PRODUSER jutawan, David Teo terus mengambil inisiatif memperkenalkan pengarah baru bagi setiap filem atau drama terbitannya. Ia dilakukan bukan saja untuk mempelbagaikan produk keluarannya tetapi bertujuan untuk memberi peluang kepada semua pengarah berkhidmat dengannya terutamanya pengarah baru.
Dalam bidang perfileman, David bukan saja membuka peluang kepada pengarah baru sehingga ada di antara mereka kini bergelar jutawan. Antara pengarah yang pernah berkhidmat dengannya seperti Prof Madya A Razak Mohaideen, Ahmad Idham, Pierre Andre, Norliana Samsudin (Yana) dan Farid Kamil.
“Sasaran saya memberi peluang kepada 10 pengarah baru. Sekarang saya sudah memberi peluang kepada tiga pengarah baru,” katanya.
Tidak tertumpu kepada perfileman kerana sejak awal tahun ini lagi, beliau yang juga pemilik syarikat produksi Metrowealth Movie Production kini semakin aktif dalam drama.
Meskipun belum sampai setengah tahun, dramanya turut mengutip rating tinggi seperti drama Mertua vs Menantu yang disiarkan di Astro Prima sehingga berada di tangga ke enam daripada keseluruhan program televisyen seluruh stesen TV.
“Saya tidak memandang siapa pengarah dan pelakonnya tetapi melihat kualiti. Walaupun membuat drama memerlukan modal agak tinggi, namun saya puas kerana setiap drama saya tidak abaikan kualiti,” katanya yang menggunakan teknik filem dalam drama terbitannya.
Syarikatnya kini menerbitkan satu lagi drama bersiri 13 episod yang juga mengambil seorang pengarah baru untuk menghasilkan drama berjudul Embun Mutiara, iaitu Mohd Heykal Mohd Hanifah.
Mohd Heykal, 36 bukan asing dalam dunia seni kerana sebelum ini pernah mengarah drama untuk TV3, Astro Prima dan RTM.
“Sebelum ini saya selalu menjadi pembantu kepada Rashid Sibir. Ini kali pertama saya bekerjasama dengan Metrowealth dan pernah melihat beberapa drama keluarannya. Memang saya akui drama terbitan syarikat ini agak berlainan daripada drama arahan saya dan pengarah lain,” katanya yang memulakan penggambaran sejak 21 Mac lalu.
Menurutnya, Embun Mutiara adalah cabaran besar buatnya selepas melihat senarai pelakon yang disenaraikan pihak syarikat perfileman itu.
“Saya akan buktikan drama ini akan digarap dengan nilai komersial yang diperlukan penonton. Memang tidak dinafikan terdapat juga muka-muka baru dalam drama ini tetapi saya sangat menaruh harapan besar terhadap bakat mereka.
“Seperti Mas Muharni yang masih baru dalam dunia seni ini tetapi saya percaya bakatnya selepas melihat lakonannya dalam filem Wayang.
Pelakon lain dalam Embun Mutiara ialah Norman Hakim, Awal Ashaari, Anne Abdullah, Aida Aris, Sharifah Shahora,” katanya.
Sinopsis: Embun Mutiara
MENGISAHKAN sepasang adik beradik iaitu Embun dan Mutiara yang dilahirkan dalam tahun yang sama. Embun, kakak kepada Mutiara namun kedua-keduanya mempunyai sikap yang sangat berbeza. Embun dengan sikap yang suka mengarah dan gemarkan dunia glamor manakala Mutiara dengan sikap yang ramah, merendah diri dan disenangi orang ramai.
Mereka tinggal bersama ibunya Athiera yang masih cantik walaupun sudah bergelar janda. Selain itu, Hadi adalah bapa saudara Embun dan Mutiara turut tinggal bersama mereka. Segala kerja rumah diuruskan Mek Nab yang menjadi pembantu rumah sejak turut temurun.
Embun dan Mutiara memilih kolej yang sama tetapi dalam diam-diam Embun mengambil bahagian hiburan sebagai jurusan utamanya manakala Mutiara mengikut nasihat Pakcik saudaranya Hadi yang memilih jurusan kewangan dan terpaksa melupakan impiannya untuk menjadi penulis.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: