terbabit.

Selain berhibur dengan persembahan drama spontan, acara itu turut menyajikan permainan seperti kerusi muzikal dan kuiz yang berkaitan dengan majlis anugerah yang sudah masuk kali ke-22 penganjurannya di samping menampilkan persembahan nyanyian daripada finalis yang bertanding seperti Stacy (Penyanyi Wanita Popular & Artis Baru Wanita Popular) yang membuka tirai acara menerusi dua buah lagu berjudul Pakai Buang dan Aku Stacy,Ayu OIAM (Artis Baru Wanita Popular), Aiman (Artis Baru Popular & Penyanyi Nasyid Popular), Adam (Penyanyi Lelaki Popular), Nubhan (Penyanyi Lelaki Popular & Artis Baru Lelaki Popular)),Elyana (Penyanyi Wanita Popular).

Turut mendapat perhatian adalah pemenang Anugerah Bintang Paling Popular untuk tiga tahun berturut-turut, Mawi (Penyanyi Lelaki Popular) dan serta persembahan Faizal Tahir (Pengacara Lelaki Popular) yang memetik gitar sambil mendendangkan tuga buah lagu popularnya iaitu Cuba, Sampai Syurga serta Gemuruh.

Finalis lain yang turut memeriahkan acara ini termasuklah Fizo Omar (Artis Baru Lelaki Popular), Nurul Alis (Pengacara TV Wanita Popular) Vanidah Imran (Pelakon Filem Wanita Popular) dan Ashraf Muslim (Pelakon TV Lelaki Popular).

Suasana menjadi semakin gamat dengan kemunculan Saiful Apek (Pelakon Filem Lelaki Popular/Pelakon Komedi Lelaki Popular) bersama Zizan Raja Lawak (Pelakon Komedi Lelaki Popular) yang muncul dengan lawak jenaka selamba mereka sehingga khalayak tidak kering gusi mendengarnya.

Seperti yang dilakukan di lokasi lain, peminat bertuah juga berpeluang menaiki kenderaan Nissan Grand Livina bernilai RM94,000 1.8L dan juga kereta Nissan Sylphy 2.0L yang berharga RM109,000 bersama artis kesayangan mereka untuk meronda-ronda di persekitaran pusat beli belah terkenal itu.

Acara petang itu dikendalikan empat pengacara terkenal iaitu Fara Fauzana (Pengacara TV Wanita Popular/Penyampai Radio Wanita Popular), Kieran (Penyampai Radio Lelaki Popular), Sharifah Aleya (Penyampai Radio Wanita Popular) dan Along dari kumpulan Cham (Raja Lawak).

Ternyata sifat gila-gila Along, Kieran ditambah dengan kecekapan Fara dan Aleya mengawal suasana berjaya membuatkan acara itu berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Pujian juga diberikan kepada Aleya walau dalam keadaan berbadan dua, dia tetap kekal cergas sehingga ke akhir acara.

Buat semua artis, peminat, penaja serta kru dan sesiapa saja yang terbabit secara langsung dalam siri promosi ini hanya ucapan terima kasih saja yang mampu diucapkan atas segala sokongan yang diberi. Jumpa anda di puncak Genting, 12 April nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: