|
KEJUTAN Mohd Khairul Nizam Wahi atau Khai, 30, kepada isteri tercinta, Rosmayati Sidik, 24, dengan meraikan hari jadi Rosma ketika pasangan itu dijemput menjayakan program Sehati Sejiwa yang disiarkan secara langsung di TV1, Studio IBC, Angkasapuri Kuala Lumpur, jam 3 petang, Rabu lalu. |
Sambutan itu diadakan sehari lebih awal kerana hari jadi Rosma sebenar pada 16 April. Manakala pada 26 April pula ulang tahun pertama perkahwinan mereka.
"Tahun ini kali pertama menyambut hari jadi bersama suami. Sebelum ini kami pernah menyambut hari jadi bersama, tetapi sebagai kekasih. Saya ternanti-nanti hadiah hari jadi daripadanya.
"Tetapi biasanya Khai tak boleh buat kejutan kerana saya tahu rancangannya. Hari ini pun saya tahu juga kerana ada yang pecah rahsia," katanya yang ditemui selepas berakhirnya siaran Sehati Sejiwa.
Pada hari itu juga, produksi Sehati Sejiwa turut menyediakan kek hari jadi untuk Rosma.
Rumah tangga yang dibina atas dasar cinta itu tambah membahagiakan dengan kelahiran anak sulung mereka Ogos ini. Mereka dijangka dikurniakan bayi lelaki. Tiga nama sudah disediakan, Mohd Shah Edwin, Mohd Amzan Danish dan Mohd Khalil Ilman.
Menurut Rosma, sejak awal kehamilan dia tidak mengalami alahan yang teruk dan aktif seperti biasa. Khai pula sering sakit kepala, loya, hendak muntah dan lemah badan. Ketika kandungan Rosma berusia seminggu, selama itulah juga Khai demam.
"Saya tidak pernah mengidam makanan pelik cuma suka makan durian dan jus soya. Masa mula mengandung saya makan durian sikit saja sebab orang kata buah itu 'panas' dan tidak baik untuk kandungan. Sekarang bayi dah besar sikit, saya makan sesedap rasa. Berat badan pun bertambah 10 kilogram menjadi 55 kilogram.
"Walaupun sebelum mengandung saya jaga makan bimbang jadi gemuk, tetapi sejak mengandung saya makan macam biasa. Tak boleh tahan selera. Itupun emak pesan jangan makan makanan 'tajam' dan 'sejuk'," katanya.
Kata Rosma, dia akan bersalin di pusat perubatan Islam di Bangi, Selangor, tetapi akan balik berpantang selama dua bulan di kampungnya di Pahang.
Pasangan itu berkenalan di pentas program realiti Akademi Fantasia musim pertama dan langsung jatuh cinta. Kemuncak penyatuan cinta mereka yang tulus ikhlas itu dan untuk mengembalikan kenangan manis, Khai dan Rosma turut disandingkan di pentas AF6 disaksikan jutaan penonton konsert mingguan program itu.
Percintaan yang terus bertahan sehingga ke jenjang pelamin itu terus mekar dan mewangi bak kuntuman bunga berkembang pada pagi hari adalah kerana wujudnya toleransi, jujur, ikhlas, saling mempercayai dan memahami. Itu antara rahsia kebahagiaan Khai dan Rosma yang dikongsi bersama penonton Sehati Sejiwa.
Menurut Khai dia mengenali Rosma sejak isterinya itu berusia 18 tahun. Justeru kala itu Rosma masih berperangai kebudak-budakkan, sangat telus dan tidak pernah menyembunyikan perasaannya terhadap jejaka kelahiran Johor Bahru itu.
"Saya pemalu manakala Rosma pula banyak cakap dan tertarik dengan sikapnya yang suka berterus-terang. Waktu awal perkenalan di AF, Rosma mudah didekati kerana usianya yang masih muda, jujur dan ikhlas. Selepas lima tahun berkahwin kami semakin serasi. Bagaimanapun, ada cerita macam mana kami boleh mengambil keputusan untuk berkahwin.
"Dalam Internet tersebar kad perkahwinan kononnya kami akan berkahwin pada sekian tarikh. Sebenarnya kad itu bukan kad perkahwinan kami, tetapi kad orang lain yang namanya lebih kurang sama dengan kami.
"Daripada situ terdetik hati untuk berkahwin. Waktu bercinta lain. Apabila sudah menjadi suami isteri tanggungjawab lebih besar. Namun, selepas berkahwin rezeki bertambah dan saat paling membahagiakan apabila Rosma disahkan hamil ketika kami menyertai program Sehati Berdansa," katanya.
Oleh kerana kedua-duanya berkecimpung dalam bidang seni, kerja juga menjadi mudah apabila mereka selalu dijemput membuat persembahan pentas bersama.
"Kami selalu pergi bersama dan jika saya seorang dapat undangan Rosma akan menemani dan begitulah sebaliknya. Kami juga berkongsi minat bersama suka menonton wayang, bermain boling, pool dan snuker. Jika saya hendak keluar dengan kawan, saya beritahu dengan siapa saya keluar dan nama mereka sekali untuk mengelak cerita tidak baik sampai ke Rosma," katanya.
Rosma pula berkata, jika ada perselisihan faham dengan segera diselesaikan supaya ia tidak berpanjangan.
"Tak boleh simpan lama dalam hati nanti ia akan menanah. Dalam hubungan suami isteri, komunikasi dua hala sangat penting supaya tidak ada yang makan hati," katanya.
Selain menyanyi, Khai kini aktif berlakon. Drama lakonannya, Terminal Cinta dan Amarah. Khai akan menjalani penggambaran telefilem terbaru untuk siaran Astro, Sepuluh Terbakar, 1 Mei ini.
Sebagai persediaan untuk menerbitkan program sendiri, Khai juga terbabit dengan kerja belakang tabir. Dia bercadang menerbitkan program dokumentari. Sebelum Rosma bersalin mereka akan tampil mengacarakan program Bulan Madu untuk RTM.
Kata Rosma, dia turut terima tawaran berlakon, tetapi tidak berminat untuk menceburi bidang itu.
Mengukuhkan lagi kedudukan mereka dalam arena seni suara, Khai dan Rosma akan tampil dengan lagu single duet, Warna Cinta. Jika lagu itu mendapat sambutan pendengar, mereka akan hasilkan single kedua.
Album solo terakhir Khai berjudul Terbang Tinggi keluaran 2008 dan Rosma pula, Dewi Kasih (2007). Andainya segala perancangan berjalan lancar mereka akan muncul dengan album mini menyisipkan semua lagu duet mereka berdua.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: